Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

9 dalam 10 warga emas pilih flat fleksi 2 bilik tempoh pajak pendek

Hampir semua flat pajakan pendek termasuk flat dengan pajakan paling lama berharga bawah $200,000
Sep 27, 2024 | 3:08 PM
Hampir semua flat fleksi 2 bilik dengan tempoh pajakan pendek berharga di bawah $200,000 dan majoriti flat tersebut yang terletak di estet belum matang berharga di bawah $100,000.
Hampir semua flat fleksi 2 bilik dengan tempoh pajakan pendek berharga di bawah $200,000 dan majoriti flat tersebut yang terletak di estet belum matang berharga di bawah $100,000. - Foto fail

Flat awam dengan tempoh pajakan pendek kekal popular dalam kalangan pembeli rumah warga emas.

Sembilan daripada 10 daripada mereka memilihnya apabila membeli flat fleksi dua bilik, menurut Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada 27 September.

Sebilangan besar warga emas yang menempah flat fleksi dua bilik memilih tempoh pajakan lebih pendek antara 15 dengan 45 tahun, dengan tempoh pajakan 40 tahun menjadi yang paling popular.

Daripada 20,185 warga emas itu, kira-kira sembilan daripada 10 memilih tempoh pajakan antara 30 dengan 45 tahun.

Kebanyakan warga emas lain memilih tempoh pajakan lebih pendek, iaitu 20 hingga 25 tahun.

Hanya 298 warga emas memilih untuk membeli dengan tempoh pajakan terpendek selama 15 tahun, manakala lebih 1,700 warga emas memilih untuk memajak selama 99 tahun.

Menurut HDB, pilihan perumahan itu membolehkan warga emas mendapat keuntungan daripada hartanah mereka yang sedia ada dan berpindah ke flat fleksi dua bilik yang lebih kecil.

Ini akan memberi mereka pendapatan persaraan tambahan, kata HDB.

Flat fleksi dua bilik ditawarkan dengan tempoh pajakan lebih pendek antara 15 dengan 45 tahun – kenaikan lima tahun – selagi tempoh pajakan itu merangkumi pemohon termuda sehingga mereka mencapai usia 95 tahun.

Pajakan lebih pendek bermakna pembeli membayar harga yang lebih rendah.

Warga emas yang layak boleh memanfaatkan subsidi pemerintah seperti Bonus Perumahan untuk Warga Emas (SHB), yang memberi mereka bonus tunai sehingga $30,000 apabila mereka menjual flat sedia ada dan menggunakan hasil daripadanya untuk menambah Akaun Persaraan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) mereka.

Sehingga 30 Jun, lebih 2,300 isi rumah telah meraih manfaat daripada skim tersebut, kata HDB.

Hampir semua flat fleksi dua bilik dengan tempoh pajakan pendek berharga di bawah $200,000 dan majoriti flat tersebut yang terletak di estet tidak matang berharga di bawah $100,000, tambah HDB.

Sehingga 30 Jun, kira-kira 53,900 flat fleksi dua bilik telah dilancarkan untuk tempahan, setelah ia mula diperkenalkan pada 2015.

Sekitar 71 peratus, atau 38,378 flat telah ditempah pemohon rumah dan kunci bagi 22,822 unit telah diserahkan setakat ini, tambah HDB.

Daripada jumlah pemohon itu, 57 peratus adalah warga emas berumur 55 tahun ke atas, manakala golongan bujang dan keluarga membentuk baki 43 peratus.

Dalam sesi tempahan bagi flat Bina Ikut Tempahan (BTO) pada Oktober, HDB akan melancarkan flat fleksi dua bilik di Ang Mo Kio, Bedok, Bukit Batok, Jurong West, Kallang/Whampoa, Pasir Ris dan Sengkang.

Sementara itu, Apartmen Penjagaan Masyarakat (CCA) yang dibina dengan ciri dan kelengkapan mesra warga emas, serta mempunyai perkhidmatan penjagaan bersepadu juga akan dilancarkan di MacPherson di Geylang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg