Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Pemilikan rumah di S’pura akan kekal dimampui, inklusif: Desmond

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pemilikan rumah di S’pura akan kekal dimampui, inklusif: Desmond

HDB: Geran rumah $4.5b diberi antara 2020-2023
Feb 12, 2024 | 01:30 PM



Pemilikan rumah warga Singapura akan kekal dimampui, inklusif dan mencerminkan masyarakat yang sentiasa berkembang.

Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee memberi jaminan sedemikian sedang Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) meraikan 60 tahun Skim Pemilikan Rumah untuk Orang Ramai pada 2024.

Kira-kira 1.25 juta flat telah dibina HDB sejak skim itu diperkenalkan pada 1964, menyediakan rumah kepada sekitar 80 peratus populasi penduduk Singapura.

Sekitar 90 peratus daripada isi rumah ini memiliki flat mereka, menjadikan kadar pemilikan rumah Singapura antara yang tertinggi di dunia, kata HDB pada 12 Februari.

Menyifatkan Skim Pemilikan Rumah sebagai “dasar unik”, Encik Lee berkata HDB adalah tonggak penting dalam kompak sosial negara, membina masyarakat dan bukan hanya menyediakan rumah kepada penduduk di sini.

Skim itu bertujuan memberikan warga Singapura aset ketara dan kepentingan dalam pembinaan negara.

“Di seluruh dunia, tidak ramai, hanya segelintir yang berjaya melakukan apa yang telah dilakukan oleh Singapura, iaitu untuk pemerintah membina rumah untuk warga yang mampu milik tetapi juga mencapai kadar pemilikan rumah sebanyak 90 peratus,” kongsi Encik Lee, ketika berucap kepada media semasa satu lawatan ke HDB Hub pada 8 Februari lalu bagi meraikan ulang tahun ke-60 Skim Pemilikan Rumah.

Pada 2023, hampir lapan daripada 10 pembeli yang mendapat kunci flat baru atau membeli flat jualan semula mereka boleh membayar ansuran pinjaman HDB bulanan dengan caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF) mereka, dengan sedikit atau tiada bayaran tunai, kata HDB.

Penggunaan simpanan CPF untuk bayaran pendahuluan dan ansuran pinjaman bulanan flat telah dibenarkan sejak 1968, bagi menggalak lebih ramai warga menjadi pemilik rumah.

Di samping itu, HDB juga memberi geran untuk membantu keluarga yang ingin membeli rumah pertama mereka.

Pembeli flat baru yang layak boleh mendapat geran sehingga $80,000, manakala pembeli flat jualan semula adalah sehingga $190,000.

Sehingga 31 Disember 2023, lebih daripada $4.5 bilion geran perumahan telah diberi kepada pembeli rumah yang membeli flat baru atau jualan semula sejak 2020, tambah HDB.

Antara 2020 dengan 2023 pula, kira-kira 63,700 isi rumah menerima Geran Perumahan CPF Dipertingkat (EHG). 

Di bawah geran itu, pembeli flat baru atau jualan semula kali pertama mendapat sehingga $80,000, bergantung pada pendapatan mereka.

Sepanjang tempoh tiga tahun itu, 41,600 isi rumah juga mendapat sehingga $80,000 Geran Perumahan CPF, yang diberikan kepada pembeli flat jualan semula HDB kali pertama.

Sesetengah daripada mereka juga telah mendapat manfaat daripada EHG.

Geran Perumahan Berhampiran (PHG) turut membantu sekitar 44,700 isi rumah, yang ingin membeli flat jualan semula untuk tinggal bersama atau berdekatan 4 kilometer daripada ibu bapa atau anak-anak mereka, pada tempoh sama.

Mereka mendapat sehingga $30,000 dan geran ini tidak terhad kepada pembeli kali pertama.

Selain keluarga, Skim Pemilikan Rumah turut memberi manfaat kepada golongan lain di sini.


Skim Warga Singapura Bujang, yang diperkenalkan pada 1991, diperluas untuk membolehkan bujang berumur 35 tahun dan ke atas membeli flat Fleksi dua bilik di estet bukan matang pada 2013.

Mereka sebelumnya hanya layak membeli flat jualan semula sebarang saiz di mana-mana lokasi.

Sejak itu, 22,500 bujang berumur 35 tahun dan ke atas telah menempah flat Fleksi BTO dua bilik baru. Daripada jumlah ini, kira-kira 15,200 orang telah mendapat kunci rumah baru mereka pada 31 Disember 2023, kata HDB.

Keperluan perumahan warga tua juga diutamakan HDB, sedang populasi Singapura menua. 

Kira-kira 21,400 isi rumah warga tua telah menempah flat Fleksi dua bilik sehingga 31 Disember 2023, dengan sekitar 12,100 daripada mereka telah mendapat kunci rumah, kata HDB.

Flat Fleksi dua bilik, yang dihias untuk keselamatan dan keselesaan warga tua, diperkenalkan pada 2015 – menggantikan Apartmen Studio (SA), iaitu jenis flat dua bilik dengan pajakan 30 tahun, yang dilancarkan pada 1998. Kira-kira 8,400 isi rumah warga tua kini tinggal di SA.


Lagi 300 isi rumah warga tua juga telah menempah unit Apartmen Penjagaan Masyarakat (CCA), yang datang dengan ciri dan kelengkapan mesra warga emas, dan mempunyai perkhidmatan penjagaan bersepadu, tambah HDB. CCA dilancarkan pada 2021 di Bukit Batok.


Keluarga berpendapatan rendah juga dibantu untuk memiliki flat sendiri, dengan hampir 1,600 isi rumah sewa telah didekati Pasukan Sokongan Pemilikan Rumah (HST) dalam tempoh empat tahun sejak 2019, tambah HDB.

Pasukan itu menyediakan sokongan tertentu dan lebih diperibadikan untuk membantu penyewa berpindah ke flat mereka sendiri.

Kira-kira 8,300 isi rumah sewa awam berjaya berbuat demikian, dengan bantuan pelbagai skim dan geran perumahan HDB dalam tempoh sedekad lalu.

Mereka yang memerlukan perumahan jangka pendek juga dibantu menerusi Skim Perumahan Sementara Keibubapaan dan Skim Perumahan Sewa Sementara.

Meskipun akur bahawa HDB telah mempertingkatkan skimnya tahun lalu untuk membantu lebih ramai ibu bapa dan pasangan muda membeli flat pertama mereka, Encik Lee berkata tugas itu masih belum selesai ketika pasaran hartanah masih pulih daripada kesan pandemik Covid-19.

Permintaan perumahan meningkat semasa pandemik, dengan bilangan pemohon flat Bina Ikut Tempahan (BTO) kali pertama meningkat sebanyak 80 peratus dari 2020 hingga 2022, berbanding 2017 hingga 2019.

Kesan pandemik terhadap pembinaan, bahan dan pekerja menyebabkan penantian yang lebih lama untuk flat BTO, yang mendorong beberapa pembeli rumah berpaling ke pasaran jualan semula, menyebabkan harga meningkat. 


“Kami telah bekerja keras secara berterusan sejak beberapa tahun lalu untuk menstabilkan pasaran hartanah dan memastikan kami menyuntik bekalan serta menyederhanakan permintaan.

“Kami sentiasa memantau keadaan pasaran hartanah dan tidak akan teragak-agak mengambil langkah sewajarnya,” tambah Encik Lee.

Bermula separuh kedua 2024, HDB akan memperkenalkan sistem klasifikasi baru untuk projek BTO. 

Ia akan mengklasifikasikan projek BTO untuk dijual berdasarkan lokasi – Flat Standard, Plus dan Prime – yang merangkumi tahap berbeza subsidi dan sekatan. Golongan bujang akan juga dapat membeli flat BTO Fleksi dua bilik di semua lokasi.

Detik penting Skim Pemilikan Rumah untuk Orang Ramai


  • 1964: Skim Pemilikan Rumah untuk Orang Ramai
  • 1971: Jualan semula flat HDB
  • 1985: Skim Insentif Keluarga Berpendapatan Rendah
  • 1989: Dasar Integrasi Etnik
  • 1991: Pengenalan Skim Warga Singapura Bujang
  • 1994: Skim Geran Perumahan CPF
  • 2001: Program Bina Ikut Tempahan (BTO) 
  • 2007: Pelaksanaan Program Peningkatan Rumah (HIP) 
  • 2015: Pengenalan Skim Fleksi dua bilik
  • 2019: Pengenalan Geran Perumahan CPF Dipertingkat (EHG)
  • 2024: Sistem klasifikasi baru untuk projek BTO



Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >