Sembilan individu telah dihadapkan ke mahkamah selepas mereka dikatakan membenarkan sindiket penipuan menggunakan akaun bank atau maklumat Singpass mereka.
Pada 2 Jun, enam lelaki masing-masing menghadapi antara dua dengan 19 pertuduhan.
Mereka ialah Muhamad Saifullah Azuwan, 27 tahun; Yuvan Thirumaran, 24 tahun; Amarjit Singh Jugindar Singh, 50 tahun; Ang Yong Han, 19 tahun; Addy Amin Mohamed, 50 tahun; dan Lee Jun Chye, 25 tahun.
Tiga wanita iaitu Cindy Yap Qinhan, 32 tahun; Khoo Yun Xuan, 32 tahun; dan Norsuliani Sulaiman, 41 tahun masing-masing menghadapi antara satu dengan tiga pertuduhan.
Menurut polis, kesemua sembilan individu tersebut adalah adalah antara 41 individu yang dijangka didakwa minggu ini kerana dikatakan bertindak sebagai keldai wang, atau membenarkan kegiatan berkaitan dalam pelbagai penipuan.
Penipuan tersebut termasuk penipuan menyamar sebagai pegawai pemerintah, penipuan penyewaan, penipuan pekerjaan, penipuan panggilan rakan palsu, dan penipuan e-dagang, lapor The Straits Times (ST).
Sembilan individu yang didakwa pada 2 Jun itu dituduh menyerahkan atau menjual akaun bank mereka bagi membolehkan sindiket jenayah melakukan pengubahan wang haram, atau mendedahkan maklumat Singpass mereka secara tidak sah, sehingga membolehkan sindiket jenayah menyalahgunakan identiti mereka untuk membuka akaun bank.
Kesalahan mereka termasuk bersubahat untuk menipu, membantu orang lain menyimpan hasil daripada kegiatan jenayah, serta pelbagai pelanggaran di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer.
Ramai daripada 41 suspek tersebut telah dijanjikan komisen sehingga $9,000 setiap seorang, sebagai balasan membenarkan akaun bank atau Singpass mereka digunakan, namun tidak menerima bayaran tersebut, tambah polis.
Mangsa penipuan di Singapura kehilangan wang sebanyak $1.1 bilion pada 2024, iaitu sekitar 70 peratus lebih tinggi berbanding $651.8 juta yang dicuri penipu pada 2023.
Pemerintah telah menyatakan hasratnya untuk mengambil tindakan tegas terhadap keldai wang susulan kes penipuan yang meningkat di sini.
Di bawah garis panduan hukuman lebih berat yang diperkenalkan pada 21 Ogos 2024, seramai 230 keldai wang telah didakwa antara Ogos 2024 dengan Mac 2025.
Semua pesalah dewasa yang didakwa dalam tempoh tersebut dikenakan hukuman penjara sekurang-kurangnya enam bulan, manakala mereka yang berusia di bawah 21 tahun diperintah menjalani latihan pemulihan, tambah polis.
Bagi mengelak daripada terlibat dalam jenayah sedemikian, polis menggesa orang ramai supaya sentiasa menolak permintaan daripada orang lain untuk menggunakan akaun bank atau Singpass mereka.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg