Jenayah & Mahkamah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengarah kewangan hampir rugi AS$499,000 akibat penipu guna teknologi ‘deepfake’

Apr 7, 2025 | 6:43 PM
Mangsa menyedari penipuan itu hanya apabila penipu meminta tambahan AS$1.4 juta dipindahkan kepada mereka.
Mangsa menyedari penipuan itu hanya apabila penipu meminta tambahan AS$1.4 juta dipindahkan kepada mereka. - Foto ZAOBAO

Polis menggesa peniaga dan pekerja agar berhati-hati terhadap penipu yang menggunakan teknologi deepfake untuk menyamar sebagai eksekutif kanan, selepas pengarah kewangan sebuah syarikat berbilang negara hampir kerugian lebih AS$499,000 ($670,000).

Deepfake adalah kaedah mengubah paras seseorang pada gambar atau video, menggunakan gambar asli melalui kaedah tindan wajah.

Dalam satu kenyataan pada 7 April, polis berkata Pusat Antipenipuan (ASC) bekerjasama dengan Pusat Penyelarasan Antipenipuan (ADCC) Pasukan Polis Hong Kong bagi mendapatkan semula wang yang hilang akibat penipuan penyamaran berkaitan perniagaan yang melibatkan manipulasi digital, lapor The Straits Times (ST).

Pada 24 Mac, pengarah kewangan berkenaan telah dihubungi melalui WhatsApp oleh seorang penipu yang menyamar sebagai ketua pegawai kewangan syarikat.

Beliau diberitahu supaya mengambil bahagian dalam sidang video mengenai penyusunan semula perniagaan serantau firma itu pada 26 Mac serta menjalin hubungan dengan rakan kongsi eksekutif sebuah firma guaman.

Kemudian, beliau menerima panggilan daripada seorang lelaki yang berpura-pura menjadi peguam, yang memberitahunya mengenai kepentingan projek itu dan keperluan untuk merahsiakan apa jua perkara yang berlaku. Beliau kemudian diminta menandatangani perjanjian yang tidak boleh didedahkan.

Pada 25 Mac, mangsa diberitahu sidang video itu dijadualkan semula pada hari itu sendiri.

Beliau menyertai sidang video Zoom bersama ketua pegawai eksekutif syarikat dan pihak berkepentingan lain yang menyamar menggunakan teknologi deepfake.

Pada sidang video itu dan melalui surat-menyurat berikutnya dengan peguam palsu itu, mangsa diarahkan memindahkan lebih AS$499,000 daripada akaun bank HSBC syarikat ke akaun bank korporat tempatan yang lain, yang dilakukannya pada 26 Mac.

Mangsa tidak menyedari akaun bank korporat penerima adalah akaun keldai wang di bawah kawalan penipu.

Daripada akaun itu, dana berjumlah lebih AS$494,000 telah dipindahkan ke akaun bank di Hong Kong.

Mangsa menyedari penipuan itu hanya pada 27 Mac apabila penipu meminta tambahan AS$1.4 juta dipindahkan kepadanya. Mangsa segera memaklumkan HSBC, yang kemudiannya memaklumkan ASC.

ASC dapat menentukan destinasi hasil penipuan dan mendapatkan bantuan daripada rakan sejawatannya di Hong Kong untuk mendapatkan semula wang tersebut.

Pada 28 Mac, ADCC berjaya menahan nilai penuh yang telah dipindahkan ke akaun bank di Hong Kong itu.

ASC juga merampas baki jumlah lebih AS$5,000 dalam akaun keldai tempatan.

Bagi mengelak daripada penipuan sedemikian, polis dalam kenyataannya, menasihatkan pihak perniagaan supaya mewujudkan protokol untuk pekerja bagi mengesahkan kesahihan sebarang panggilan video atau mesej, terutamanya daripada eksekutif kanan atau pemegang kepentingan utama.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg