9 masjid bantu Madrasah Al-Ma’arif kumpul dana Ramadan 2026
9 masjid bantu Madrasah Al-Ma’arif kumpul dana Ramadan 2026
Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah berpeluang menjalin kerjasama dengan beberapa masjid terpilih di Singapura bagi mengisi tabung Ramadan 2026.
Ia sekali gus menyemai semangat amal dan keprihatinan dalam kalangan masyarakat.
Menurut Pegawai Pengumpulan Dana Madrasah Al-Ma’arif, Cik Siti Radhiyah Rahmat, pungutan tabung sepanjang Ramadan ini dijalankan selepas berbuka puasa sehingga selesai solat tarawih di sembilan masjid terpilih pada tarikh tertentu.
Kegiatan ini bakal dilaksanakan dengan kehadiran dua hingga empat pelajar – yang membawa tabung – bersama seorang guru atau pegawai madrasah.
Dana yang dikumpul akan digunakan bagi menampung operasi Madrasah Al-Ma’arif serta pelaksanaan kerja penambahbaikan yang bakal dijalankan.
“Ramadan ini, kami berharap jemaah dapat hulur bantuan dan sokongan kepada usaha kami.
“Kami juga menerima zakat harta dan derma, dengan zakat harta dibuka kepada empat asnaf, ibnu sabil, fi sabilillah, miskin, dan gharimin,” jelasnya.
Selain itu, Madrasah Al-Ma’arif turut mengekalkan tradisi tahunan dengan kunjungan ke Sekolah Tinggi Chung Cheng (Utama) sempena Tahun Baru Cina pada 13 Februari 2026.
Semasa lawatan, pelajar Menengah 3 dan 4 daripada kelab Kegiatan Kokurikulum (CCA) Media, terlibat dalam persembahan, permainan, dan interaksi bersama pelajar sekolah tersebut.
“Kami amat berbesar hati dengan hubungan mesra yang terjalin setiap tahun dan berharap silaturahim ini berterusan, termasuk semasa sambutan Hari Raya nanti apabila mereka pula berkunjung ke Madrasah Al-Ma’arif,” tambah Cik Siti Radhiyah.
Madrasah Al-Ma’arif amat mengalu-alukan sumbangan dan sokongan masyarakat sepanjang Ramadan ini, dan mengajak orang ramai agar terus mengunjungi masjid terpilih bagi membantu usaha murni madrasah ini.
SEKILAS I
Kegiatan kutipan tabung sepanjang Ramadan diadakan di:
1. Masjid Darul Ghufran – Selasa, 24 Februari 2026.
2. Masjid An-Nur – Rabu, 25 Februari 2026.
3. Masjid Al-Istighfar – Jumaat, 27 Februari 2026.
4. Masjid Al-Ansar – Isnin, 2 Mac 2026.
5. Masjid Al-Islah – Selasa, 3 Mac 2026.
6. Masjid Yusof Ishak – Jumaat, 6 Mac 2026.
7. Masjid Sultan – Ahad, 8 Mac 2026.
8. Masjid Kampung Siglap (Darul Quran Singapura) – Isnin, 9 Mac 2026.
9. Masjid Darul Makmur – Jumaat, 13 Mac 2026.
SEKILAS II
Bagi memudahkan urusan, waktu operasi Madrasah Al-Ma’arif semasa Ramadan dibuka dari 8.30 pagi hingga 4 petang. Untuk pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi talian 6747-9835 atau lungsuri laman web rasmi di https://almaarif.edu.sg/

