Sepanjang Ramadan 2025, Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah gigih menganjurkan pelbagai program bermanfaat untuk pelajar serta masyarakat Islam setempat.
Daripada pertandingan hafazan Al-Quran hingga daya usaha kebajikan, madrasah ini terus menghayati nilai-nilai kesedaran kerohanian, kebersamaan dan amalan kebajikan sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini.
Program Ihya’ Ramadan memberikan peluang istimewa kepada para pelajar untuk menghayati dan mendalami ajaran Al-Quran serta memperkukuh tradisi Islam dalam suasana penuh keberkatan. Antara acara utama bagi 2025 termasuk:
* Pertandingan hafazan dan syarahan agama, yang melibatkan penyertaan pelajar daripada pelbagai peringkat. Acara ini bukan sahaja mengasah kemahiran menghafal, malah memberi ruang kepada pelajar berkongsi kefahaman mereka tentang Islam.
* Majlis Khatam Al-Quran, yang melibatkan seluruh warga sekolah. Pelajar bersama-sama membaca juzuk terakhir Al-Quran secara berjemaah sebagai simbol penutup bacaan sepanjang Ramadan. Orang ramai turut digalakkan menyumbang dalam bentuk infak dengan menyenaraikan nama mereka dalam majlis ini, sebagai satu bentuk sokongan dan amal jariah.
* Majlis Iftar Tahunan, khas untuk pelajar tahun akhir. Program ini menghimpunkan pelajar Tahun 6, Tingkatan 4, dan Prauniversiti 2 bersama guru dan kakitangan sekolah dalam majlis berbuka puasa yang diraikan dengan penuh kesyukuran, ukhuwah dan rahmah. Melalui program ini, nilai kerohanian, rasa kebersamaan dan semangat keilmuan dapat diperkukuhkan dalam kalangan pelajar, sekali gus menyemarakkan makna sebenar Ramadan dalam kehidupan harian mereka.
Program ‘Food on Wheels’ oleh Pertapis
Menyemai semangat keprihatinan: Pelajar peringkat menengah dan prauniversiti telah menyumbangkan barangan makanan dalam daya usaha pemacu makanan oleh Pertapis. Sebahagian pemimpin pelajar juga turut membantu dalam pembungkusan hamper makanan di Wisma Geylang Serai (WGS) pada 15 Februari 2025 bagi membantu mereka yang memerlukan.
Madrasah Al-Ma’arif Sa’eid Drive: Meringankan Beban, Menyemai Kepedulian
Sebagai sebahagian daripada daya usaha kebajikan tahunan, Madrasah Al-Ma’arif Sa’eid Drive dilaksanakan bagi membantu pelajar Al-Ma’arif yang memerlukan, serta meringankan beban keluarga penerima yang layak menjelang Aidilfitri.
Melalui program ini:
* Pelajar dan ibu bapa turut menyumbang barangan makanan asas dan derma wang tunai sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan kurang berkemampuan.
* Pelajar menengah dan prauniversiti berganding bahu dalam proses pengumpulan, penyusunan dan pengagihan sumbangan, sekali gus memupuk semangat kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial.
* Pelajar Menengah 2 khususnya terlibat secara langsung dalam pembungkusan hamper Aidilfitri, menzahirkan semangat memberi dan menyantuni dalam suasana penuh kasih sayang dan hormat.
Program ini bukan sahaja membantu golongan memerlukan, bahkan memberi ruang kepada pelajar menghayati nilai empati, kerja berpasukan dan kepedulian sosial – selaras dengan semangat Ramadan yang menggalakkan kasih sayang dan saling membantu.
Kumpulan Sokongan Ibu Bapa Alma’arif (PSG) dan Alumni Al-Ma’arif (Alif) turut berganding bahu dalam pembungkusan serta penghantaran hamper kepada penerima manfaat.
Menurut Pengurus Pentadbiran di Madrasah Al-Ma’arif, Cik Mukhlisah Johan, segala usaha murni dan program pada bulan Ramadan ini diharap dapat memupuk sifat ihsan dan saling membantu antara pelajar ini, selain menjadikan bulan yang barakah ini sebagai waktu terbaik untuk memperkukuh keimanan serta meningkatkan ibadah.
“Dengan semangat Ramadan yang penuh keberkatan ini, Madrasah Al-Ma’arif bertekad mempererat silaturahim dan ukhuwah serta menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan, demi membina sebuah masyarakat yang lebih harmoni dan penuh kasih sayang,” jelas Cik Mukhlisah.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh melakukan dengan:
1. PayNow ke UEN: S36MM0001G (Rujukan: <jenis sumbangan>).
2. Pemindahan bank ke dalam akaun OCBC 507018232001 (Rujukan: <jenis sumbangan>).
3. Datang ke pejabat Madrasah Al-Ma’arif dari Isnin hingga Jumaat (8 pagi hingga 4 petang).
4. Cek atas nama ‘Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah’ dan diposkan ke alamat No. 3 Lorong 39 Geylang, Singapura 38786.
* Untuk maklumat lanjut, lungsuri laman web: https://www.infaqmadrasahalmaarif.com/
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg