Sekitar 950,000 isi rumah Singapura yang tinggal di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan menerima rebat U-Save dan Bayaran Perkhidmatan dan Penyenggaraan (S&CC) pada Oktober, sebagai sebahagian daripada skim baucar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta Pakej Jaminan (AP).
Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan pada 29 September berkata rebat yang dikeluarkan empat kali dalam setiap tahun kewangan itu bertujuan membantu membayar perbelanjaan GST dan menyediakan sokongan kos sara hidup kepada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.
Menurut The Straits Times, isi rumah yang layak pada 2023 akan menerima dua kali ganda rebat U-Save biasa mereka.
Ini berjumlah sekitar lapan hingga 10 bil utiliti untuk purata isi rumah yang tinggal di flat satu atau dua bilik HDB, dan kira-kira empat hingga enam bulan bil utiliti untuk purata isi rumah yang tinggal di dalam flat tiga atau empat bilik HDB.
Pada 28 September, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, mengumumkan Pakej Sokongan Kos Sara Hidup bernilai $1.1 bilion untuk memberikan bantuan kepada semua isi rumah Singapura, dengan lebih banyak sokongan untuk keluarga berpendapatan rendah atau sederhana.
Sebagai sebahagian daripada pakej tersebut, isi rumah yang layak akan menerima tambahan $20 dalam rebat U-Save setiap suku tahun antara Januari 2024 dengan Disember 2025, yang berjumlah $160 selama dua tahun.
Rebat ini bertujuan membantu mengurangkan kesan kenaikan cukai karbon dan harga air pada 2024 dan 2025, kata MOF.
“Tambahan rebat U-Save secara purata akan mengimbangi sepenuhnya kenaikan bil utiliti untuk flat satu dan dua bilik dalam tempoh dua tahun akan datang, kira-kira 80 peratus untuk flat tiga dan empat bilik, dan kira-kira 65 peratus untuk flat yang lebih besar,” kata MOF.
“Secara purata, ini bermakna flat tiga dan empat bilik HDB akan membayar lebih $2 setiap bulan dan flat lima bilik dan lebih besar HDB akan membayar sekitar lebih $4 sebulan.”
Pada 29 September, ia diumumkan bahawa tarif gas dan elektrik akan dinaikkan untuk tiga bulan akan datang akibat kos bahan api dan tenaga yang lebih tinggi.
MOF menambah bahawa isi rumah yang layak akan menerima tambahan rebat S&CC setengah bulan pada Januari 2024.
Rebat U-Save akan dikreditkan terus ke dalam akaun utiliti isi rumah dengan SP Services, manakala rebat S&CC akan dikreditkan terus ke dalam akaun S&CC isi rumah yang diuruskan oleh majlis bandaran masing-masing.
Isi rumah tidak perlu mengambil sebarang tindakan untuk mendapat manfaat daripada skim ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg