Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

950,000 isi rumah warga S’pura bakal terima rebat U-Save, S&CC Jan 2026

Dec 30, 2025 | 5:59 PM
u-save, S&CC, rebat, warga singapura, hdb
Rebat U-Save dan S&CC diagih setiap tiga bulan sekali sepanjang tahun. - Foto ST

Lebih 950,000 isi rumah warga Singapura yang tinggal di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan menerima rebat bagi bayaran utiliti dan penyenggaraan pada Januari 2026, sebagai sebahagian daripada skim pemerintah untuk membantu menampung kos sara hidup.

Dalam satu kenyataan pada 30 Disember, Kementerian Kewangan (MOF) berkata isi rumah yang layak akan menerima rebat U-Save sehingga $190 bagi bil utiliti mereka.

Isi rumah berkenaan juga akan menerima rebat sehingga setengah bulan bagi Bayaran Perkhidmatan dan Penyenggaraan (S&CC).

Jumlah rebat yang diterima berbeza mengikut jenis flat yang didiami, lapor The Straits Times (ST).

Sebagai contoh, penduduk flat empat bilik akan menerima $150 bagi rebat U-Save dan setengah bulan rebat S&CC, manakala mereka yang tinggal di flat satu dan dua bilik akan menerima $190 bagi rebat U-Save dan setengah bulan rebat S&CC.

Secara keseluruhan, setiap isi rumah yang layak akan menerima sehingga $760 dalam bentuk rebat U-Save dan tiga bulan setengah rebat S&CC bagi tahun kewangan dari April 2025 hingga Mac 2026.

Rebat utiliti akan disalurkan secara automatik ke akaun isi rumah yang layak dengan pengendali grid, SP Services, manakala rebat S&CC akan disalurkan melalui majlis bandaran.

Rebat tersebut merupakan sebahagian daripada skim tetap Baucar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GSTV) yang bertujuan membantu isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana menghadapi peningkatan kos sara hidup serta kenaikan GST.

Untuk layak menerima rebat U-Save, isi rumah tersebut mesti mempunyai sekurang-kurangnya seorang pemilik atau penghuni yang merupakan warga Singapura jika flat HDB itu disewakan sebahagian atau tidak disewakan.

Jika keseluruhan flat HDB disewakan, mesti terdapat sekurang-kurangnya seorang penyewa warga Singapura.

Isi rumah yang mempunyai anggota yang memiliki lebih daripada satu hartanah tidak layak menerima rebat U-Save, ujar kementerian itu.

Isi rumah berikut tidak layak menerima rebat S&CC:

– Isi rumah tanpa sebarang pemilik atau penghuni rakyat Singapura

– Isi rumah yang pemilik atau penghuni pentingnya memiliki atau mempunyai kepentingan dalam hartanah privet

– Isi rumah yang menyewakan keseluruhan flat

Bagi menyemak kelayakan rebat S&CC, orang ramai boleh melayari My HDBPage melalui Singpass.

Pegawai pemerintah tidak akan meminta orang awam memindahkan wang atau mendedahkan butiran perbankan melalui panggilan telefon, kata MOF, sambil menasihatkan orang ramai menghubungi talian bantuan ScamShield di 1799 sekiranya ada keraguan.

Rebat U-Save dan S&CC diagihkan setiap tiga bulan sekali pada setiap tahun, iaitu pada April, Julai, Oktober dan Januari.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg