Lebih 950,000 isi rumah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Singapura yang layak akan menerima rebat bil utiliti dan caj penyelenggaraan pada Oktober.
Ia merupakan sebahagian daripada skim pemerintah untuk membantu meringankan kos sara hidup.
Bergantung pada jenis flat, isi rumah yang layak akan menerima sehingga $190 dalam rebat U-Save untuk bil utiliti dan maksimum satu bulan rebat untuk Bayaran Perkhidmatan dan Penyenggaraan (S&CC).
Demikian menurut kenyataan Kementerian Kewangan (MOF) pada 30 September.
Sebagai contoh, penghuni flat empat bilik akan menerima rebat U-Save $150 dan rebat S&CC setengah bulan, manakala penghuni flat satu dan dua bilik akan menerima rebat U-Save $190 dan rebat S&CC satu bulan, lapor The Straits Times (ST).
Rebat utiliti dan S&CC akan dikreditkan secara automatik ke akaun isi rumah yang layak dengan pengendali grid SP Services dan majlis bandaran masing-masing.
Rebat itu adalah sebahagian daripada skim baucar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GSTV) tetap yang membantu isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana mengatasi peningkatan kos sara hidup dan GST.
Rebat itu diberikan setiap tiga bulan – pada April, Julai, Oktober dan Januari – setiap tahun.
Secara keseluruhan, isi rumah HDB Singapura yang layak akan menerima sehingga $760 dalam rebat U-Save untuk tahun kewangan dari April 2025 hingga Mac 2026.
Sementara itu, isi rumah yang layak boleh menerima jumlah sehingga tiga setengah bulan rebat S&CC dalam tempoh yang sama.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg