Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

99.7% murid Darjah 6 madrasah layak ke sekolah menengah

Purata peratusan murid madrasah lulus PSLE sekitar 99.1% sejak lima tahun lalu
Nov 20, 2024 | 6:26 PM
Keempat-empat madrasah di Singapura, yang menawarkan pendidikan rendah, akan mengekalkan status mereka sebagai “sekolah yang ditetapkan” di bawah Akta Pendidikan Wajib (CE) untuk 2024.
Keempat-empat madrasah di Singapura, yang menawarkan pendidikan rendah, akan mengekalkan status mereka sebagai “sekolah yang ditetapkan” di bawah Akta Pendidikan Wajib (CE) untuk 2024. - Foto MUIS

Sekitar 99.7 peratus daripada 334 murid Darjah 6 madrasah Singapura lulus Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) 2024, kata Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam satu kenyataan media pada 20 November.

Sementara itu, daripada sejumlah 40,894 murid Darjah 6 sekolah sekular yang menduduki PSLE pada 2024, 98.5 peratus layak melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah.

Muis berkata purata peratusan murid Darjah 6 daripada keempat-empat madrasah – Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah, Madrasah Alsagoff Al-Arabiah, Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah dan Madrasah Wak Tanjong – yang lulus PSLE ​​adalah sekitar 99.1 peratus sejak lima tahun lalu.

Kesemua madrasah itu berjaya melepasi penanda aras PSLE ​​sepanjang dekad lalu.

Keempat-empat madrasah itu, yang menawarkan pendidikan rendah, akan mengekalkan status mereka sebagai “sekolah yang ditetapkan” di bawah Akta Pendidikan Wajib (CE) untuk 2024, tambah Muis.

Ibu bapa boleh mendaftarkan anak-anak mereka yang dikecualikan daripada CE di Darjah 1.

Selain itu, Muis akan memperkenalkan Bahasa Tamil sebagai mata pelajaran Bahasa Ibunda (MTL) pilihan di Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah untuk kohort Darjah 1 pada 2026.

Murid berminat yang memasuki Darjah 1 akan menjalani penilaian Bahasa Tamil, sebahagian daripada Ujian Kemasukan Madrasah (MET) mulai 2025, tambah Muis.

Sekolah sekular pula menyaksikan kira-kira 98.5 peratus murid Darjah 6 berjaya mara ke sekolah menengah, kata Kementerian Pendidikan (MOE) dan Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB).

Murid Sekolah Rendah Oasis menerima keputusan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) ​​2024 mereka pada 20 November.
Murid Sekolah Rendah Oasis menerima keputusan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) ​​2024 mereka pada 20 November. - Foto ST

Pelaksanaan Pengumpulan Berdasarkan Subjek Secara Penuh (FSBB) telah diterapkan sepenuhnya di sekitar 120 sekolah menengah bermula dengan kohort Menengah 1 pada 2024.

Di bawah sistem ini, pelajar ditempatkan kepada tiga kumpulan – G1, G2 atau G3.

G1 seperti aliran Normal (Teknikal), G2 seperti Normal (Akademik) dan standard G3 seperti Ekspres.

Pelajar yang layak memasuki G1 dan G2 boleh mengambil subjek Bahasa Inggeris, Bahasa Ibunda, Matematik dan Sains pada tahap yang lebih mencabar daripada Menengah 1 berdasarkan markah Tahap Pencapaian (AL) mereka untuk setiap subjek.

Di bawah sistem AL, murid Darjah 6 akan menerima AL1 hingga 8 untuk setiap empat mata pelajaran mereka, dengan 1 sebagai markah terbaik dan 8 sebagai terendah.

Jumlah keseluruhan markah mereka adalah hasil penjumlahan semua skor AL itu.

Pelajar yang memperoleh AL5 atau lebih baik untuk mata pelajaran Standard PSLE ​​boleh mengambil subjek tersebut di G3 atau G2, manakala pelajar yang meraih sekurang-kurangnya AL6 untuk mata pelajaran Standard PSLE ​​atau AL A bagi mata pelajaran asas PSLE ​​boleh mengambil subjek tersebut di G2. 

Bagi kohort Darjah 6 2024, sekitar 65 peratus pelajar yang layak memasuki G1 dan G2 boleh mengambil sekurang-kurangnya satu mata pelajaran pada tahap yang lebih mencabar.

“Ini adalah setanding dengan kohort tahun sebelumnya (2023),” kata MOE dan SEAB. 

Bagi pelajar yang tidak layak masuk ke sekolah menengah boleh memilih untuk menduduki semula PSLE ​​pada 2025. 

Mereka juga boleh mendaftar ke Sekolah Assumption Pathway (APS) dan Sekolah Northlight (NLS) atas saranan pengetua sekolah rendah mereka, kata MOE dan SEAB.

Menurutnya, kededua sekolah itu menawarkan program tersuai yang lebih “berasaskan pengalaman dan praktikal”.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg