Murid-murid yang menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) pada 2024 akan menerima keputusan mereka mulai 11 pagi pada 20 November.
Kementerian Pendidikan (MOE) dan Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (Seab), dalam satu kenyataan bersama pada 13 November, berkata aturan telah dibuat untuk murid mendapatkan keputusan mereka.
Murid-murid akan mendapat butir-butir mengenai aturan itu daripada sekolah mereka, tambah kenyataan itu.
Mereka yang tidak dapat mengambil keputusan mereka dari sekolah secara peribadi boleh melantik wakil untuk berbuat demikian bagi pihak mereka selewat-lewatnya pada 22 November, lapor The Straits Times.
Murid yang layak akan menerima Borang Pilihan Menengah 1 (S1) untuk memilih sekolah menengah dengan keputusan PSLE mereka.
Murid dikehendaki menggunakan nombor pengenalan diri S1 unik mereka yang terdapat di sudut kanan atas borang untuk log masuk ke Sistem Internet S1 bagi menyerahkan pilihan sekolah mereka dari 11.30 pagi pada 20 November hingga 3 petang pada 26 November.
Ibu bapa yang memerlukan bantuan untuk penyerahan secara dalam talian boleh menghubungi sekolah rendah anak mereka sebelum 3 petang pada 26 November.
Keputusan penempatan sekolah menengah akan diumumkan antara 18 Disember dengan 20 Disember melalui pesanan SMS, kata kenyataan itu.
Maklumat itu juga boleh diakses melalui Sistem Internet S1 atau di sekolah rendah murid.
Murid-murid tidak perlu melaporkan diri di sekolah menengah tempat mereka ditempatkan setelah mendapat keputusan penempatan.
Untuk maklumat lanjut bagi melaporkan diri, mendapatkan senarai buku dan membeli pakaian seragam, mereka boleh merujuk kepada laman web sekolah menengah berkenaan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg