Nasihat seorang abang kepada adik perempuannya untuk memisahkan diri daripada sebuah syarikat yang didakwanya menganjur kegiatan ajaran sesat, tidak diendahkan apabila si adik mendakwa beliau mengharapkan ganjaran “besar” dalam bentuk kewangan.
Memberi keterangan pada hari kelima perbicaraan tertuduh Mohd Razif Radi – yang didakwa mengajar doktrin sesat bertentangan Islam – seorang saksi memberitahu mahkamah, adiknya adalah seorang pengikut syarikat yang dinamakan sebagai ‘Green Media’.
Kegiatan syarikat itu dibongkar bekas suami adiknya pada 2014 kerana khuatir ia berupaya menjejas rumahtangganya.
Razif, 66 tahun, seorang bekas tukang urut, dikenakan dua tuduhan pada Ogos 2023 di bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Agama Islam (Amla) dan dalam perbicaraan terdahulu didakwa, antara lain, mahu bernikah dengan seramai 13 wanita secara batin.
Saksi tidak boleh dinamakan atas perintah sekatan daripada mahkamah.
Menurut saksi berusia 60 tahun itu, beliau telah membuat pemeriksaan menerusi Facebook dan mendapati nama Razif tersenarai dalam halaman ‘About’ atau latar belakang syarikat penganjur acara itu.
Saksi menjelaskan kepada mahkamah, beliau lihat Razif sebagai “orang utama” dalam syarikat itu.
Mahkamah tidak diberitahu sejak bila adik perempuan saksi itu terlibat dalam syarikat Green Media.
Saksi berkata beliau mula mengenali Razif menerusi beberapa kejadian yang berlaku antara 2011 hingga 2012, termasuk satu sesi rawatan disertai adiknya bersama Razif kerana adiknya “kurang sihat” pada ketika itu.
Menurut saksi, kejadian itu membuatnya rasa curiga terhadap Razif kerana dia didakwa membaca mantra bercampuran bahasa Arab dan bahasa asing yang tidak dapat dikenal pasti.
Pada 2015, bekas suami adik perempuan saksi itu mendedahkan beberapa petikan gambar menerusi “peranti digital” kepada saksi yang menunjukkan nota didakwa mengandungi catatan amalan sesat dilakukan syarikat Green Media.
Antara amalan itu termasuk memberi makanan kepada burung merpati di Makam Habib Noh, diizinkan berjudi dan tulisan perkataan ‘Mbah’, yang difahamkan oleh saksi sebagai ‘roh’ Nabi Muhammad, kata saksi.
Adik ipar saksi itu juga mengadu beliau menghadapi masalah dalam rumahtangganya pada ketika itu. Saksi berkata adiknya didakwa telah bercerai pada 2017.
Beliau diberitahu oleh adik iparnya bahawa adik perempuannya “tidak hadir (di rumah) dan kadang-kala pulang ke rumah lewat kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan Green Media”.
Saksi kemudian menganjurkan mesyuarat bersama adik-beradiknya pada lewat 2015 atau awal 2016 untuk memberi nasihat kepada adik perempuannya supaya menjauhi diri daripada Green Media.
Namun adiknya itu didakwa tidak mengendahkan nasihat tersebut dan meninggalkan mesyuarat itu.
“Saya anggap adik saya telah menolak nasihat saya. Saya ingat dia menyebut tentang sesuatu ganjaran besar, bahawa ‘durian runtuh’ akan datang bersama Green Media,” kata saksi itu.
“Saya memberitahunya dengan tegas, supaya memisahkan diri daripada ini (Green Media)...
“Dia adik perempuan saya dan saya sayang dia, dan saya mahu dia pisahkan diri daripada lelaki ini (Razif).
“Sehingga sekarang beliau tidak menerima sebarang ganjaran pun, sebenarnya hanya perkara buruk sahaja yang berlaku,” kata saksi itu lagi.
Pada 2016, saksi bersama adik iparnya, serta seorang lagi individu dipercayai terjejas atas perkara yang sama, membuat aduan kepada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
Membela anak guamnya, peguam bela Encik Simon Tan telah bertanya kepada saksi mengapa beliau tidak mendedahkan nota yang disampaikan adik iparnya kepada adiknya itu dan kemudian memutuskan untuk melaporkan perkara itu kepada Muis.
Saksi itu berkata:
“Sebenarnya itu adalah satu tindakan kasih saya demi melindungi adik saya.”
“Dengan memberitahu pihak rasmi seperti Muis, saya kira biar mereka memberitahu kami apa tindakan yang harus diambil seterusnya.”
Hakim Daerah Shaiffudin Saruwan menetapkan praperbicaraan pada 12 Julai ini. – Laporan tambahan SYED MUHAMMAD FIRDAUS
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg