Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Ustaz’ sebar ajaran sesat perlukan 13 isteri

Jun 26, 2024 | 10:32 PM
Mohd Razif Radi, yang didakwa mengajar doktrin yang menyeleweng dari ajaran Islam, dikatakan terlibat dalam ‘nikah batin’ dan memerlukan 13 isteri. Demikian dijelaskan salah seorang bekas pengikutnya, yang tampil sebagai saksi, dalam perbicaraan terhadap tertuduh pada 26 Jun.
Mohd Razif Radi, yang didakwa mengajar doktrin yang menyeleweng dari ajaran Islam, dikatakan terlibat dalam ‘nikah batin’ dan memerlukan 13 isteri. Demikian dijelaskan salah seorang bekas pengikutnya, yang tampil sebagai saksi, dalam perbicaraan terhadap tertuduh pada 26 Jun. - Foto ST

Seorang lelaki yang didakwa mengajar doktrin yang menyeleweng dari ajaran Islam dikatakan terlibat dalam ‘nikah batin’ dan memerlukan 13 isteri.

Demikian jelas salah seorang bekas pengikutnya dalam perbicaraan kes terhadap Mohd Razif Radi pada 26 Jun, yang memasuki hari ketiga.

Lelaki itu merupakan saksi keempat yang tampil untuk memberi keterangan di hadapan Hakim Daerah Shaiffudin Saruwan dalam perbicaraan tersebut.

Razif, warga Singapura berusia 66 tahun, dibicarakan bagi satu pertuduhan yang dikenakan ke atasnya di bawah Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla) kerana menyebar ajaran yang bertentangan dengan undang-undang Islam.

Dia dituduh berbuat demikian dari 2004 hingga 2020 dengan menyampaikan tiga ajaran palsu: perjudian adalah dibenarkan, lelaki dan perempuan boleh berkahwin secara sah melalui perkahwinan batin, dan dia mampu memanggil roh ‘Mbah’ – iaitu kononnya “nabi terakhir” atau dari keturunan nabi.

Bekas pengikut tersebut ditukil dalam laporan The Straits Times (ST) sebagai berkata: “Dia (Razif) mencadangkan agar kami buat (nikah batin) dan cari wanita di luar sana untuk meneruskan kepercayaannya mendapatkan 13 isteri.”

Saksi tersebut, yang tidak boleh dinamakan atas perintah mahkamah, menjelaskan beliau ada bersama Razif apabila tertuduh menikahi ‘isteri’ – seorang pemilik perniagaan – dalam satu nikah batin sedemikian.

Dalam perbicaraan sebelum ini, mahkamah diberitahu bahawa Razif boleh ‘dirasuk’ oleh ‘roh’ dikenali sebagai Mbah.

Saksi tersebut menerangkan bahawa beliau kemudian diberitahu Mbah adalah ‘Nabi Muhammad saw’.

Lelaki itu menambah bahawa menurut Razif, Mbah merupakan ‘kadi’ dalam nikah batin tersebut manakala ‘malaikat’ dan Allah swt merupakan saksi dalam pernikahan sedemikian.

Saksi itu memberitahu mahkamah bahawa beliau dan bekas isterinya menghadiri kelas Razif secara bersama dari 2004 hingga 2007.

Wanita itu meneruskan kehadiran dalam kelas selepas saksi berhenti menghadirinya. Keramahan wanita tersebut terhadap saksi menjadi kurang akrab dan wanita itu meminta untuk diceraikan pada 2008.

Penceraian itu dimuktamadkan dua tahun kemudian dan wanita itu kini mempunyai hak penjagaan penuh ke atas anak perempuannya, tambah beliau.

Saksi turut berkongsi bahawa wanita itu kemudian membuka perniagaan bersama Razif, namun tidak menjelaskan sama ada wanita itu menjadi isteri batin kepada Razif.

Saksi memberitahu Hakim Shaiffudin bahawa beliau kemudian mendapat tahu bahawa perkahwinan lelaki lain juga berakhir dengan cara yang sama.

Saksi kemudian bertemu dengan salah seorang lelaki terbabit. Beliau berkata: “(Lelaki terbabit itu) memberitahu saya bahawa ini perlu dihentikan... (Kami) pergi ke Muis (Majlis Ugama Islam Singapura) untuk mendapatkan nasihat tentang apa yang kami perlu lakukan.

“Ia mengambil masa yang lama sebelum Muis membalas kami... Selepas itu, kami tidak dapat apa-apa respons daripada Muis.”

Muis menyatakan di laman rasminya bahawa perjudian adalah dilarang dalam Islam dan nikah batin adalah perkahwinan yang berlaku tanpa beberapa syarat seperti saksi, akad nikah dan mas kahwin.

“Dalam kebanyakan kes, tidak ada batasan pada bilangan wanita yang ‘berkahwin’ dengan seorang lelaki melalui nikah batin yang menyimpang dari agama Islam seperti itu.

“Perbuatan seperti itu berlaku sama ada antara pengikut ajaran tertentu atau antara guru dan pelajarnya,” jelas Muis.

Saksi yang memberi keterangan pada 26 Jun memberitahu mahkamah bahawa seorang rakan memperkenalkannya kepada Razif pada 2004.

Menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya Hidayat Amir, lelaki itu memberitahu mahkamah bahawa beberapa kelas diadakan di rumah pengikut lain di Teck Whye.

Terdapat juga beberapa contoh apabila kumpulan itu bertemu di lokasi lain, termasuk di tepi pantai.

Lelaki itu menerangkan bahawa semasa satu sesi sebegitu di tepi pantai, Razif memberitahu kumpulan itu untuk melihat air dan meramalkan bahawa sulur air akan muncul.

“Saya melihat dengan mata kepala saya sendiri, dan saya terkesima. (Pengikut yang lain) tercengang,” tambahnya.

Lelaki itu berkata beliau kemudian merasakan bahawa Razif adalah “apa yang dikatannya” dan menambah: “Kami percaya dengan apa yang dia (Razif) katakan dan tidak akan pernah membantah apa yang dia galakkan kami lakukan.”

Saksi itu memberi keterangan bahawa pengikut Razif digalakkan untuk membuat pertaruhan dengan Singapore Pools dan hasil kemenangan akan digunakan untuk menambah pendapatan kumpulan itu.

Lelaki itu memberitahu mahkamah: “Dia membuat kami percaya bahawa apa sahaja yang kami lakukan akan diampuni... Saya (sebelumnya) diajar bahawa perjudian tidak dibenarkan.”

Saksi itu mengimbas kembali bahawa beliau hadir dalam satu nikah batin antara seorang ahli perniagaan wanita dengan Razif di sebuah bilik kecil dalam sebuah kedai di Joo Chiat milik ahli perniagaan tersebut.

Tetapi peguam bela tertuduh, Encik Simon Tan, menegaskan bahawa menurut wanita itu, yang memberi keterangan pada 25 Jun, peristiwa tersebut tidak berlaku.

Sebaliknya, wanita itu telah memberitahu mahkamah bahawa beliau berdiam diri apabila idea itu dicadangkan kepadanya, dan berhenti daripada berjumpa Razif tidak lama kemudian.

Perbicaraan akan disambung semula pada 27 Jun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg