Menerima Biasiswa Kementerian Pendidikan (MOE) bagi melanjutkan pengajian dalam bidang Biologi dan Pendidikan di Institut Pendidikan Nasional (NIE), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), menjadi detik pahit dan manis buat Encik Muhammad Danish Siregar Sahat Siregar, 23 tahun, abang kepada Cik Siti Aishah Siregar Sahat Siregar, 20 tahun.

Encik Muhammad Danish, yang menerima Biasiswa MOE pada 31 Julai, berkata adiknya, yang diharap dapat hadir menyaksikan majlis penyampaian biasiswa itu, kini dilaporkan hilang dan dipercayai berada di Kemboja.

Ketika ditemui Berita Harian selepas majlis di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands itu, beliau melahirkan harapan agar keluarganya terus tabah dan diberi kekuatan untuk mengharungi dugaan yang sedang dihadapi.

“Saya berasa seperti ada sesuatu yang tidak lengkap. Sebelum ini beliau memberitahu saya bahawa beliau akan datang (hadir acara ini). Jadi apabila beliau tiada, hati saya lebih luluh.

“Saya percaya beliau tentu mahu saya menerima biasiswa ini dengan penuh tabah dan bermaruah walaupun apa yang sedang berlaku.

“Saya tidak pernah menyangka betapa beratnya mengukir senyuman dalam keadaan seperti ini. Namun, saya tahu saya perlu kuat kerana itulah yang keluarga saya perlukan daripada saya sekarang.

“Sudah tentu saya amat sedih kerana seluruh keluarga saya tidak dapat bersama pada hari bermakna ini.

“Namun, saya yakin inilah ujian yang Allah tetapkan buat saya. Insya-Allah, dengan pertolongan-Nya, keluarga kami akan dapat mengharungi dugaan amat berat ini,” katanya dalam WhatsApp kepada Berita Harian.

Encik Muhammad Danish berkata minat untuk menjadi seorang pendidik lahir daripada pengalaman membimbing pelajar junior sejak di bangku sekolah serta mengajar tuisyen secara sambilan.

Baginya, kepuasan sebenar adalah apabila melihat seseorang pelajar akhirnya memahami sesuatu yang diajarkan.

Lulusan Diploma Sains Bioperubatan daripada Politeknik Singapura itu turut mengakui, salah seorang bekas guru Bahasa Melayunya adalah antara individu yang paling banyak mempengaruhi perjalanan hidupnya.

Sokongan dan dorongan yang diberikan guru itu ketika beliau menghadapi peperiksaan GCE peringkat ‘O’ memberi inspirasi kepadanya untuk menceburi bidang perguruan.

Bekas pemain bola sepak remaja kebangsaan yang pernah mewakili Singapura serta memimpin beberapa pasukan sebagai kapten itu berkata pengalaman dalam sukan banyak mengajarnya tentang disiplin, kepimpinan dan pengurusan masa, nilai yang ingin diterapkannya dalam bilik darjah.

Lantas beliau berharap dapat menjadi seorang guru yang bukan sahaja menyampaikan ilmu, malah membentuk keperibadian pelajar, sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dan merealisasikan impiannya untuk menjadi seorang pengetua sekolah.

“Sokongan dan dorongan yang diberikan ketika saya masih menuntut di sekolah menengah memberi inspirasi kepada saya untuk menjadi seorang guru yang bukan sahaja menyampaikan ilmu, malah membentuk sahsiah serta menjadi tempat pelajar mendapatkan bimbingan,” katanya.

Menjelang fasa baharu sebagai seorang guru, Encik Danish berharap dapat menjadi seorang pendidik yang mampu membentuk minda dan perwatakan pelajar, selain memasang impian untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dan suatu hari nanti, memimpin sebuah sekolah sebagai pengetua.