Masjid Darul Makmur amat komited dalam menjalankan pelbagai kegiatan bagi mendekatkan masjid kepada masyarakat dan pada masa yang sama, membawa masyarakat ke dalam masjid sewaktu projek peningkatan yang sedang berjalan kini.
Mengulas mengenai perkara ini, Pengerusi Eksekutif Masjid Darul Makmur, Encik Izuan Mohd Rais, berkata pihaknya sentiasa berusaha mendekati masyarakat setempat.
“Antara tumpuan strategik masjid adalah memupuk semangat kemasyarakatan yang kuat. Ini dapat dijadikan kenyataan dengan usaha masjid bekerjasama dengan jemaah, pelbagai rakan kongsi dan pihak berkepentingan,” jelasnya.
Pada waktu ini, Masjid Darul Makmur sedang ditutup sepenuhnya untuk projek peningkatan, dan lebih daripada 50 peratus kerja peningkatan telah selesai dilakukan. Antara program yang dianjurkan masjid bersempena mencari dana peningkatan ialah dengan mengadakan reruai di pameran ‘The Wedding Asia, Food & Lifestyle’ yang berlangsung dari 6 hingga 8 September lalu, bertempat di Singapore Expo.
“Alhamdulillah, pada hujung minggu lalu kami telah diberi kesempatan mencari dana dalam acara di Singapore Expo. Kami amat terharu dengan sokongan dan kehadiran masyarakat dan pengunjung pada sesi ceramah agama, motivasi dan juga Majlis Khatam Al-Quran yang telah dijalankan” ujar Encik Izuan.
Masjid Darul Makmur berkata dengan adanya ruangan ini, ia amat memudahkan penduduk yang menetap di kawasan timur Singapura berkunjung dan menghulur sumbangan derma untuk projek peningkatan yang sedang berjalan.
Bagi menggalakkan lebih ramai hadir pada acara yang dianjurkan, Masjid Darul Makmur telah mengambil daya usaha dengan mengadakan sesi bacaan Al-Quran sebanyak satu juzuk setiap malam bermula 8 Ogos lalu.
Sesi bacaan yang diadakan dalam talian melalui platform Facebook dan YouTube itu dipimpin oleh seorang guru Al-Quran yang mempunyai ramai pengikut di sosial media iaitu Ustaz Uwais Al Qorny dari Malaysia.
“Alhamdulillah, kami dapati ramai yang mengikuti bacaan secara langsung yang diadakan pada setiap malam, lebih daripada 400 penonton mengikuti acara bacaan yang diadakan setiap hari,” ujar Encik Izuan.
Melalui rayuan yang dijalankan secara online sewaktu sesi bacaan dan juga pada hari majlis Khatam Al-Quran pada Sabtu, 7 September, pihak masjid telah berjaya mengumpulkan lebih daripada $70,000 melalui sumbangan wakaf secara dalam talian. Ini melebihi daripada sasaran sebanyak $50,000 yang ditetapkan bagi sumbangan wakaf melalui acara ini sahaja.
Rata-rata penderma amat berterima kasih dan melihat kepada kesungguhan pembimbing bacaan dan penganjur yang mengadakan sesi ini selama 29 hari berterusan setiap malam sehingga akhirnya selesai bacaan Al-Quran 30 juzuk dalam masa 30 hari.
Terdapat juga rombongan seramai 40 peserta dari Malaysia yang ikut serta ke Singapura untuk menghadiri majlis Khatam Al-Quran.
Antara yang hadir ialah Cik Mariam Abdul Rahim, 68 tahun, peserta dari Bangsar, Malaysia. Beliau berkata: “Saya mendengar daripada teman mengenai kemeriahan dan suasana majlis khatam yang diadakan untuk mencari dana bagi projek peningkatan masjid, jadi saya hadir bersama dua kawan untuk sama-sama meraikan dan mengambil keberkatan dalam majlis tersebut.”
Kerja peningkatan Masjid Darul Makmur dijadualkan selesai pada penggal kedua tahun 2025. Masyarakat Islam dan penduduk di kawasan Yishun amat menantikan agar dapat kembali ke masjid dan menunaikan ibadah apabila masjid siap kelak.
Pihak masjid berharap usaha mendekati masyarakat dengan menganjurkan acara walaupun dalam talian sewaktu masjid ditutup bagi kerja peningkatan dapat memberi manfaat kepada semua.
“Masjid Darul Makmur masih mengalu-alukan sumbangan derma dan juga wakaf daripada masyarakat bagi menampung kos projek peningkatan yang masih memerlukan $3.5 juta.
“Kami mendoakan agar semua penderma diberikan kesihatan dan dimurahkan rezeki,” tambah Encik Izuan.
Sumbangan derma untuk Projek Peningkatan Masjid Darul Makmur boleh dilakukan melalui:
1. PayNow ke UEN S87MQ0033J (Rujukan: Wakaf MUP).
2. Pemindahan wang ke dalam akaun semasa OCBC 581-652138001 (Rujukan: Wakaf MUP).
3. Cek atas nama ‘MASJID DARUL MAKMUR’ dan dihantar melalui pos ke 950 Yishun Avenue 2, Singapura 769099.
4. Hadir di kaunter sementara masjid yang terletak di Masjid Assyafaah, 1 Admiralty Lane, Singapura 757620 (pada waktu pejabat).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg