Topik diikuti
Pergi ke BHkuAcara di 12 bandar M³+ galak keluarga ikuti gaya hidup sihat
Acara di 12 bandar M³+ galak keluarga ikuti gaya hidup sihat
Biasanya, perjumpaan keluarga besar Encik Muhammad Haris Ismail melibatkan jamuan bersama, seperti barbeku, namun perhimpunan mereka pada 11 Oktober berbeza sedikit.
Bersama sepupu dan adik-beradiknya, Encik Haris membentuk dua pasukan untuk menyertai cabaran kecergasan serupa Hyrox – pertandingan kecergasan jasmani antarabangsa – yang diadakan di Kelab Masyarakat Jurong Green.
Encik Haris, seorang pegawai penolong eksekutif berusia 29 tahun, berkata inisiatif sedemikian memberinya peluang mengeratkan hubungan kekeluargaan sambil kekal aktif.
Menurutnya, beliau dan keluarganya giat bersenam, tetapi selalunya secara berasingan.
“Mungkin kegiatan bersenam bersama-sama seperti ini boleh menjadi sebahagian rutin kami di masa depan,” ujar beliau.
Encik Haris dan keluarga antara 5,000 peserta yang menyertai acara Kasih Keluarga, Sihat Bersama (KKSB) pada 11 Oktober, yang dianjurkan antara lain untuk menggalak keluarga Melayu/Islam mengikuti gaya hidup lebih sihat.
Selain di Jurong, acara tersebut juga diadakan secara serentak di 11 bandar M Kuasa Tiga Plus (M³+)@Bandar di serata Singapura, iaitu di Toa Payoh, Jalan Besar, Woodlands, Marsiling Yew-Tee, Nee Soon, Bedok, Geylang Serai, Pasir Ris-Changi, Tampines, Punggol dan Chua Chu Kang.
