Walaupun mendekati dan mendidik masyarakat mengenai pemakanan sihat ialah usaha yang berterusan, masyarakat sendiri memain peranan penting untuk mengamalkan gaya hidup sihat, kata Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam.

“Pemakanan kita ialah sesuatu yang kita boleh perhatikan dan ubah kerana apa yang kita makan menjadi khasiat untuk badan kita. Jadi, pemilihan makanan itu penting,” ujar beliau.

Antara lain, tinjauan itu mendapati walaupun penduduk di Singapura telah mengurangkan pengambilan gula, ada peningkatan dalam kandungan kalori, lemak dan garam.

Justeru, Cik Rahayu berharap usaha pendidikan dapat diteruskan agar orang ramai dapat mempelajari tentang gaya hidup sihat dari segi pemakanan dan aktiviti yang boleh dilakukan bersama keluarga.

“Jika kita membina satu ekosistem atau suasana di mana menjadi sihat adalah satu kebiasaan, ia dapat memudahkan masyarakat dalam mengekalkan amalan yang dapat membantu mereka menjadi sihat,” kata beliau.

Pada 11 Oktober, Cik Rahayu menyertai sekitar 700 penduduk dan tetamu yang menghadiri acara Kasih Keluarga, Sihat Bersama (KKSB) M Kuasa Tiga Plus (M³+)@Jurong di Kelab Masyarakat Jurong Green.

Acara yang antara lain bertujuan menggalak gaya hidup sihat dalam kalangan keluarga Melayu/Islam itu antara acara serupa lain yang dijalankan di 12 bandar M³+@Bandar pada hari yang sama.

Ia merupakan inisiatif kesihatan yang diterajui Persatuan Rakyat (PA) bersama badan Melayu/Islam (MMO), badan India Muslim (IMO), masjid, serta rakan kongsi masyarakat lain.

Menari sambil bersenam antara kegiatan yang ditunjukkan di di acara Kasih Keluarga, Sihat Bersama di Kelab Masyarakat Jurong Green pada 11 Oktober.
Menari sambil bersenam antara kegiatan yang ditunjukkan di di acara Kasih Keluarga, Sihat Bersama di Kelab Masyarakat Jurong Green pada 11 Oktober. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Turut hadir bersama Cik Rahayu di Jurong ialah Anggota Parlimen (AP) Jurong East-Bukit Batok – Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu; Menteri Negara Kanan (Pengangkutan), Encik Murali Pillai, Encik Lee Hong Chuang dan Encik David Hoe.

AP SMC Jurong Central, Encik Xie Yao Quan; dan AP GRC West Coast-Jurong West, Dr Hamid Razak juga menyertai acara itu.

(Dari kiri) Anggota Parlimen (AP) GRC West Coast-Jurong West, Dr Hamid Razak; AP Jurong East-Bukit Batok, Encik Lee Hong Chuang; Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam; Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu; AP Jurong East-Bukit Batok, Encik David Hoe; AP SMC Jurong Central, Encik Xie Yao Quan, dan Menteri Negara Kanan (Pengangkutan), Encik Murali Pillai, di  acara Kasih Keluarga, Sihat Bersama (KKSB) di Kelab Masyarakat Jurong Green pada 11 Oktober.
(Dari kiri) Anggota Parlimen (AP) GRC West Coast-Jurong West, Dr Hamid Razak; AP Jurong East-Bukit Batok, Encik Lee Hong Chuang; Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam; Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu; AP Jurong East-Bukit Batok, Encik David Hoe; AP SMC Jurong Central, Encik Xie Yao Quan, dan Menteri Negara Kanan (Pengangkutan), Encik Murali Pillai, di acara Kasih Keluarga, Sihat Bersama (KKSB) di Kelab Masyarakat Jurong Green pada 11 Oktober. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

“Kita galakkan keluarga datang ke sini untuk memberikan mereka maklumat dan pemahaman tentang bagaimana kita dapat mengubah suai cara pemakanan agar mereka dapat terus kekal sihat,” kata Cik Rahayu, yang juga merupakan ketua untuk bidang fokus kesihatan masyarakat di bawah M³+.

Acara KKSB di Jurong menampilkan beberapa reruai yang berkongsi tentang maklumat kesihatan.

Misalnya, di reruai yang dikendalikan Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS) pengunjung boleh mendapat maklumat mengenai kandungan garam dalam makanan tempatan dan jumlah garam yang diperlukan kita secara harian.

Peserta juga dijemput untuk menyertai senaman seperti tarian kardio, yoga, dan cabaran jasmani yang diilhamkan daripada pertandingan kecergasan antarabangsa, Hyrox.