Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Acara futsal tingkat kesedaran bahaya dadah, kumpul dana peningkatan masjid

Dec 7, 2024 | 6:56 PM
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, menyampaikan ucapan ringkas sebelum permulaan Pertandingan Futsal Daerah Barat 2024 pada 7 Disember.
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, menyampaikan ucapan ringkas sebelum permulaan Pertandingan Futsal Daerah Barat 2024 pada 7 Disember. - Foto SITI SHAWALIZA ADI

Sebanyak 19 pasukan terdiri daripada 152 pemain pelbagai peringkat usia bersaing dalam perlawanan futsal amal pada 7 Disember untuk mendapat gelaran juara dalam kategori yang disertai.

Pertandingan Futsal Daerah Barat 2024 itu dianjurkan oleh Sektor Satu Masjid Daerah Barat; masjid ‘tiga serangkai’, iaitu Masjid Hussain Sulaiman dan Masjid Ahmad di Pasir Panjang, dan Masjid Hang Jebat di Queenstown; dan kempen Dadah itu Haram (DIH).

Acara yang diadakan di lima gelanggang di FutsalArena@Yishun itu bertujuan mengukuhkan ikatan antara relawan, kakitangan dan Lembaga Pentadbir Masjid (LPM) daerah barat.

Ia juga bertujuan mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan dengan menggalak gaya hidup lebih sihat dan mewujudkan kesedaran tentang kempen DIH.

Acara itu juga berjaya mengumpul $8,700 bagi menyokong peningkatan Masjid Darussalam di Commonwealth Avenue West.

Dalam ucapan ringkasnya di acara itu, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, meluahkan penghargaannya kepada masjid-masjid di Singapura kerana membuka pintu bukan hanya untuk membasmi dadah, tetapi untuk menolong mereka yang berada dalam perjalanan pemulihan dan penyepaduan semula.

“Kami di peringkat pemerintah akan terus menjaga Singapura supaya kita kalau boleh bebas dadah tapi ia bukan madah. Anak muda tertarik kepada dadah kerana ia menjanjikan wang yang mudah diperolehi.

“Mereka juga mempunyai rasa ingin tahu dan menghadapi tekanan daripada rakan sebaya mereka. Tapi yang kita tahu, dadah mendatangkan banyak masalah,” katanya.

Dr Faishal, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon, turut menyuarakan kebimbangannya terhadap trend negatif yang meningkat bagi penggunaan dadah dalam kalangan remaja dengan usia penagih yang semakin muda.

Pada Julai, beliau dilaporkan berkata seramai 16 pengguna dadah di bawah usia 16 tahun ditangkap pada empat bulan pertama 2024 berbanding 24 kes secara keseluruhannya pada 2023.

Dr Faishal berpesan kepada peserta acara itu agar beringat-ingat kerana semua orang “terdedah kepada risiko penyalahgunaan dadah”.

(Dari kiri) Pengerusi Masjid Darussalam, Ustaz Rashid Ramli; Naib Pengerusi Masjid Ahmad, Encik Mubarak Muhd Yusof; Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; Pengerusi Masjid Hang Jebat, Encik Rafi Eusope; dan Pengerusi Masjid Hussain Sulaiman, Ustaz Ali Atan; bergambar semasa penyerahan cek bagi menyokong peningkatan Masjid Darussalam di Pertandingan Futsal Daerah Barat 2024 pada 7 Disember.
(Dari kiri) Pengerusi Masjid Darussalam, Ustaz Rashid Ramli; Naib Pengerusi Masjid Ahmad, Encik Mubarak Muhd Yusof; Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; Pengerusi Masjid Hang Jebat, Encik Rafi Eusope; dan Pengerusi Masjid Hussain Sulaiman, Ustaz Ali Atan; bergambar semasa penyerahan cek bagi menyokong peningkatan Masjid Darussalam di Pertandingan Futsal Daerah Barat 2024 pada 7 Disember. - Foto SITI SHAWALIZA ADI

Perlawanan futsal itu diadakan dalam tiga kategori – relawan, kakitangan dan LPM; belia berumur 21 tahun dan ke bawah; serta warga emas aktif berumur 50 tahun dan ke atas.

Peserta acara itu juga berpeluang mendengar perkongsian oleh wakil daripada kempen DIH.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg