Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Faishal: Remaja terlibat dadah meningkat, ibu bapa perlu main peranan

Jul 10, 2024 | 6:45 PM
dadah, drugs
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara) Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata seramai 16 pengguna dadah di bawah usia 16 tahun telah ditangkap pada empat bulan pertama 2024 semasa berucap di Seminar Pelan Kerja 2024 di Singapore Expo pada 10 Julai. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Seramai 16 pengguna dadah di bawah usia 16 tahun telah ditangkap pada empat bulan pertama 2024 berbanding 24 kes secara keseluruhannya pada 2023.

Menyuarakan kebimbangannya terhadap trend negatif yang meningkat bagi penggunaan dadah dalam kalangan remaja, apatah lagi pada usia yang semakin muda, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata ibu bapa memainkan peranan sangat penting.

“Golongan ibu bapa memainkan peranan penting kerana mereka adalah orang utama yang mempengaruhi dan berkuasa ke atas anak-anak,” katanya semasa berucap di Seminar Pelan Kerja 2024 di Singapore Expo pada 10 Julai.

Menurut Dr Muhammad Faishal, meskipun Biro Narkotik Pusat (CNB) berjaya mengawal keadaan dadah tempatan, peningkatan berlaku disebabkan sikap belia yang kian berubah terhadap dadah.

Beliau menukil Tinjauan Persepsi Dadah Kebangsaan terkini yang menunjukkan dua daripada 10 dewasa bersetuju atau mengambil sikap berkecuali tentang kenyataan, “Pengambilan dadah adalah baik selagi ia tidak membahayakan orang lain”.

Ini berbanding dengan sentimen belia yang lebih tinggi iaitu tiga daripada 10 belia.

“Golongan belia mengambil pendirian bahawa penyalahgunaan dadah adalah pilihan peribadi dan oleh itu, boleh diterima,” jelas Dr Faishal.

“Saya fikir ini kerana belia kita lebih terdedah kepada maklumat salah dalam talian dan dari bidang kuasa asing, yang ada membentuk pandangan bahawa dadah itu tidak berbahaya, lantas menghasilkan pendirian lebih longgar terhadap dadah.”

Dalam pada itu, satu inisiatif baru yang melibatkan golongan belia bersama ibu bapa mereka akan dilaksanakan menerusi kerjasama antara Campus Legends, yang dibentuk pada 2019, dengan Majlis Mencegah Penyalahgunaan Dadah Kebangsaan (NCADA).

Kerjasama ini melibatkan penganjuran satu kejohanan e-sukan antara pusat pengajian tinggi yang bakal diadakan setiap tahun dan dianjurkan oleh Persatuan Sukan Siber & Permainan Dalam Talian Singapura (Scoga) dan Akademi Esports, bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kempen bebas dari dadah dalam kalangan masyarakat e-sukan.

Satu seminar ibu bapa akan turut dianjurkan semasa pertandingan akhir, Campus Legends Finale, pada Ogos ini bagi membina kesedaran tentang peranan mereka dalam pendidikan pencegahan dadah.

Dalam ucapannya, Dr Faishal turut menyentuh tentang usaha CNB menyemak semula rejim pemantauan dalam menangani isu permintaan untuk dadah dan menyokong pesalah yang dalam pemulihan untuk kekal bebas dari cengkaman dadah.

Antaranya ialah usaha CNB dan Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) meneliti bersama kit ujian rambut segera bersama Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX). Ujian ini dapat mengesahkan berbagai dadah seperti heroin dan methamphetamine dalam masa 20 minit.

Ini salah satu cara lebih bersih, dibandingkan dengan menggunakan air kencing untuk pemeriksaan pengguna dadah.

Dengan berbuat demikian, ia mengurangkan kekerapan ujian kerana tempoh pengesanan yang lebih panjang, sekali gus mengurangkan beban kerja keseluruhan dan masa yang diambil untuk ujian penyalahgunaan dadah. Ini turut membolehkan pegawai CNB mengambil tindakan yang perlu dengan lebih cepat.

Acara itu dihadiri kira-kira 600 peserta termasuk ahli jawatankuasa kerja Jawatankuasa Antara Kementerian (IMC) Pencegahan Dadah untuk Belia, Juara DrugFreeSG, rakan kongsi masyarakat dan penyokong perubahan daripada sektor awam dan swasta.

Sebab salah guna dadah meningkat dalam kalangan belia

“Golongan belia mengambil pendirian bahawa penyalahgunaan dadah adalah pilihan peribadi dan oleh itu, boleh diterima. Saya fikir ini kerana belia kita lebih terdedah kepada maklumat salah dalam talian dan dari bidang kuasa asing, yang ada membentuk pandangan bahawa dadah itu tidak berbahaya, lantas menghasilkan pendirian lebih longgar terhadap dadah.”
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg