Kira-kira $150,000 dikumpulkan menerusi acara bola sepak amal korporat Goals for Good di Pusat Sukan ActiveSG Punggol yang baharu pada 28 November.

Dengan kehadiran Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pendidikan), Dr Janil Puthucheary, sebagai tetamu terhormat, acara itu juga merupakan acara korporat pertama yang diadakan di kemudahan enam tingkat tersebut sejak dirasmikan pada 22 November.

Program itu diadakan sempena ulang tahun ke-10 gerakan Company of Good oleh Pusat Sukarelawan dan Kedermawanan Nasional (NVPC), yang bekerjasama dengan syarikat di Singapura untuk menyumbang kepada masyarakat.

Acara Goals for Good pula dianjurkan oleh Vector Green, sebuah syarikat kejuruteraan tenaga dan kemampanan yang berpangkalan di Singapura.

Acara itu merangkumi pertandingan yang melibatkan 20 pasukan korporat, serta perlawanan yang menampilkan bekas pemain antarabangsa seperti Aleksandar Duric, Lionel Lewis dan Gusta Guzarishah. 

Hasil kutipan dana akan disumbangkan kepada SportCares, Samaritans of Singapore dan Special Olympics Singapore.

Pengarah urusan Vector Green, Encik Ben Teng, yang merupakan bekas naib presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dan bekas pengerusi Geylang International, berkata: “Tujuan korporat Vector Green ialah ‘Inovasi untuk Kebaikan’. 

“Sebagai penyokong setia gerakan Company of Good NVPC, saya percaya syarikat, sama ada syarikat multinasional atau syarikat kecil dan sederhana (SME), harus berusaha dan melakukan kebaikan untuk masyarakat.”

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Mereka yang ingin menyumbang kepada tujuan itu boleh melayari giving.sg.