“24 November menandakan Klinik Bola Sepak BH-Singa Legends yang pertama, dianjurkan sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-70 Berita Harian (BH). 

Acara ini juga membawa makna yang lebih besar kerana semua hasil kutipan akan disalurkan kepada badan amal menerusi Biasiswa BH-AMP.

Biasiswa ini membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan yang melanjutkan pengajian dalam bidang Media, Komunikasi dan Pengajian Melayu. 

Justeru, sambil kita membina bakat bola sepak muda, kita juga melakukan sesuatu yang baik untuk masyarakat yang lebih luas.

Namun, acara ini juga bertujuan meraikan sukan bola sepak.

Selepas ucapan saya sebelum ini, kakitangan saya berpesan supaya saya tidak lagi membuat jenaka tentang bola sepak, khususnya yang berkaitan dengan Liverpool. 

Oleh itu, saya berjanji untuk berhenti melakukan jenaka seperti itu.

Namun, mereka pula meminta saya berucap di sebuah acara bola sepak.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Justeru, agak sukar untuk saya menepati janji itu. 

Saya pasti peminat Liverpool tidak kisah.

Sebenarnya, saya amat menghormati Liverpool.

Mereka kelab yang hebat dengan sejarah yang membanggakan.

Cuma kebetulan saya menyokong kelab yang lebih besar iaitu Manchester United.

Saya pasti ramai belia di sini teruja untuk bertemu wira-wira bola sepak kita pada hari ini.

Malah, ada antara kakitangan saya yang lebih teruja lagi.

Saya tidak akan sebut nama mereka, tetapi anda semua akan tahu juga nanti.

Saya cuma berharap mereka ingat bahawa klinik ini adalah untuk kanak-kanak.

Dalam nada yang lebih serius, kita amat berbesar hati kerana dapat bersama legenda bola sepak Singapura pada acara ini, termasuk Fandi Ahmad, Abbas Saad dan legenda ‘Rock of Gibraltar’, Samad Allapitchay. 

Singa Legends ini telah memberikan kita begitu banyak kenangan indah.

Mereka membawa kebanggaan kepada Singapura, menyatukan peminat daripada pelbagai latar belakang, dan memberi inspirasi kepada generasi demi generasi peminat bola sepak. 

Bagi kebanyakan daripada kita, mereka merupakan wira yang kita kagumi sejak kecil, yang kita tonton dan sokong.

Kini, mereka berada di sini untuk berkongsi pengalaman, kemahiran dan semangat mereka dengan generasi muda. 

Kami amat menghargai kemurahan hati dan komitmen mereka.

Kesanggupan mereka untuk menyumbang kembali kepada masyarakat membuktikan bahawa bola sepak bukan sekadar permainan.

Sebaliknya, sukan ini mampu menyatukan masyarakat tanpa mengira usia dan latar belakang. 

Mari kita berikan tepukan gemuruh kepada Singa Legends kita.

Di BH, kami juga amat mementingkan usaha mencungkil dan membangunkan bakat muda.

Sebenarnya, BH mempunyai pasukan bola sepak yang agak mantap. 

Saya pernah menawarkan diri untuk menyertai pasukan itu dengan harapan dapat membantu mereka bermain dengan lebih baik.

Namun, tawaran saya ditolak secara sopan oleh kakitangan saya. 

Sebagai Editor, saya bersetuju untuk memberi laluan kepada bakat muda kerana saya percaya dalam memberi peluang.

Malah Ronaldo pun akhirnya perlu memberi laluan.

Nampaknya kakitangan saya bersetuju dengan saya.

Namun, klinik pada hari ini bukan sekadar tentang bola sepak.

Ia juga tentang disiplin, kerja berpasukan, ketabahan dan percaya pada diri sendiri.

Legenda-legenda kita akan mengajar belia-belia ini cara pertahanan yang betul, cara menghantar bola dan, yang paling penting, cara menjaringkan gol. 

Sebenarnya, saya terfikir satu kelab liga perdana yang mungkin boleh mendapat manfaat daripada bimbingan ini, terutamanya dalam hal pertahanan dan menjaringkan gol.

Namun, jangan kita bercakap tentang Manchester United hari ini.

Kami sudah “makan” empat perata kosong dalam perlawanan terakhir kami.

Bagaimanapun, hari ini sepatutnya menjadi detik yang menggembirakan.

Jangan kita rosakkannya.

Matlamat klinik ini adalah untuk memberi inspirasi kepada kanak-kanak, bukan untuk membuat mereka kecewa.

Sebagai peminat tegar Manchester United, menyakitkan hati saya untuk mengatakan ini.

Tetapi bola sepak mengajar kita erti ketabahan.

Jangan sekali-kali berputus asa dengan impian anda.

Suatu hari nanti, kelab anda akan menang Liga Perdana England (EPL) semula.

Anda hanya perlu bersabar. 

Ada kelab yang terpaksa menunggu 30 tahun untuk menjuarai EPL sekali lagi.

Saya tidak akan sebut nama kelab itu, tetapi ia sebuah kelab dari Merseyside, tidak jauh daripada Everton.

30 tahun adalah tempoh yang panjang, tetapi saya benar-benar berharap tiada seorang pun daripada kamu, pemain muda di sini, perlu menunggu selama itu untuk mencapai impian kamu. 

Siapa tahu? Suatu hari nanti, sesetengah daripada kamu mungkin mengikut jejak langkah Fandi dan legenda-legenda kita yang lain, dan seterusnya mewakili Singapura. 

Walau apa pun, saya berharap kamu semua dapat membawa pulang nilai-nilai murni yang diterapkan melalui sukan bola sepak, seperti kerja keras, disiplin dan semangat berpasukan. 

Nilai-nilai ini bukan sahaja penting di padang bola sepak, malah turut membantu kamu di sekolah dan dalam kehidupan seharian pada masa hadapan. 

Pada pandangan saya, inti pati sebenar sambutan ulang tahun ke-70 BH adalah tentang meraikan sejarah kita, menyumbang kembali kepada masyarakat dan melabur demi masa depan generasi akan datang.

Setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada Singa Legends, jurulatih kami, sukarelawan dan semua yang membantu menjayakan acara ini.

Kepada belia-belia di sini, nikmatilah detik ini, belajarlah sebanyak yang kamu boleh, dan yang paling penting, berseronoklah.

Ingatlah, legenda Singa kita juga bermula dari bawah.

Oleh itu, impikanlah sesuatu yang besar dan berusahalah dengan gigih untuk mencapainya.

Siapa tahu, suatu hari nanti, kamu pula akan menjadi legenda dalam bidang yang diceburi. 

Apabila kamu menjadi terkenal kelak, jangan lupakan BH, terutamanya apabila kami datang mencari kamu untuk sesi temu ramah.

Terima kasih.”