Pembelajaran adalah satu perjalanan sepanjang hayat yang mengubah diri dan memperkukuh iman.
Wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw, “Bacalah!...” (Surah al-’Alaq, ayat 1). Ini jelas menunjukkan betapa pentingnya pendidikan Islam dalam membina asas agama dan kehidupan yang bermakna.
“Sesiapa yang menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan mudahkan baginya jalan menuju syurga.” (Hadis Riwayat Muslim)
Mengapa ilmu Islam penting dalam konteks kehidupan moden?
Ilmu menjadi jalan bagi seseorang mencapai kefahaman agama yang mendalam, membina sifat ihsan serta menyempurnakan ibadah. Ia bukan semata-mata alat duniawi, bahkan wasilah, jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah swt.
Islam memuliakan ilmu dan menggalakkan umatnya menggunakan akal serta renungan bagi memahami tanda-tanda kebesaran Allah. Firman Allah swt: “Sungguh, dalam hal yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berfikir.” (Surah Al-Jathiyah, ayat 13)
Dalam dunia yang penuh cabaran hari ini, keperluan untuk memperoleh ilmu Islam yang sahih semakin mendesak, bukan sahaja bagi memperkukuh akidah, malah membentuk umat yang berilmu dan menyeluruh.
Semangat pembelajaran Islam ini disemarakkan secara menyeluruh dalam LearnIslam Festival 2025, anjuran Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dengan penyertaan Kumpulan Kerja Pendidikan Islam (IEWG). Festival dua hari di Singapore Expo pada 26 hingga 27 Julai menarik lebih 13,000 pengunjung daripada pelbagai latar belakang.
Bertemakan ‘Semai Benih Keimanan’, festival ini menjadi medan ilmu yang menampilkan pelbagai bentuk pembelajaran Islam yang kontemporari, inklusif dan menyeluruh. Seperti menanam benih yang menandakan permulaan pertumbuhan, tema ini menggambarkan usaha penganjur untuk mencetuskan rasa ingin tahu, pemahaman, dan kecintaan terhadap Islam merentasi semua peringkat umur.
Festival itu turut menampilkan ceramah oleh pakar psikologi terkemuka, Dr Rania Awaad. Ceramah yang merupakan sebahagian daripada acara tahunan, ADIL Knowledge Retreat, itu membawa pengunjung menghayati tajuk ‘Mencari Ketenangan dalam Kecelaruan’. Dr Rania menekankan kepentingan menjaga kesihatan mental sambil menanam nilai Islam sebagai panduan menghadapi cabaran kehidupan moden.
Selain itu, penyanyi terkenal, Aisyah Aziz, turut berkongsi tentang perjalanan hijrah beliau yang penuh inspirasi. Beliau dan pengunjung juga mendapat panduan berguna daripada Ustazah Nur Hidayah Azman. Perkongsian mereka memberi semangat bahawa perubahan diri dan mendalami ilmu agama boleh berlaku pada apa jua peringkat usia.
Pengunjung festival turut berpeluang mendalami ilmu merancang harta secara bijak menurut panduan Islam dalam sesi ceramah Fiqh Perancangan Harta, yang diadakan di bawah daya usaha Wakaf Masyarakat Singapura (WMS). Panelis ceramah berkongsi bagaimana seseorang boleh menyediakan keperluan keluarga dan pada masa yang sama, membuat persediaan akhirat dengan meninggalkan legasi yang diberkati.
Selain pelbagai sesi ceramah, pengunjung turut menikmati alunan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan penceritaan tentang kisah-kisah daripada Al-Quran melalui Pertandingan Al-Quran aLIVE; tunjuk cara masakan halal oleh Cef Gero Omar daripada Restoran Italy Kucina; serta persembahan daripada The Mi’raj Project dan Imran Ajmain.
Mereka yang berkunjung ke pelbagai reruai di festival itu turut berpeluang meninjau pendekatan pembelajaran yang inovatif daripada 10 institusi di bawah gabungan penyedia Pusat Pendidikan Islam (IECP), seperti Persatuan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) dan Perdaus.
Dalam hantaran media sosialnya, tetamu terhormat acara LearnIslam Festival 2025, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim, menzahirkan penghargaan atas usaha Muis dan IECP dalam menyediakan laluan pembelajaran yang menarik dan sesuai mengikut usia seperti:
* Program aLIVE – Pembelajaran awal Islam kanak-kanak berusia 5-17 tahun
* ADIL – Kelas-kelas bagi memperkaya pemahaman remaja dan dewasa
* Modul Self-Paced Learning (SPL) – Kursus dalam talian bagi memenuhi keperluan golongan yang bekerja
Tidak kira usia atau latar belakang, terdapat program pembelajaran Islam yang sesuai untuk memulakan atau meneruskan perjalanan rohani anda.
Mulakan Perjalanan Pembelajaran Islam Anda Hari Ini
Dengan sambutan hangat dan penyertaan ramai, LearnIslam Festival 2025 menjadi titik penting dalam mengukuhkan hala tuju pendidikan Islam di Singapura yang berteraskan rahmah, ilmu dan perpaduan.
Teruskan menjadikan ilmu sebagai penerang dalam menghadapi cabaran kehidupan moden. Tidak kira usia atau latar belakang anda, terdapat program pembelajaran Islam yang sesuai untuk memulakan atau meneruskan perjalanan kerohanian anda.
Terlepas acara ini? Saksikan sorotan LearnIslam Festival 2025 di laman media sosial kami di Facebook dan Instagram @LearnIslam.SG!
Untuk maklumat lanjut dan mendaftar program pembelajaran Islam, layari: https://learnislam.sg/
Penulis merupakan Pegawai di Jabatan Pendidikan, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg