Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jadikan ilmu sebagai tunjang agama melalui program ‘LearnIslam Day’

Acara pada 17 Ogos di Begonia Pavilion, Downtown East, turut tampilkan pelbagai program termasuk seminar ‘ADIL Knowledge Retreat’ bersama asatizah dan selebriti mapan 
Jul 28, 2024 | 5:30 AM
Pelajar di kelas aLIVE serta Pembelajaran Islam Dewasa (ADIL) mendapat manfaat daripada sukatan pelajaran yang teratur dan tenaga pengajar yang bertauliah.
Pelajar di kelas aLIVE serta Pembelajaran Islam Dewasa (ADIL) mendapat manfaat daripada sukatan pelajaran yang teratur dan tenaga pengajar yang bertauliah. - Foto MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA (MUIS)

USTAZ MUHAMMAD KHAIRANI BASIRAN

Islam adalah agama yang menitikberatkan ilmu pengetahuan. Seorang Muslim yang baik bukan sekadar melaksanakan amalan dengan tekun, malah mendalami juga pemahaman agama.

Daripada wahyu pertama, “Bacalah!” sehingga hadis Nabi Muhammad saw yang menyebutkan darjat seorang alim berbanding seorang ahli ibadah. Ulama seperti Imam Asy-Syafii rahimahullah memahami kepentingan ilmu dan mereka menjelajah muka bumi bagi memperoleh ilmu. 

Dunia moden kini menjadikan usaha mencari apa juga bidang ilmu sangat mudah. Dengan perkembangan kecerdasan buatan, atau AI, generasi sekarang dan masa hadapan pasti berhadapan dengan cabaran unik dalam perjalanan menimba ilmu. 

Dahulu, pencarian ilmu memerlukan perjalanan merentasi benua, demi mencari sepotong hadis yang dimiliki oleh seorang guru. Kini, aplikasi popular seperti ChatGPT mampu memberikan jawapan bagi apa juga persoalan yang diajukan kepadanya. 

Namun, usah kita leka dan fikirkan teknologi yang ada kini bererti segala kepayahan dalam menimba ilmu telah selesai. Sebaliknya, kita kini berhadapan dengan cabaran cuba memastikan setiap maklumat yang kita perolehi itu tepat dan benar.

Hal ini menjadi lebih genting bagi pengetahuan agama, dengan setiap amalan perlu bersandarkan kepada Al-Quran ataupun amalan sunah. Jika kita gagal menapis maklumat agama, yang sahih ataupun tidak, yang kita perolehi semata-mata daripada dalam talian, ini mampu mengundang padah yang berpanjangan bagi generasi masa hadapan.

Seperti ulama pada masa dahulu yang mendapat sokongan daripada keluarga dan orang terdekat dalam kembara ilmu mereka, begitu juga anak-anak kita dan generasi yang akan datang. Mereka memerlukan ibu bapa dan sokongan daripada orang sekeliling, untuk membawa mereka ke hadapan.

Sebagai ibu bapa, kita perlu peka terhadap perkembangan sejagat dan memastikan kita mengikuti arus perubahan yang berlaku dalam pelbagai bidang, termasuk pendidikan. Kita perlu akur nilai ilmu bergantung pada keabsahan maklumat (kedudukan yang sah) dan hal ini termasuk dalam urusan keagamaan.

Contohnya, fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Singapura berkenaan wang simpanan di Tabung Simpanan Pekerja (CPF) yang pertama dikeluarkan pada 1986, telah diubah atau dipinda pada 2003, dan yang terakhir pada 2014. Pindaan yang berlaku pada fatwa tersebut adalah disebabkan perubahan yang berlaku pada sistem CPF, membuktikan kepentingan keabsahan maklumat yang ada.

Sebagai individu, kita juga perlu akur ilmu agama merupakan satu bidang kepakaran yang bercabang, seperti perubatan. Ada ketika kita hanya perlu bertemu doktor perubatan dan pada masa yang lain juga, kita memerlukan rawatan daripada pakar yang khusus. Begitu juga dalam hal ehwal agama. 

Antara cara terbaik untuk mendalami ilmu agama adalah dengan merujuk kepada ahlinya. Sama ada mengikuti program pengajian aLIVE ataupun Pembelajaran Islam Dewasa (ADIL) secara fizikal di masjid, ataupun secara dalam talian. Dengan mendapatkan maklumat terkini melalui laman www.learnislam.sg, di mana asatizah yang mengajar disahkan bertauliah.

Walaupun beliau merupakan seorang alim yang begitu dikenali dan telahpun mengeluarkan fatwa sewaktu di Iraq, Imam Asy-Syafii membuat keputusan untuk menjadi seorang murid semula ketika tiba di Mesir.

Antara sebab beliau melakukan hal yang sedemikian kerana beliau melihat konteks kehidupan di Mesir yang agak berbeza daripada suasana di Iraq.

Di sini kita dapat lihat kebijaksanaan yang ditonjolkan oleh Imam Asy-Syafii dalam memahami kesan persekitaran terhadap perkembangan ilmu dan perkembangan agama. 

Ilmu yang diraih sewajarnya menjadikan kita Muslim yang baik dan lebih memahami tuntutan agama jauh daripada sekadar amalan ritualisme sahaja.

Pada masa yang sama, berbekalkan ilmu di dada, kita seharusnya mampu menyumbang kepada pembangunan Singapura tanpa mengorbankan pendirian kita sebagai seorang Muslim. 

Sama-sama kita berusaha sebagai sebuah masyarakat yang menjadikan ilmu sebagai tunjang agama dengan meluangkan masa pada Sabtu, 17 Ogos ini, untuk menghadiri acara, ‘LearnIslam Day’.

Acara yang diadakan bermula dari 9 pagi hingga 10 malam ini, berlangsung di Begonia Pavilion, Downtown East.

Ia turut menampilkan pelbagai program menarik termasuk seminar ‘ADIL Knowledge Retreat bersama asatizah, Ustaz Mizi Wahid, Ustazah Syariati Sulaiman, Ustaz Nuzhan dan geng NJU, serta selebriti mapan seperti Sujimy Mohamad dan Shenty Feliziana. 

Kunjungi Instagram learnIslam.sg, untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Penulis merupakan Pegawai Komunikasi dan Penglibatan Masyarakat di Masjid Al-Istiqamah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg