Buat julung-julung kalinya, Darul Arqam Singapura akan mengadakan acara Soulebration: The Grand Mawlid, pada Ahad, 6 Oktober 2024 ini, bertempat di Suntec Convention Centre, Dewan 406.
Acara ini bertujuan menyemarakkan lagi rasa cinta dan kasih sayang terhadap junjungan besar Nabi Muhammad saw melalui forum, ceramah, dan persembahan qasidah.
Menurut Penolong Ketua Jabatan Dakwah di Darul Arqam, Encik Muhammad Khidhir Idris, acara ini diharapkan mampu menerapkan sikap mulia seperti kecintaan, hormat dan kasih sayang kepada baginda.
“Acara ini diadakan untuk memperkukuhkan hubungan kerohanian masyarakat Islam melalui siri ceramah dan qasidah, terutamanya mualaf yang baru sahaja memeluk Islam. Kami berharap agar acara ini dapat memberi inspirasi dan pengajaran kepada semua peserta tentang kasih sayang dan rahmat Rasulullah saw, serta betapa pentingnya penerapan akhlak baginda dalam kehidupan harian manusia,” jelas Encik Muhammad Khidhir.
Selain meraikan kecintaan terhadap Rasulullah saw, acara Maulid ini juga bertujuan mengutuhkan lagi ikatan kekeluargaan dan memberi ruang kepada masyarakat bersama-sama menghayati kasih sayang yang diajarkan oleh Rasulullah terhadap keluarga baginda. Melalui forum dan ceramah, peserta dapat mendalami ajaran Nabi Muhammad saw dan bagaimana baginda menjadi contoh teladan kepada umat Islam seluruh dunia.
Acara ini bakal menampilkan beberapa program menarik, termasuk:
1. Forum bahasa Inggeris: ‘Exemplifying Compassion and Family Unity - The Prophet’s Way’ oleh Ustazah Liyana Musfirah dan Ustaz Tarmizi Wahid. Mereka akan membentangkan cara Nabi Muhammad saw menunjukkan kasih sayang dan perpaduan dalam keluarganya. Moderator majlis Ustaz Dr Mubarak Habib.
2. Ceramah Bahasa Melayu: ‘Cinta Rasul saw’ oleh Ustaz Nuzhan Abdul Halim dan kumpulan Relite Qasidah Club, yang akan membincangkan tentang kecintaan yang mendalam terhadap Nabi Muhammad saw serta bagaimana ajaran baginda adalah sumber inspirasi kepada umat Islam. Acara ini juga akan dimeriahkan dengan persembahan istimewa oleh penyanyi tempatan, Hady Mirza.
Pendaftaran terbuka kepada semua yang berminat. Untuk maklumat lanjut atau mendapatkan tiket, sila layari www.mcas.sg/soulebration atau ikuti media sosial Instagram @darularqamsg.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg