Golongan belia berpeluang berhubung dengan para profesional untuk merancang laluan kerjaya mereka melalui Pesta Belia M3 pada hari Sabtu, 12 Julai.
Pelbagai topik akan dibincangkan, termasuk bagaimana belia dapat meningkatkan keyakinan diri, merancang kerjaya masa hadapan, serta meneroka bidang teknologi, kelestarian, dan perniagaan.
Acara yang akan berlangsung dari pukul 2 petang hingga 7 malam ini turut menampilkan persembahan dikir barat dan segmen nyanyian, selain aktiviti interaktif seperti lukisan batik, permainan tradisional, dan cabaran berkumpulan.
Acara ini kerjasama bersama Belia Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA Mesra), Yayasan Mendaki, Majlis Belia Kebangsaan (NYC), Muis dan Kelab Mendaki bertujuan untuk memperkasakan kreativiti dan kesejahteraan belia.
“Ia adalah peluang yang baik untuk belajar daripada Belia Melayu-Islam lain yang telah menempuh jalan yang berbeza dan juga bukan konvensional untuk berjaya. Kami berharap pengalaman yang menyeronokkan dapat memberi inspirasi kepada belia dalam membina keyakinan dan mengawal masa depan mereka.” kata Encik Iylia Shukor, Pengerusi Belia MESRA, semasa dihubungi Berita Harian.
Segmen “Get FutureReady” pula membuka ruang untuk belia berinteraksi secara langsung dengan pemimpin industri dalam bidang teknologi, kelestarian, dan keusahawanan. Inilah peluang terbaik untuk mendapatkan inspirasi serta tip praktikal bagi mempersiapkan diri menghadapi dunia kerjaya yang mencabar.
Kembali dengan lebih menarik, “Cool-Yah Conversations: Flash Mentoring” menawarkan sesi bimbingan ringkas yang padat dengan ilmu. Peserta boleh berbincang tentang cara membina keyakinan diri dan merancang laluan kerjaya bersama mentor yang berpengalaman.
Selain itu, “Chat with Me: Asatizah Edition” menjemput anda berbual santai bersama asatizah muda seperti Ustaz Muhammad Fizar Zinal, Ustaz Faritz Mohamed Hairudin, Ustazah Amirah Munawwarah Idilfitri, dan Ustazah Amalina Abdul Nasir. Sesi ini memberi ruang untuk bertanya soalan secara terbuka dan mendalami pandangan mengenai kehidupan dan kerohanian.
Program festival ini mengajak belia menyertai sesi dialog santai bersama profesional muda yang berjaya melalui “Diverse Pathways to Success.” Jangan lepaskan peluang untuk bertemu dengan figura inspirasi seperti ahli fisiologis senaman klinikal, Muhd Syafiq Faruq dan Perunding UX Siti Aishah Hussinee.
Yang hadir juga akan dapat menikmati komponen budaya festival yang menampilkan persembahan NUS Dikir Barat dan Yunie Karim, dikendalikan oleh Syukri Azman, serta pelbagai aktiviti interaktif dan permainan tradisional yang mengeratkan hubungan peserta dalam suasana meriah.
Selain itu, pengunjung berpeluang meneroka aktiviti interaktif seperti bengkel lukisan batik, permainan tradisional, serta cabaran berkumpulan seperti Foam Blasters dan Bubble Soccer turut diadakan, memberi peluang kepada peserta untuk bergaul dan mengeratkan hubungan melalui persaingan yang mesra.
Pengunjung juga boleh menikmati makanan secara percuma seperti Bubble Tea dan ais krim dan mendapatkan barangan cenderahati yang direka cantik.
Malah, terdapat juga baucar menarik untuk dimenangi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg