Persatuan Berkaitan Penyelidikan dan Pendidikan Haiwan (Acres) akan berhenti menyediakan khidmat menyelamat haiwan liar sepanjang hari, mulai 15 Jun.
Langkah tersebut diambil disebabkan kekurangan dana menyusuli kenaikan dalam jumlah haiwan liar yang perlu diselamatkan dan dipulihkan oleh badan perlindungan haiwan itu.
Talian penyelamat haiwan liar kelolaan Acres akan beroperasi dari 7 pagi hingga 1 pagi setiap hari, mulai tarikh tersebut.
Ini kali pertama Acres terpaksa mengurangkan waktu operasinya sejak talian 24 jam itu dilancarkan hampir dua dekad lalu.
Jurucakap Acres memberitahu The Straits Times (ST) bahawa panggilan ke talian itu melonjak 50 peratus, dan bilangan haiwan yang dirawat Acres juga meningkat sepanjang empat tahun lalu.
Bagi tahun kewangan 2023, iaitu dari 1 April 2022 hingga 31 Mac 2023, Acres menerima 15,000 panggilan, naik daripada 9,800 panggilan bagi tahun kewangan 2019.
Ini bermakna sebanyak 1,250 panggilan sebulan secara purata diterima bagi tahun kewangan 2023, dengan 375 kes haiwan liar diselamatkan setiap bulan secara purata, daripada panggilan tersebut.
Jumlah panggilan yang meningkat itu disebabkan pelbagai faktor, contohnya, minat lebih mendalam terhadap haiwan liar dalam kalangan orang ramai semasa pandemik Covid-19.
Faktor lain termasuk semakin banyak haiwan liar kini berada berhampiran estet perumahan, menyebabkan lebih banyak hidupan liar yang memerlukan bantuan dikesan, tambahnya.
Acres perlu menarik lebih ramai kakitangan untuk menangani kes yang kian meningkat, katanya.
Menurut laporan tahunan Acres, panggilan mengenai haiwan atau hidupan liar daripada orang ramai meningkat secara berterusan sejak tahun kewangan 2019.
Tiga tahun kemudian, jumlah panggilan memuncak kepada 18,528 panggilan - jumlah tertinggi dalam sejarah pertubuhan itu setakat ini.
Haiwan liar asli seperti tenggiling dan musang pulut, serta haiwan eksotik daripada perdagangan haram haiwan peliharaan seperti kura-kura, hanyalah sebahagian kecil spesies haiwan yang diselamatkan Acres menerusi panggilan tersebut.
“Kami cuba pelbagai cara untuk mengurus kerja yang bertambah, dengan (tahap) kejayaan berbeza-beza, misalnya, dengan menggalak khidmat sukarelawan, dan membeli kenderaan respons pantas untuk digunakan dalam keadaan sesuai bagi melengkapi van penyelamat kami,” jelas jurucakap itu.
Langkah mengurangkan waktu operasi talian Acres kepada 18 jam dipilih untuk mengurangkan kesulitan yang dihadapi pemanggil.
Ini kerana kurang daripada 19 panggilan diterima setiap bulan dari 1 pagi hingga 7 pagi.
Semasa waktu tanpa kakitangan bertugas, mereka yang menghubungi Acres melalui WhatsApp akan mendapat maklumat yang menerangkan cara menangani senario melibatkan haiwan liar yang sering terjadi, contohnya, bimbingan membantu anak burung dan kelawar yang tidak bermaya dan tidak mampu terbang.
Untuk hubungi Acres taliannya adalah 9783-7782, atau e-mel info@acres.org.sg.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg