Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

NParks siasat lelaki disyaki bunuh ayam liar di Taman Pasir Ris

Feb 21, 2024 | 5:26 PM
Lembaga Taman Negara (NParks) sedang menyiasat laporan menyusuli hantaran Facebook pada 17 Februari oleh Encik Joel Lee, menyatakan seorang lelaki yang disyaki mengambil dan membunuh ayam liar dari Taman Pasir Ris.
Lembaga Taman Negara (NParks) sedang menyiasat laporan menyusuli hantaran Facebook pada 17 Februari oleh Encik Joel Lee, menyatakan seorang lelaki yang disyaki mengambil dan membunuh ayam liar dari Taman Pasir Ris. - Foto FACEBOOK/JOELLEE

Lembaga Taman Negara (NParks) berkata ia sedang menyiasat kes seorang lelaki yang disyaki menangkap ayam liar di Taman Pasir Ris pada 17 Februari.

Ini memandangkan tindakan untuk menangkap atau mengalihkan mana-mana haiwan dalam taman awam tanpa kelulusan Pesuruhjaya Taman dan Rekreasi ialah kesalahan di bawah Peraturan Taman dan Pokok.

Pengarah kumpulan NParks, Encik Chia Seng Jiang, menjelaskan bahawa “apa-apa aktiviti dalam mana-mana taman awam... yang boleh menyebabkan kecederaan atau kematian kepada mana-mana haiwan atau organisma lain... tidak dibenarkan”.

Jika disabit kesalahan, pesalah boleh didenda hingga $5,000, tambah beliau dalam laporan The Straits Times (ST).

Siasatan tersebut dijalankan menyusuli hantaran Facebook oleh Encik Joel Lee pada 17 Februari yang memuat naik gambar lelaki terbabit memegang ayam itu.

Hantaran beliau juga menyatakan lelaki itu disyaki membunuh ayam tersebut.

Berkongsi kepada ST, Encik Lee berkata beliau sedang bersiar-siar di Taman Pasir Ris bersama anak perempuannya apabila terlihat lelaki berbaju biru berjalan dengan menggenggam ayam di tangan.

“Suspek berjalan menaiki cerun berdekatan tapak pembinaan dan duduk di belakang pohon, di mana kelihatan dia sedang mencabut bulu ayam,” jelas Encik Lee.

Beliau kemudian melaporkan apa yang dilihatnya kepada NParks dan Persatuan berkaitan Penyelidikan dan Pendidikan Haiwan (Acres).

NParks menyatakan ia telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap seorang individu yang mengambil ayam liar dari taman sepanjang lima tahun sebelum ini.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ayam liar dan ayam jantan dikatakan semakin berkeliaran di kawasan taman perumahan Singapura.

Pada 2021, terdapat kira-kira 90 ekor ayam liar di Sin Ming Court.

Pasukan bertindak, terdiri daripada penduduk dan kumpulan kebajikan haiwan, mengambil tindakan bagi mengurangkan populasi tersebut kepada 50 pada 2022.

Antara langkah yang diambil tersebut menghantar beberapa ekor ayam ke ladang, memotong rumput untuk menghalang ayam daripada bertelur, dan menghalang penduduk daripada memberi makan kepada hidupan liar.

Encik Chia juga menggesa orang ramai supaya tidak menyentuh burung seperti ayam liar kerana kemungkinan ia pembawa penyakit.

“NParks menjalankan pengawasan berkala terhadap burung untuk mengesan penyakit... ia hanya akan menimbulkan risiko besar kepada kesihatan manusia jika orang ramai bersentuhan dengannya untuk tempoh masa yang panjang,” tambahnya.

Acres turut melaporkan kejadian pada 17 Februari kepada Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) pada 19 Februari.

Ketua eksekutif bersama Acres, Encik Anbarasi Boopal, berkata organisasi itu telah menerima satu hingga dua laporan setahun mengenai individu yang menangkap ayam liar.

Cik Anbarasi menambah: “Kami mempunyai banyak ayam liar yang berkeliaran bebas di Singapura... jadi adalah penting untuk tingkatkan kesedaran orang ramai agar tidak memberi makan atau menangkapnya

“Apa yang membimbangkan, hal ini adalah trend yang semakin meningkat, kerana kami dapat lihat jenis ayam (lain) seperti Silkies dan Serama bebas berkeliaran, barangkali kerana telah ditinggalkan sebagai haiwan peliharaan.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg