Kemudahan luar dan tidak berhawa dingin di pusat sukan dan riadah ActiveSG di kawasan timur dan tengah Singapura telah ditutup buat sementara waktu pada 15 Oktober berikutan keadaan jerebu yang semakin teruk.

Setakat 5 petang, Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam di serata negara berada pada tahap tidak sihat – barat (188), tengah (186), timur (161), selatan (156) dan utara (122).

Pada waktu tengah hari, bacaan di kawasan barat mencatatkan paras tertinggi musim ini iaitu 212.

Dalam satu nasihat jerebu pada 2.30 petang, ActiveSG Circle mengumumkan penutupan semua kemudahan luar dan tidak berhawa dingin di pusat-pusat sukan di kawasan timur dan tengah berikutan tahap pencemaran udara yang tidak sihat.

ActiveSG Circle merupakan platform dalam talian Majlis Sukan Singapura (SportSG) bagi menggalakkan penyertaan sukan.

Berikut antara kemudahan sukan dan riadah yang terjejas:

  1. Taman Sukan ActiveSG @ Kompleks Renang Teck Ghee
  2. Rumah Kelab Bishan
  3. Stadium Bishan
  4. Kompleks Renang Bishan
  5. Pusat Skuasy Burghley
  6. Pusat Tenis Burghley
  7. Padang Hoki Delta
  8. Gelanggang Luar Delta
  9. Pusat Sukan Kallang
  10. Padang Hoki MOE (Evans)
  11. Kemudahan Luar Bangunan MOE (Evans)
  12. Kompleks Renang MOE (Evans)
  13. Pusat Tenis MOE (Evans)
  14. Kemudahan terpilih di bahagian timur

Pusat-pusat sukan di kawasan utara, selatan dan barat Singapura kekal dibuka.

Pusat sukan di kawasan barat pada awalnya turut dimasukkan dalam senarai penutupan sebelum kemas kini pada 2.30 petang.

Namun, memandangkan keadaan jerebu tidak menentu, para pengunjung dinasihati supaya menyemak maklumat terkini di go.gov.sg/activesgfacilitiesclosure sebelum berkunjung ke mana-mana kemudahan sukan.

Sementara itu, rumah kelab Safra juga telah mengurangkan operasinya.

Dalam satu hantaran di Facebook sekitar 1 tengah hari, Safra Toa Payoh memaklumkan bahawa semua aktiviti luar telah ditangguhkan dan kolam renangnya juga telah ditutup pada 15 Oktober sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Langkah itu menyusuli tindakan serupa yang diumumkan oleh Safra Jurong dan Safra Choa Chu Kang pada 14 Oktober.

Sementara itu, HomeTeamNS dan Kelab Perkhidmatan Awam turut mengambil langkah berwaspada di tengah cuaca berjerebu berkenaan. 

HomeTeamNS mengumumkan penutupan kemudahan luar di cawangan Bukit Batok pada 14 Oktober, termasuk kolam renang dan gelanggang bola pikel.

Langkah serupa diambil Kelab Perkhidmatan Awam yang menangguhkan semua aktiviti luar serta menutup kedua-dua kemudahan luar dan dalam yang tidak berhawa dingin di cawangan Bukit Batok.

Bacaan PM2.5 digunakan sebagai ukuran bagi tahap mutu udara semasa.

Pada 5 petang, bacaan dalam julat tinggi (102 hingga 205) di serata pulau: tengah (205), timur (161), barat (155), selatan (157) dan utara (102).

Selain kemudahan sukan, pelbagai organisasi turut mengurangkan penganjuran acara luar.

Institut Akauntan Bertauliah Singapura (ISCA), dalam satu hantaran di Facebook pada tengah hari, mengumumkan pembatalan acara larian tahunannya, ISCA Run, yang sepatutnya berlangsung pada pagi 17 Oktober di Gardens by the Bay.

Acara berkenaan dijangka menarik hampir 3,000 orang, termasuk para peserta, keluarga, relawan, kakitangan serta rakan kongsi.

ISCA menyatakan bahawa mereka yang telah mendaftar akan menerima e-mel berhubung urusan pengambilan pingat dan aturan lain.

Keadaan jerebu di Singapura semakin memburuk sejak beberapa hari kebelakangan ini, dengan bacaan PSI 24 jam di kawasan barat melepasi julat ‘sangat tidak sihat’ buat kali pertama pada 9 malam, 14 Oktober, dengan bacaan 203, dan kekal pada paras tersebut sejak itu.