Singapura kini berdepan tempoh mutu udara tidak sihat terpanjang sejak September, dengan Indeks Pencemaran Udara (PSI) mencatatkan bacaan melebihi 101 sejak 5 Oktober.

Pihak berkuasa turut mengeluarkan amaran pada 9 Oktober bahawa mutu udara berisiko merosot ke paras “sangat tidak sihat” sekiranya cuaca panas dan jerebu berterusan.

Berikut adalah penjelasan pakar mengenai persoalan yang mungkin timbul berkenaan jerebu serta langkah perlindungan yang boleh diambil sepanjang tempoh ini.

PERBEZAAN BACAAN PSI, PM2.5

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menyediakan dua penunjuk mutu udara iaitu bacaan PSI 24 jam dan bacaan PM2.5 satu jam.

PSI merupakan sistem pelaporan mutu udara rasmi di Singapura, dengan bacaan melebihi 100 menandakan tahap mutu udara tidak sihat.

Indeks berkenaan dikira berdasarkan enam jenis bahan pencemar – zarah halus PM10 dan PM2.5, sulfur dioksida, nitrogen dioksida, ozon serta karbon monoksida.

Bacaan PSI diambil secara purata bagi tempoh 24 jam, justeru ia tidak sentiasa mencerminkan keadaan mutu udara semasa secara tepat.

Sementara itu, bacaan PM2.5 merujuk kepada kepekatan zarah pencemar utama sepanjang episod jerebu.

Ia memberikan gambaran lebih tepat mengenai mutu udara semasa.

Skala kepekatan PM2.5 dibahagikan kepada empat peringkat: 0 hingga 55 (normal), 56 hingga 150 (sederhana tinggi), 151 hingga 250 (tinggi), dan melebihi 250 (sangat tinggi).

Sekiranya bacaan berada pada peringkat sederhana tinggi, golongan rentan – termasuk warga emas, wanita hamil serta individu yang menghidap penyakit paru-paru atau jantung kronik – harus mengelakkan semua aktiviti luar bagi tempoh satu jam seterusnya.

Secara ringkasnya, nilai PM2.5 digunakan sebagai rujukan bagi merancang aktiviti semasa, dan PSI digunakan bagi merancang aktiviti bagi keesokan hari.

PASANG PENYAMAN UDARA DAPAT TAPIS ZARAH JEREBU?

Menurut pakar, meskipun penyaman udara membantu mendinginkan suhu bilik, penapisnya hanya direka bagi menangkap zarah habuk besar dan bukannya zarah pencemar jerebu yang halus.

Bahan pencemar utama yang wujud semasa jerebu rentas sempadan ialah PM2.5 – zarah berukuran 2.5 mikron dalam diameter, iaitu 30 kali lebih halus daripada sehelai rambut.

Zarah halus berkenaan boleh menembusi jauh ke dalam paru-paru dan memasuki sistem aliran darah.

Namun, Profesor Liu Zheng dari Sekolah Sains dan Kejuruteraan Bahan, Universiti Teknologi Nanyang (NTU), menjelaskan bahawa penggunaan penyaman udara tetap membantu secara tidak langsung kerana pintu dan tingkap yang ditutup berupaya menghalang sebahagian jerebu.

Sementara itu, Profesor Rajasekhar Balasubramanian dari Kolej Reka Bentuk dan Kejuruteraan, Universiti Nasional Singapura (NUS), menyarankan menaik taraf penapis dalam penyaman udara kepada skala Nilai Pelaporan Kecekapan Minimum (Merv) 13 ke atas bagi meningkatkan keupayaannya menapis zarah halus dalam udara. 

Skala Merv menunjukkan keupayaan sesuatu penapis udara dalam menangkap zarah dalam udara.

Bagaimanapun, pakar menegaskan penggunaan pembersih udara dengan penapis Udara Zarahan Kecekapan Tinggi (Hepa) – yang direka bagi menangkap zarah jerebu halus – di dalam bilik tertutup tetap menjadi langkah terbaik bagi meningkatkan mutu udara dalaman.

PELITUP MUKA BIASA DAPAT TAPIS BAHAN PENCEMAR?

Pelitup muka N95 direka bagi menapis sekurang-kurangnya 95 peratus zarah halus dalam udara apabila dipakai dengan betul, kata Pemangku Pengarah Perubatan Parkway Shenton, Dr Sharon Ngoh.

Bagi perlindungan berkesan, pelitup muka tersebut harus dipakai dengan rapi, mengikut bentuk hidung dan mulut tanpa sebarang ruang yang boleh menyebabkan udara tercemar masuk, jelasnya.

Pelitup muka pembedahan pula secara amnya direka bagi mencegah penyebaran titisan cecair pernafasan, kata Dr Ngoh.

“Walaupun ia mungkin memberi sedikit perlindungan daripada zarah lebih besar, pelitup muka pembedahan tidak berkesan sebagai perlindungan daripada PM2.5.”

Dr Ngoh turut mengingatkan bahawa pemakaian pelitup N95 boleh menyukarkan pernafasan, terutamanya ketika melakukan aktiviti fizikal.

Golongan rentan seperti warga emas, wanita hamil dan individu yang menghidap masalah jantung atau paru-paru yang teruk disaran meminta pandangan daripada doktor terlebih dahulu sebelum menggunakan pelitup muka N95, tambahnya.

Orang ramai boleh merujuk panduan bagi merancang aktiviti luar berpandukan bacaan mutu udara di laman web www.haze.gov.sg.