Topik diikuti
Pergi ke BHkuAda lelaki sasar simpanan cecah $100,000 sebelum cari jodoh
Ketidakseimbangan penyertaan lelaki dan wanita antara cabaran penyedia khidmat cari jodoh di S’pura
Ada lelaki sasar simpanan cecah $100,000 sebelum cari jodoh
Bagi setiap seorang lelaki yang mendaftar untuk menyertai acara mencari jodoh, terdapat dua wanita yang berbuat demikian.
Ketidakseimbangan penyertaan antara lelaki dengan wanita itu menjadi antara cabaran yang dihadapi penyedia khidmat mencari jodoh di Singapura.
Golongan lelaki dilihat lebih keberatan tampil untuk mencari pasangan hidup.
Antara faktor yang menyumbang kepada keadaan itu termasuk rasa takut ditolak, kurang keyakinan diri serta kebimbangan terhadap kemampuan kewangan untuk mendirikan rumah tangga.
Demikian antara pemerhatian tiga penyedia khidmat mencari jodoh setempat, Serasi Souls, Sacred Weave dan Peas In A Pod, yang berkongsi pengalaman mereka dalam podcast NoTapis, terbitan Berita Harian (BH) baru-baru ini.
Menurut Pengasas Bersama, Serasi Souls, Cik Asnah Ahmad, perasaan takut ditolak menjadi antara sebab sesetengah lelaki keberatan menyertai acara mencari jodoh, terutama jika mereka pernah melalui pengalaman serupa sebelum ini.
“Mungkin disebabkan terdapat jangkaan masyarakat bahawa pihak lelaki yang harus memulakan langkah pertama, dan bila mereka melakukan perkara tersebut dan ditolak, mereka kecewa.
“Pengalaman itu kemudian membuat mereka rasa ragu-ragu dan menghalang mereka daripada ke hadapan,” tambah beliau yang merupakan pensyarah adjung di Institut Teknologi Singapura (SIT).
Pandangan yang sama turut dikongsi Pengasas Bersama, Peas In A Pod, Cik Faizah Mohd Salihin, yang berkata kebimbangan golongan lelaki bukan sekadar tertumpu kepada kemungkinan ditolak, malah turut melibatkan tanggungjawab selepas mendirikan rumah tangga.
Menurut Cik Faizah, yang mempunyai latar belakang sebagai pekerja sosial, ada lelaki yang berasa mereka belum bersedia untuk berkahwin kerana belum mencapai tahap kestabilan kewangan yang diinginkan.
“Saya pernah bertemu bersama individu yang berkata mereka belum bersedia kerana belum mencapai sasaran simpanan sehingga $100,000.
“Oleh itu, mereka tidak rasa yakin untuk melangkah ke alam perkahwinan,” katanya.
Walaupun ini menjadi keprihatinan segelintir golongan lelaki, Cik Faizah menjelaskan bahawa ia juga merupakan ciri yang baik kerana individu itu mempunyai pemikiran jangka panjang untuk mendirikan rumah tangga.
Ketika berkongsi pengalaman mereka, ketiga-tiga penyedia khidmat mencari jodoh itu turut berkongsi kisah kejayaan peserta yang berjaya menemui pasangan menerusi khidmat mereka.
Menurut Cik Asnah, Serasi Souls yang ditubuhkan pada 2025 telah menyaksikan pasangan pertamanya mendirikan rumah tangga pada April lalu, manakala tujuh pasangan lain kini menjalin hubungan serius.
Bagi pengasas bersama Sacred Weave, yang dikendalikan oleh MuslimParents.SG pula, Cik Suliyati Berori, berkata pihaknya telah berjaya mempertemukan beberapa pasangan sejak memulakan khidmatnya pada 2026, meskipun belum ada yang mendirikan rumah tangga.
Antaranya termasuk dua pasangan yang mempunyai jarak usia antara lima dengan enam tahun, di mana pihak wanita lebih tua daripada lelaki.
Sementara itu, Cik Faizah berkata Peas In A Pod turut mempunyai beberapa kisah kejayaan melibatkan individu yang akhirnya menemui pasangan selepas mengikuti sesi bimbingan peribadi yang ditawarkan pihaknya.
Beliau menjelaskan bahawa selain membantu mencari pasangan, khidmat tersebut turut memberi tumpuan kepada usaha mempersiapkan individu dari segi kemahiran komunikasi dan membina hubungan.
Selain berkongsi kisah kejayaan khidmat mencari jodoh, ketiga-tiga penyedia khidmat turut menekankan pentingnya mengurus jangkaan ketika mencari pasangan hidup.
Ini kerana ada peserta yang menetapkan kriteria khusus bagi calon pasangan mereka, termasuk dari segi usia, penampilan fizikal, tahap pendidikan dan kedudukan kerjaya.
Cik Asnah berkongsi terdapat peserta yang menetapkan Indeks Jisim Tubuh (BMI) tertentu sebagai antara ciri pasangan yang diinginkan.
Beliau turut menasihatkan golongan bujang agar tidak terlalu berpegang pada kriteria yang ditetapkan sehingga menolak peluang untuk mengenali seseorang dengan lebih mendalam.
“Kalau tidak kenal maka tidak cinta. Anda harus kenal individu itu dulu dan beri peluang untuk bertemu dan mendekati mereka untuk tahu sekiranya serasi atau tidak.
“Bila anda menggunakan khidmat ditawarkan kami, anda harus mempunyai hati yang terbuka,” tekannya.
Sementara itu, Cik Faizah, menambah, sesetengah lelaki yang menyertai acara mencari jodoh berasakan diri mereka seolah-olah dinilai berdasarkan senarai kriteria yang perlu dipenuhi.
Menurutnya, walaupun tidak salah mempunyai kriteria tertentu, pertemuan pertama seharusnya memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk mengenali hati budi masing-masing, bukannya seperti sesi temu duga.
Beliau menggalakkan individu agar lebih terbuka dan tidak mengharapkan calon pasangan memenuhi kesemua kriteria yang ditetapkan.
“Kalau ada 10 perkara dalam senarai kriteria kita, mungkin tujuh atau lapan daripada 10 sudah memadai.
“Yang penting, kita beri peluang kepada diri sendiri dan individu tersebut untuk saling mengenali,” jelasnya.
Bagi Cik Suliyati pula, sikap fleksibel dan kesediaan untuk bertolak ansur penting bukan sahaja ketika mencari pasangan, malah dalam mengekalkan hubungan selepas berkahwin.
Beliau berkata sesetengah wanita yang mempunyai pendidikan tinggi dan kerjaya yang stabil lebih cenderung mencari lelaki yang mempunyai kelayakan atau kedudukan setaraf atau lebih tinggi.
Namun, beliau mengingatkan bahawa mempunyai kriteria tertentu tidak bermakna seseorang harus terlalu tegas sehingga menolak peluang mengenali calon yang berpotensi.
“Kita mesti ada piawaian dan kita tidak salah untuk ada piawaian.
“Namun, jika kita bertemu bersama seseorang yang tidak memenuhi semua piawaian jangkaan kita, mungkin kita perlu bersikap fleksibel, serta bertolak ansur sedikit,” katanya.
Dalam pada itu, ketiga-tiga penyedia khidmat mencari jodoh ini mengingatkan golongan bujang agar tidak mudah berputus asa sekiranya usaha mencari pasangan hidup masih belum membuahkan hasil.
Menurut Cik Faizah, mereka harus kekal positif dan melihat tempoh tersebut sebagai peluang untuk mengenali serta memperbaiki diri sebelum melangkah ke alam perkahwinan.
“Sekiranya individu yang kami temukan bersama mereka tidak serasi, mungkin ini masanya untuk terus memperbaiki diri supaya bila masanya tiba, mereka akan bersedia untuk mendirikan rumah tangga yang bahagia dan terbaik,” ujarnya.