Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sambil jalani pemulihan, guru prasekolah jaga ibu hidap barah pundi hempedu

Oct 24, 2025 | 6:07 PM
barah, buah dada, ibu
Pesakit barah, Cik Warda Ismail (kanan), perlu menjaga keperluan ibunya, Cik Sarah Daud (tengah), yang turut dikesan menghidap barah. Bersama mereka dalam foto ialah bapanya, Encik Ismail Derus. - Foto ihsan WARDA ISMAIL

Sekuat mana pun semangat seseorang, apabila dilanda penyakit, pasti perlu bersandar pada orang lain bagi meraih sokongan.

Itulah yang menjadi prinsip hidup pesakit barah buah dada tahap pertama, Cik Warda Ismail, 45 tahun, pendidik prasekolah, yang disahkan menghidap penyakit tersebut pada April 2024.

Sejak awal lagi, sekumpulan teman perempuannya menjadi sumber kekuatan emosi yang menemani beliau ke janji temu perubatan, sering bertanya khabar, dan meyakinkannya beliau tidak bersendirian dalam menjalani ujian Tuhan.

Tindakan kecil penuh kasih sayang itu mencerminkan rangkaian sokongan yang ibarat tidak ketara kelihatan dari mata kasar tetapi amat penting bagi pesakit dan penjaga.

Ia sejajar dengan matlamat program kelangsungan hidup barah yang menyediakan sokongan emosi, fizikal dan sosial secara berterusan selepas rawatan berakhir.

Cik Warda Ismail (tengah, barisan depan), bersama rakan-rakan yang telah menyokongnya sepanjang pemulihan daripada barah buah dada.
Cik Warda Ismail (tengah, barisan depan), bersama rakan-rakan yang telah menyokongnya sepanjang pemulihan daripada barah buah dada. - Foto ihsan WARDA ISMAIL

Ketika sedang mengembalikan tenaga dan kekuatan diri, ketabahan Cik Warda diuji lagi apabila ibunya, Cik Sarah Daud, kini 78 tahun, turut disahkan menghidap barah pundi hempedu tahap tiga, beberapa bulan selepas dirinya mendapat pengesahan doktor.

Melakukan kerja rumah menjadi semakin mencabar.

Beliau mengambil alih tugas memasak dan berkongsi tanggungjawab lain bersama bapanya, Encik Ismail Derus, 79 tahun, sambil pulih daripada pembedahan membuang nodus limfa yang menyebabkan beliau tidak dapat mengangkat tangan kirinya.

Sejak muda, Cik Warda, yang belum berumah tangga, sudah biasa menjalani pemeriksaan bagi mengesan barah buah dada dan menjalani imbasan ultrabunyi setiap tahun.

Maka apabila disahkan menghidap barah buah dada tiga kali positif (tahap satu) pada April 2024, beliau agak terkejut, namun kerana penyakit itu dikesan awal, rawatan dan proses pemulihannya berjalan lancar.

Barah buah dada tiga kali positif bermaksud sel-sel barah mempunyai reseptor estrogen (ER), reseptor progesteron (PR), dan reseptor HER2 pada permukaannya, yang menyebabkan pertumbuhan pesat.

Ia adalah jenis sampingan barah buah dada yang boleh menjadi lebih mengganas dan memerlukan gabungan terapi, termasuk terapi hormon, kemoterapi dan terapi sasaran untuk protein HER2.

Cik Warda menjalani pembedahan pada Jun 2024, diikuti kemoterapi pada Julai 2024 di Pusat Barah Kebangsaan Singapura.

Namun pada akhir Ogos 2024, keluarganya dikejutkan pula dengan berita ibunya disahkan menghidap barah tahap tiga, menjadikan proses pemulihannya lebih mencabar.

Mengimbangi pemulihan diri dengan tanggungjawab menjaga ibunya memberi kesan besar dari segi fizikal dan emosi.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Cik Warda berkongsi walaupun beliau kekok dan menyifatkan dirinya tidak pandai mengurus ehwal rumah tangga, beliau tetap perlu menguruskan kerja rumah semasa tempoh pemulihan, sesuatu yang mencabar dari segi emosi.

“Aspek emosi itulah yang paling mencabar. Ketika melalui pemulihan dan pada masa yang sama menjaga ibu, jawapan saya tetap sama.

“Kita perlu mencari orang yang boleh menjadi penyokong setia, kerana kita tidak mampu melakukannya seorang sendiri.

“Kita juga perlu belajar meminta bantuan dan bersandar pada orang lain untuk sokongan.

“Sebab walau jiwa kita kuat, kita tetap memerlukan rangkaian sokongan kita sendiri,” jelasnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg