Semakin banyak aduan pengguna dibuat terhadap polisi berkaitan pelaburan (ILP), produk hibrid yang membolehkan seseorang melabur dan mendapat perlindungan insurans pada masa yang sama kini.
Jumlah aduan mencapai angka kemuncak pada 2024 dengan 211 aduan, berbanding 55 aduan pada 2023, menurut Pusat Huraian Pertikaian Perusahaan Kewangan (Fidrec).
Pada separuh pertama 2025, aduan berkurang kepada 57, tetapi masih melebihi jumlah keseluruhan 2023, lapor The Straits Times (ST).
Banyak aduan adalah berkaitan salah laku pasaran seperti penjualan salah, maklumat produk ILP tidak lengkap, dan nasihat kewangan yang tidak sesuai, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Fidrec, Cik Eunice Chua.
Peningkatan aduan itu mula diketengahkan pada persidangan tahunan Persatuan Penasihat Kewangan Singapura (Afas) pada 24 Julai.
Pengguna boleh cuba menyelesaikan masalah dengan institusi kewangan atau penanggung insurans mereka, dan jika gagal, mereka boleh mendapatkan bantuan dari Fidrec.
Menurut data tuntutan dari 2022 hingga separuh pertama 2025, sebanyak 57 peratus pemohon tuntutan berkaitan ILP berumur 50 tahun dan ke bawah, kata Cik Chua.
Golongan berumur 61 tahun dan ke atas pula membentuk 16 peratus pemohon, manakala 27 peratus lagi berumur antara 51 dengan 60 tahun.
ILP menunjukkan pertumbuhan yang kukuh sejak 2022 kerana pengguna memilih produk itu untuk keperluan pelaburan dan insurans mereka, kata Pengarah Eksekutif Persatuan Insurans Hayat (LIA) Singapura, Encik Chan Wai Kit.
Beliau menambah bahawa perniagaan ILP baru meningkat 72 peratus kepada $2.25 bilion pada 2024, berbanding $1.31 bilion pada 2022.
Momentum positif untuk ILP berterusan pada separuh pertama 2025, dengan peningkatan perniagaan baru sebanyak 31.3 peratus kepada $1.28 bilion, berbanding tempoh yang sama pada 2024.
Presiden Persatuan Aktuari Singapura, Encik Alex Lee, berkata ILP pelaburan kini menjadi pendorong utama jualan.
ILP ini fokus pada pelaburan dengan perlindungan insurans minimum, 1 hingga 5 peratus daripada premium.
Ia sering dibeli tanpa penilaian perubatan kerana risiko rendah kepada penanggung.
Jenis ILP lain, yang berorientasikan perlindungan, menawarkan perlindungan insurans yang besar jika berlaku kematian.
Jumlah wang yang diperolehi selepas kematian biasanya dinyatakan sebagai gandaan jumlah premium yang dibayar, kata Encik Lee.
Bagaimanapun, pelbagai pilihan ILP di pasaran boleh mengelirukan pengguna, kata Penolong Pengarah Penyelesaian Pertikaian Alternatif Fidrec, Encik Kenneth Har.
Fidrec mendapati dalam sesi pengantaraan, kebanyakan pengguna tidak benar-benar faham apakah itu ILP.
“Mereka sangka ia sejenis polisi endowmen atau polisi simpanan yang akan memberikan pulangan tetap,” kata Cik Chua.
Namun, pulangan sebenarnya berubah-ubah mengikut prestasi subdana yang dipilih dalam ILP di pasaran, tambahnya.
Subdana adalah dana pelaburan yang diurus oleh pengurus dana profesional dan hanya tersedia untuk pemegang polisi ILP.
Penguasa Kewangan Singapura (MAS) sedang mendapatkan maklum balas sama ada ILP itu harus diklasifikasikan sebagai produk kompleks, dengan tanda merah yang jelas untuk memberi amaran kepada pelanggan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg