Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jualan insurans hayat di S’pura lonjak pada separuh pertama 2025

Aug 13, 2025 | 5:36 PM
insurans hayat, ILP
Jualan polisi insurans hayat di Singapura meningkat pada separuh pertama 2025, didorong oleh permintaan tinggi terhadap polisi premium tahunan dan polisi berkaitan pelaburan,  - Foto fail

Jualan polisi insurans hayat di Singapura meningkat dengan ketara pada separuh pertama 2025, apabila orang ramai mencari keseimbangan antara perlindungan dengan pengumpulan kekayaan. 

Premium perniagaan baru, yang mengukur jualan baru, naik 7.7 peratus kepada $2.99 bilion antara Januari dengan Jun – jumlah tertinggi sejak pandemik Covid-19.

Kenaikan itu didorong terutamanya oleh polisi premium tahunan, yang meningkat 22 peratus kepada $2.26 bilion berbanding enam bulan yang sama pada 2024, menurut Persatuan Insurans Hayat (LIA) Singapura pada 13 Ogos, lapor The Straits Times (ST).

Sebaliknya, polisi premium tunggal jatuh 21.3 peratus kepada $722.9 juta dalam premium berwajaran (weighted premium), atau premium yang dikumpulkan bagi polisi insurans baru, mengambil kira jenis polisi berbeza dan struktur bayaran premium.

Polisi berkaitan pelaburan (ILP) terus mendahului, dengan premium perniagaan baru berwajaran meningkat 31.3 peratus kepada $1.28 bilion pada separuh pertama 2025.

Polisi itu menyumbang 43 peratus daripada jumlah perniagaan baru.

Presiden LIA Singapura, Cik Wong Sze Keed, berkata pertumbuhan berterusan dalam polisi premium tahunan dan ILP menunjukkan tumpuan rakyat Singapura kepada perancangan kewangan jangka panjang dan keselamatan kewangan. 

“Di tengah-tengah ketidaktentuan sejagat dan turun naik pasaran, pengguna mencari keseimbangan antara perlindungan dengan pengumpulan kekayaan,” katanya.

Jumlah perlindungan yang dijamin pada separuh pertama 2025 meningkat 1.8 peratus kepada $71.4 bilion, dengan penasihat kewangan menyumbang 42.6 peratus atau $30.4 bilion, manakala wakil yang terikat pada sesebuah syarikat khusus mencatat 29.9 peratus atau $21.4 bilion.

Walaupun jumlah perlindungan yang dijamin dan premium berwajaran meningkat, jumlah polisi bagi separuh pertama menurun 18.6 peratus berbanding 2024 kepada 579,343. 

LIA Singapura menyatakan ini mungkin menunjukkan pengguna membeli polisi yang lebih sedikit tetapi lebih menyeluruh, memilih perlindungan yang menawarkan perlindungan atau potensi pelaburan yang lebih besar.

Sekitar 69,000 rakyat Singapura dan penduduk tetap (PR) mengambil Pelan Perlindungan Insurans Bersepadu (IP) baru pada separuh pertama 2025. 

Hampir tiga juta orang, atau kira-kira 72 peratus daripada penduduk, memiliki IP, yang menyediakan perlindungan tambahan, selain skim MediShield Hayat.

Jumlah premium perniagaan baru untuk insurans kesihatan individu meningkat 69.3 peratus berbanding 2024, kepada $373.7 juta pada separuh pertama 2025. 

Premium IP dan pemegang IP menyumbang 89.9 peratus atau $336.1 juta, manakala 10.1 peratus atau $37.6 juta adalah daripada pelan perubatan dan pelan tambahan lain.

Sekitar $6.35 bilion dibayar kepada pemegang polisi dan waris pada separuh pertama 2025, turun 42.1 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2024.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg