Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Afrika Selatan undang S’pura sertai mesyuarat G20 sebagai tamu

Dec 4, 2024 | 2:24 PM
Singapura menanti untuk bekerjasama dengan Pengerusi G20 Afrika Selatan serta anggota dan tetamu G20 yang lain, kata Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura pada 3 Disember.
Singapura menanti untuk bekerjasama dengan Pengerusi G20 Afrika Selatan serta anggota dan tetamu G20 yang lain, kata Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura pada 3 Disember. - Foto ST

Afrika Selatan, selaku pengerusi Kumpulan 20 (G20) 2025, telah mengundang Singapura menyertai mesyuarat G20 sebagai negara tamu.

“Singapura ingin merakamkan penghargaan kepada Afrika Selatan atas undangan itu,” kata Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura dalam satu kenyataan pada 3 Disember.

“Singapura menanti untuk bekerjasama secara membina bersama Pengerusi G20 Afrika Selatan dan anggota serta negara tamu G20 yang lain,” tambah MFA.

Ini termasuk memperkukuh dan memajukan usaha bersama bagi mempromosikan pertumbuhan ekonomi terangkum, keselamatan makanan, serta kecerdasan buatan (AI) dan inovasi untuk pembangunan mampan.

MFA berkata kededua Singapura dan Afrika Selatan menikmati hubungan dua hala yang kukuh dalam pelbagai bidang, disokong oleh hubungan erat antara rakyat kededua negara.

Kededua negara juga bekerjasama dengan baik dalam pelbagai bidang – termasuk perdagangan dan pelaburan, hubungan udara, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), serta pembangunan kemahiran, tambah MFA.

“Singapura akan terus menyumbang secara aktif dalam proses G20, baik dalam kuasa nasional mahupun sebagai Pengerusi Kumpulan Tadbir Urus Global (3G),” tambah kementerian itu.

Kumpulan 3G adalah kumpulan tidak rasmi yang merangkumi negara-negara kecil dan sederhana. Ia ditubuhkan untuk memudahkan penglibatan dan penyelarasan antara negara anggota dan bukan anggota G20.

Sidang puncak tahunan pemimpin G20 akan diadakan di Johannesburg, Afrika Selatan, pada November 2025.

Afrika Selatan merupakan negara Afrika pertama yang bakal mempengerusikan G20, lapor The Straits Times (ST).

G20 ditubuhkan untuk mengukuhkan kerjasama ekonomi antara negara maju dan negara pesat membangun, dan merangkumi 19 negara berdaulat dalam Kesatuan Eropah dan Kesatuan Afrika.

Presiden Afrika Selatan, Encik Cyril Ramaphosa, berkata pada 3 Disember bahawa beliau akan menggunakan peluang itu untuk mengutamakan kemajuan pembangunan Afrika dan Dunia Selatan.

Amerika Syarikat akan mengambil alih jawatan pengerusi G20 pada 2026.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg