Sidang Puncak Kumpulan 20 (G20) di Brazil merupakan sebuah platform penting bagi kerjasama ekonomi sejagat, terutamanya sedang usaha kerjasama berbilang hala menghadapi cabaran, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Menulis di Facebook pada 20 November menyusuli sidang puncak itu, Encik Wong menambah bahawa platform sedemikian memberi peluang kepada Singapura mempunyai peranan dalam membentuk inisiatif global, kekal di hadapan trend baru muncul, dan menyesuaikan diri dengan realiti baru.
“Meskipun usaha kerjasama berbilang hala menghadapi cabaran, adalah lebih penting lagi kita mencari platform untuk mencari titik persamaan.
“Bagi Singapura, diberi peluang terlibat dalam perbincangan bererti mempunyai peranan dalam membentuk inisiatif global, kekal di hadapan trend baru muncul dan menyesuaikan diri dengan realiti baru.
“Tahun ini (2024), saya mempunyai peluang memperkukuh hubungan dengan pemimpin dunia, berkongsi perspektif Singapura dan memajukan isu-isu utama seperti pewujudan pekerjaan, menangani ketidaksamaan dan menyokong peralihan tenaga yang adil,” kata beliau.
Encik Wong menambah bahawa Singapura juga gembira menyertai Pakatan Global Menentang Kebuluran dan Kemiskinan sebagai anggota pengasas.
Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, berada di Brazil pada 17 hingga 20 November bagi menghadiri Sidang Puncak G20, berikutan lawatannya ke Lima, Peru, pada 14 hingga 16 November untuk Sidang Puncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec).
Dalam wawancara bersama media Singapura di akhir sidang puncak itu, Encik Wong berkata Singapura perlu realistik dan menyesuaikan diri dengan pembentukan perdagangan antarabangsa semasa, sedang ia terus menjalin kerjasama dengan negara-negara yang berfikiran serupa.
Ini bermakna mengeratkan lagi hubungan dengan negara-negara Asean dan berganding bahu dengan kumpulan serantau lain, seperti blok Mercosur di Amerika Latin, tambah beliau.
Singapura bukan ahli G20, yang terdiri daripada 19 ekonomi utama dan sedang pesat membangun, bersama dengan Kesatuan Eropah dan Kesatuan Afrika.
Namun, ia sentiasa diundang menyertai mesyuarat kumpulan itu.
Di sidang puncak itu, Encik Wong telah bertemu dengan pemimpin dunia, termasuk Presiden Afrika Selatan, Encik Cyril Ramaphosa.
Dalam catatan Facebook selepas pertemuan mereka, Encik Wong berkata kedua-dua negara menjalin perkongsian yang kukuh.
Beliau juga sempat bertemu dengan beberapa pemimpin Asean termasuk Perdana Menteri Vietnam, Encik Pham Minh Chinh; Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim; dan Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto.
Encik Wong turut bertemu Presiden Mesir, Encik Abdel Fattah al-Sisi, sambil berkata Mesir dan Singapura berkongsi minat bersama dalam mempromosikan keharmonian antara agama.
Beliau juga melahirkan penghargaannya kepada Universiti Al-Azhar di Mesir, yang telah menghasilkan ramai asatizah Singapura yang berkelulusan dari sana, serta sokongannya sedang Singapura membangunkan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS).
Di samping itu, Encik Wong mengucapkan terima kasih kepada Presiden al-Sisi kerana memudahkan bantuan Singapura ke Gaza.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg