Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Agensi anak angkat dipertanggungjawab jika bawa masuk kanak-kanak diragui asal usul

Bakal ibu bapa juga bertanggungjawab pastikan proses ambil anak angkat dilakukan ikut undang-undang S’pura dan negara asal anak
Jan 14, 2026 | 5:15 PM
Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) juga sedang mendekati keluarga yang terjejas dengan dakwaan kes pemerdagangan bayi dari Indonesia ke Singapura bagi tujuan pengambilan bayi sebagai anak angkat, kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming.
Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) juga sedang mendekati keluarga yang terjejas dengan dakwaan kes pemerdagangan bayi dari Indonesia ke Singapura bagi tujuan pengambilan bayi sebagai anak angkat, kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming. - Foto PIXABAY

Agensi pengambilan anak angkat perlu melakukan usaha wajar bagi memastikan asal usul kanak-kanak yang dibawa ke Singapura, dan mereka yang dengan sengaja membawa masuk kanak-kanak dengan asal usul yang mencurigakan akan diambil tindakan.

Demikian kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming, di Parlimen pada 14 Januari berhubung dakwaan kes pemerdagangan bayi dari Indonesia ke Singapura bagi tujuan pengambilan bayi sebagai anak angkat.

Beliau menjawab soalan yang diajukan Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP), Cik Sylvia Lim (GRC Aljunied), berhubung kes tersebut.

“Jika kita mendapati bahawa agensi tahu bahawa kanak-kanak yang mereka bawa masuk berasal dari asal usul yang tidak diketahui dan mencurigakan, dan tetap membawa mereka masuk, mereka akan dikenakan tindakan,” tegas Encik Goh.

Media berita Indonesia sebelum ini melaporkan pada September 2025 bahawa pihak polis negara itu sedang bekerjasama dengan rakan sejawat mereka di Singapura untuk menyiasat satu sindiket yang didakwa membawa bayi keluar dari Jawa Barat.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dalam satu kenyataan bersama pada 9 Januari telah menyatakan bahawa pemerintah Singapura dan Indonesia sedang bekerjasama untuk meneliti dakwaan kes itu, dengan pihak berkuasa juga sedang berhubung dengan ibu bapa angkat yang terjejas.

Akibat siasatan yang masih berlangsung, terdapat beberapa kelewatan dalam penilaian permohonan kerakyatan bagi kanak-kanak terjejas, dan MSF bersama Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) telah berhubung dengan ibu bapa angkat berkenaan.

Di Parlimen, Encik Goh berkata pemerintah Singapura sedang bekerja rapat dengan rakan sejawatnya di Indonesia untuk menyemak dakwaan kes pemerdagangan bayi itu.

Beliau menambah bahawa MSF juga sedang mendekati keluarga yang terjejas untuk memberikan maklumat lanjut tentang proses dan menangani kebimbangan mereka.

Kementerian itu bagaimanapun tidak dapat mengulas tentang jumlah kes yang kini sedang disemak pada ketika ini, kata beliau.

“Pemerdagangan bayi adalah satu perkara serius kerana ia mengeksploitasikan kelemahan kanak-kanak, melanggar hak mereka, dan memisahkan mereka daripada keluarga kandung bagi keuntungan peribadi atau tujuan jenayah.

“Ia juga menjejas kesejahteraan dan pembangunan jangka panjang kanak-kanak. Kami juga sedang bekerja rapat dengan pihak berkuasa relevan untuk memastikan kes disemak dengan cepat dan cekap, di samping melindungi kebajikan dan kepentingan terbaik kanak-kanak terbabit,” tambah Encik Goh.

Dalam soalan susulan, Cik Lim berkata terdapat penduduk dalam kawasan undinya yang terjejas oleh kes itu dan telah bertanya tentang garis masa siasatan dan juga proses pengambilan anak angkat serta permohonan kerakyatan.

Memberi jawapan, Encik Goh berkata MSF berasa empati dengan keluarga terjejas oleh kes tersebut, dan pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan dengan secepat mungkin untuk memberi penyelesaian kepada keluarga tersebut.

Namun, beliau tidak dapat memberi garis masa tentang bilakah siasatan akan berakhir pada masa ini.

Berhubung proses pengambilan anak angkat pula, Encik Goh berkata terdapat beberapa proses tertentu demi memastikan agensi yang menawarkan khidmat sedemikian mematuhi prosedur untuk memastikan bayi tersebut diambil dari sumber betul dan sesuai.

Oleh sebab agensi sedemikian beroperasi secara komersial, beliau menambah bahawa tanggungjawabnya terletak pada ibu bapa untuk sebaik mungkin memastikan proses pengambilan anak angkat itu dilakukan mengikut undang-undang kedua-dua Singapura dan juga negara asal anak tersebut.

Encik Goh menambah bahawa pengambilan anak angkat dan permohonan kerakyatan juga adalah dua proses berasingan yang ditadbir rangka kerja undang-undang dan pertimbangan dasar berbeza.

“Tidak semua permohonan pengambilan anak angkat akan mendapat kelulusan bagi kerakyatan.

“Semua bakal ibu bapa angkat juga dimaklumkan tentang proses ini semasa prosedur siasatan sosial oleh MSF, bahawa pengambilan anak angkat dan kerakyatan adalah proses berasingan, dan pemberian kerakyatan tidak automatik selepas pengambilan anak angkat,” jelas beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg