Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis Indonesia dakwa 3 warga Singapura terlibat sindiket pemerdagangan bayi

Sep 23, 2025 | 3:55 PM
Polis Indonesia mendedahkan sindiket pemerdagangan bayi yang beroperasi dari Jawa Barat ke Singapura, di mana 15 bayi dipercayai telah diseludup atas helah pengambilan anak angkat. Siasatan menunjukkan setiap bayi dijual sekitar S$20,000, melibatkan jaringan antarabangsa termasuk tiga warga Singapura.
Polis Indonesia mendedahkan sindiket pemerdagangan bayi yang beroperasi dari Jawa Barat ke Singapura, di mana 15 bayi dipercayai telah diseludup atas helah pengambilan anak angkat. Siasatan menunjukkan setiap bayi dijual sekitar S$20,000, melibatkan jaringan antarabangsa termasuk tiga warga Singapura. - Foto Polri

JAKARTA: Polis Republik Indonesia (Polri) sedang bekerjasama rapat dengan Polis Singapura (SPF) bagi menyiasat sindiket pemerdagangan bayi rentas sempadan yang beroperasi dari Jawa Barat hingga ke Singapura.

Siasatan ini mendedahkan jaringan jenayah yang terancang melibatkan puluhan bayi, termasuk tiga warga Singapura yang disyaki turut terbabit.

Brigedier Jeneral (BG) Untung Widyatmoko, Setiausaha Biro Pusat Nasional (NCB) Interpol Indonesia, berkata pihaknya sedang menjejaki laluan pemerdagangan bayi ini hingga ke luar negara. “Kami sedang menelusuri jaringan pemerdagangan bayi ini ke peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan Polri pada 22 September.

Beliau menambah bahawa Polis Singapura telah bersetuju membantu usaha mengesan tiga warganya yang disyaki terbabit, selain mempersiapkan soal siasat terhadap beberapa saksi penting.

Menurut Polri, senarai soalan daripada penyiasat Polis Jawa Barat akan diserahkan melalui NCB Jakarta kepada ingapura menjelang hujung minggu. BG Untung menjelaskan bahawa SPF bukan sahaja bersedia menyoal saksi, malah membantu mengesan identiti penghantar bayi menggunakan data pengenalan diri serta laluan perjalanan yang digunakan.
“SPF juga bersedia membantu dalam pencarian tiga warga Singapura yang disyaki terbabit, kata BG Untung.

Kes ini mula terbongkar pada Julai lalu apabila enam bayi berjaya diselamatkan oleh pihak berkuasa Indonesia. Ketika itu, lima daripadanya dipercayai akan dijual kepada pembeli di Singapura.

Namun, siasatan terkini mendedahkan jumlah lebih besar sebanyak 25 bayi dikumpulkan, dan 15 daripadanya telah dihantar ke Singapura “atas nama anak angkat”.

Ketua Siasatan Jenayah Polis Jawa Barat, Pesuruhjaya Surawan, berkata setiap bayi dijual pada harga sekitar S$20,000. “Jumlah ini meliputi kos kelahiran, penjagaan bayi, serta keuntungan pihak yang terlibat,” katanya.

Beliau menambah, angka itu diperoleh daripada 12 dokumen pengambilan anak angkat yang disahkan notari, dirampas dari rumah salah seorang suspek. Dokumen dalam bahasa Inggeris itu digunakan untuk memberi gambaran seolah-olah proses pengambilan anak angkat dijalankan secara sah.

Menurut Pesuruhjaya Surawan, sindiket ini dipercayai beroperasi sejak 2023. Pada peringkat awal, bayi dijual pada harga antara 11 juta hingga 16 juta rupiah (S$847 hingga S$1,232) jauh lebih rendah berbanding nilai yang ditemui kini.

Bilangan suspek juga meningkat daripada 14 orang pada Julai lalu kepada 22 orang setakat ini. Kesemua mereka didakwa di bawah undang-undang anti-pemerdagangan manusia Indonesia 2007, yang membawa hukuman maksimum 15 tahun penjara dan denda sehingga 600 juta rupiah.

Di Singapura, kes ini turut memberi implikasi serius dari sudut undang-undang. Encik Umar Abdullah, Pengarah Bersekutu di ADEL Law LLC, menjelaskan kepada CNA bahawa kes ini mungkin melibatkan pelanggaran serius Akta Pengangkatan Kanak-Kanak 2022.

“Ini termasuk pembayaran yang dibuat atau diterima untuk memudahkan pengangkatan tanpa kelulusan mahkamah, penggunaan penipuan atau paksaan untuk mendapatkan persetujuan, serta pemberian maklumat palsu dalam proses pengangkatan,” katanya kepada CNA.

Menurut Encik Umar, kesalahan pengambilan anak angkat secara haram buat kali pertama boleh membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun dan/atau denda S$10,000. Selain itu, penggunaan dokumen perjalanan atau identiti palsu seperti pasport dan sijil kelahiran palsu boleh didakwa di bawah Akta Imigresen serta Kanun Keseksaan Singapura.

“Penggunaan atau pemilikan dokumen palsu di bawah Akta Imigresen boleh membawa hukuman penjara hingga 10 tahun, denda S$10,000 atau kedua-duanya sekali,” tambah beliau. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg