Pelbagai langkah perlu diambil setiap kali seseorang individu disahkan menghidap penyakit berjangkit seperti batuk kering atau tuberkulosis (TB) di Singapura.
Antaranya, adalah untuk mengenal pasti sejauh mana penyakit tersebut telah merebak di sesuatu kawasan.
Namun, tidak ramai yang peka tentang penyakit tersebut, kata pegawai kesihatan awam Agensi Penyakit Berjangkit (CDA), Cik Eileen Chen.
Malah, ada yang tidak tahu apa yang perlu dilakukan untuk mengurangkan kadar jangkitan kepada orang ramai.
“Ramai sebenarnya tidak faham atau takut dengan TB,” kata Cik Chen semasa bercakap dengan Berita Harian (BH).
“Jadi kami perlu menerangkan bahawa penyakit itu boleh dirawat, dan pemeriksaan kekal penting untuk melindungi orang tersayang”
Menurut Cik Chen, pesakit yang disahkan menghidap penyakit TB akan ditemu bual dan diperiksa dahulu di Pusat Pemeriksaan Tuberkulosis Kebangsaan di Moulmein Road.
Sampel kahak mereka kemudian akan diambil dan diproses sebelum ia dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Nasional (NPHL) untuk analisis lanjut.
Dengan menggunakan mesin Mi-Seq di makmal NPHL, kelompok kes TB dapat dikenal pasti dengan cepat sekiranya terdapat dua kes TB yang mempunyai corak genetik yang sama.
Selain menemu bual pesakit, Cik Chen berkata beliau juga perlu menyelidik pergerakan pesakit itu seawal tiga bulan sebelum menghidap penyakit tersebut.
Beliau juga perlu mengenal pasti individu yang sering ditemui pesakit tersebut termasuk anggota keluarga, rakan sekerja dan kenalan sosial.
Dalam satu kes TB yang pernah berlaku, seramai tiga individu pernah dihubungi dalam sehari selepas pengesahan dibuat, tambahnya.
Langkah itu adalah sebahagian daripada Program Tuberkulosis Kebangsaan (NTBP) yang dilancarkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) pada 1997.
Ia bertujuan untuk memperkukuhkan usaha pencegahan dan penjagaan kebangsaan terhadap TB.
Program tersebut kini merupakan antara pelbagai program penyakit berjangkit yang dipantau di bawah CDA – agensi baru yang ditubuhkan sejak 1 April.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, melancarkan badan berkanun itu secara rasmi pada 12 November di Pusat Budaya Universiti Nasional Singapura (UCC).
Ia bertujuan membolehkan penyepaduan dan pengaturan fungsi kesihatan awam yang lebih baik bagi penyakit berjangkit, dan untuk menambah baik keseluruhan arahan, kawalan dan penyelarasan respons kesihatan awam.
Rancangan menubuhkan CDA diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung semasa perbahasan Parlimen mengenai Kertas Putih Covid-19 pada Mac 2023.
Beliau mencadangkan agar CDA dapat mengukuhkan struktur, kesediaan dan keupayaan negara bertindak balas terhadap pandemik seterusnya dengan lebih tangkas dan lancar.
Sebelum pandemik Covid-19, proses yang penyelidikan yang dilakukan oleh Cik Chen perlu dilaksanakan secara berasingan oleh MOH, Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) dan Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID).
Namun, dengan penubuhan CDA, ia akan meningkatkan penyelarasan antara pihak berkepentingan agar proses penyelidikan dan analisis dapat dijalankan dengan lebih cekap, kata Pengarah Divisyen TB CDA, Dr Deborah Ng.
“Ini membantu kami bertindak dengan lebih pantas serta mengerahkan sumber dengan lebih berkesan,” kata Dr Ng.
Menurut MOH, sebanyak 1,156 kes aktif TB dicatatkan pada 2024 dan sebahagian besarnya adalah warga emas dan golongan lelaki.
Dr Ng berkata perangkaan tersebut adalah yang terendah sejak 2015.
Namun, masyarakat Melayu lebih cenderung menghidap penyakit TB berbanding kaum etnik lain, tambahnya.
“Ini mungkin disebabkan sifat kemasyarakatan orang Melayu yang sering rapat dan berkumpul, yang meningkatkan kemungkinan seseorang terdedah kepada individu yang sudah dijangkiti,” kata Dr Ng.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg