Topik diikuti
Pergi ke BHkuAgensi di S’pura antara puluhan terlibat dalam operasi antipenipuan Interpol di 97 negara
Agensi di S’pura antara puluhan terlibat dalam operasi antipenipuan Interpol di 97 negara
Agensi di S’pura antara puluhan terlibat dalam operasi antipenipuan Interpol di 97 negara
Agensi penguatkuasaan undang-undang di Singapura termasuk polis, telah mengambil bahagian dalam satu operasi antipenipuan global yang membawa kepada penahanan 5,811 individu serta penyekatan aset haram bernilai AS$293 juta ($378 juta).
Lebih 142,000 mangsa di peringkat global telah dikenal pasti semasa Operasi First Light 2026, yang dijalankan antara Januari dengan April 2026.
Polis Antarabangsa (Interpol) pada 9 Julai berkata:
“Pihak berkuasa di Singapura dan Oman menggunakan I-Grip untuk menyekat pemindahan wang haram bernilai AS$6.6 juta yang dikaitkan dengan penipuan E-mel Perniagaan yang Dikompromi.
“Dalam kes ini, sebuah firma perdagangan komoditi yang berpangkalan di Singapura telah menjadi sasaran penjenayah yang menyamar sebagai pembekal.”
I-Grip merupakan sistem yang digunakan Interpol untuk menyekat aliran kewangan haram melibatkan mata wang biasa, seperti dolar Amerika Syarikat, serta aset maya.
Menurut Interpol, operasi berkenaan melibatkan pengumpulan dan pertukaran maklumat perisikan pada peringkat awal.
Operasi itu memberi tumpuan kepada penipuan kejuruteraan sosial (social engineering) dan kepalsuan, yang menurut Interpol kini telah meningkat menjadi ancaman rentas sempadan besar, yang menjejas individu, perniagaan serta pemerintah.
Pengarah Pusat Jenayah Kewangan dan Anti-Rasuah Interpol, Encik Tomonobu Kaya, berkata penipuan kejuruteraan sosial – seperti penipuan e-mel perniagaan yang dikompromi, pemerasan seks, serta penipuan cinta, penyamaran atau pelaburan – mengeksploitasi kepercayaan seseorang untuk mendapatkan wang atau maklumat sulit.
Interpol berkata tiga badan polis serantau dari Asia Tenggara, Eropah dan Timur Tengah terlibat dalam operasi itu, yang dibiayai oleh Kementerian Keselamatan Awam China.
Secara keseluruhan, pegawai polis daripada 97 negara menganalisis lebih 152,000 kes, menyekat lebih 31,000 akaun bank dan menyelesaikan sekitar 23,700 kes.
Mereka juga telah mengenal pasti lebih 15,000 suspek.
Operasi ini dijalankan menyusuli tindakan penguatkuasaan pada Mei lalu di 10 wilayah, yang menyaksikan lebih 130 orang ditahan di Singapura dalam satu operasi membanteras penipuan rentas sempadan.
Diketuai oleh Pasukan Polis Singapura (SPF), operasi tersebut menyasarkan pelbagai jenis penipuan termasuk e-dagang, pekerjaan, pelaburan dan penyamaran.
Para mangsa – yang dikenal pasti sepanjang operasi dari 10 Mac hingga 7 Mei itu – didapati rugi sekitar AS$752 juta kepada penipuan berkenaan.
Pihak berkuasa menyiasat lebih 7,500 individu dan menangkap 3,018 orang yang berusia antara 13 dengan 85 tahun.
Pada April, SPF mendedahkan bahawa mereka berjaya menyelamatkan 90 mangsa di Singapura daripada kerugian lebih $2.86 juta kepada penipu.
Operasi khas itu melibatkan Pusat Anti-Penipuan (ASC) dan Cawangan Siasatan Siber (CIB) Singapura, yang bekerjasama dengan bursa mata wang kripto seperti Coinbase, Coinhako, StraitsX, Gemini, Independent Reserve dan Upbit.
Menurut SPF, mereka mengenal pasti mangsa yang terpedaya dengan pelbagai jenis penipuan termasuk penipuan penyamaran pegawai pemerintah, pelaburan, pekerjaan dan cinta.
