Sebelum penipu sempat menghantar mesej dengan pautan ke laman web palsu, dua daripada tiga laman web sedemikian sudah pun ‘dipatahkan’.

Dengan mengenal pasti ratusan laman web sebegitu setiap hari, polis menyasar untuk menghalang penipuan sebelum ia sempat menjerat bakal mangsa di Singapura.

Namun, golongan penipu dan penjenayah siber terus mengubah taktik mereka, malah memperhebat helah dengan menggunakan teknologi baru seperti kecerdasan buatan (AI).

Untuk terus berada selangkah di hadapan mereka, pihak polis menubuhkan Markas Siber (Cyber Command) baharu pada 3 Julai, yang menghimpunkan kesemua keupayaan antipenipuan dan jenayah siber di bawah satu bumbung.

Antara daya usaha utama oleh unit tersebut termasuk Senarai Penipuan Nasional, yang merangkumi maklumat identiti, akaun bank, talian telefon, serta akaun dalam talian yang dikaitkan dengan penipu untuk dikongsi oleh polis dengan bank.

Langkah ini telah membantu menghalang penipuan daripada berlaku, sekali gus mengelak mangsa daripada ditipu.

Penolong Pesuruhjaya Kanan (SAC) Polis Justin Wong, yang merupakan Komander Markas Siber, berkata bagi setiap akaun bank mencurigakan yang dikongsi oleh polis dengan bank semasa tempoh ujian terhad, pihak polis berjaya mengenal pasti sekurang-kurangnya satu lagi akaun tambahan yang mungkin berkaitan dengan penipuan.

“Hasilnya, pihak bank dapat menutup akaun bank berkenaan sebelum ia sempat digunakan untuk menipu lebih banyak mangsa,” kata SAC Wong.

SAC Wong menambah bahawa unit baru itu bukan unit biasa, sebaliknya ia akan memperhebat usaha memerangi sindiket dengan bekerjasama dengan rakan kongsi luar negara serta pihak berkepentingan lain seperti bank untuk mengesan penjenayah siber.

Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming, kali pertama mengumumkan penubuhan markas tersebut di Persidangan Anti-Penipuan 2026 pada Mei.

Ketika itu, beliau berkata ia akan menjadi unit barisan hadapan yang dianggotai sekitar 200 pegawai, dan jumlah ini akhirnya akan digandakan kepada lebih 400 pegawai.

Pusat Gangguan Digital (Digital Disruption Centre) juga akan berada di bawah markas tersebut.

Timbalan Penolong Pesuruhjaya (DAC) Gregory Kang, yang merupakan Timbalan Komander Markas Siber, berkata pusat berkenaan akan mengesan dan menurunkan sebarang ancaman dalam talian.

Selain penipuan, serangan perisian tebusan atau ransomware dan perisian hasad atau malware pusat berkenaan juga akan memantau kandungan yang menyentuh sensitiviti perkauman atau keagamaan, tambahnya.

DAC Kang berkata memandangkan mata wang kripto semakin kerap dieksploitasi oleh penjenayah siber dan penipu, markas baru ini akan membolehkan pihak polis menambah bilangan pakar pengesan mata wang kripto dalam pasukan mereka.

“Kami melihat peningkatan pada kadar kerugian penipuan yang diubah menerusi mata wang kripto berbanding urus niaga menggunakan mata wang biasa, dan perkara ini amat membimbangkan kami.

“Kita semua sedia maklum bahawa mata wang kripto sedang berkembang dengan agak pesat... Itu merupakan satu lagi bidang tumpuan utama (bagi unit baru ini),” kata DAC Kang.

Markas itu juga akan menubuhkan Pusat Operasi Siber yang beroperasi sepanjang masa untuk memerangi penipuan dan penjenayah siber.

Pusat Anti-Penipuan sedia ada pula akan diletakkan di bawah Pusat Operasi Siber berkenaan.

Setakat Jun 2026, terdapat lebih 13,900 kes penipuan yang telah dilaporkan, dengan mangsa mengalami kerugian melebihi $275.2 juta.