Agensi khidmat sosial tidak lagi bekerja secara berasingan, malah sebaliknya akan berganding bahu dengan agensi lain dalam zon, atau rantau, di Singapura yang sama bagi memenuhi keperluan keluarga secara menyeluruh.

Mereka juga akan memikul tanggungjawab bersama dalam meningkatkan kesejahteraan keluarga di kawasan masing-masing dengan memanfaatkan kepakaran dan sumber satu sama lain.

Langkah itu merupakan perubahan di bawah model Satu Khidmat Keluarga (OFS) yang diumumkan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada 26 November.

Model itu menyepadukan sembilan program sokongan keluarga, perlindungan kanak-kanak dan khidmat belia yang melibatkan 26 agensi khidmat sosial (SSA), termasuk PPIS.

Di bawah model tersebut, penyediaan khidmat keluarga akan disusun mengikut tujuh zon, dengan pelaksanaannya dijangka bermula di tiga zon pada 2029.

Pekerja Sosial Utama PPIS, Cik Zahara Mahmood, berkata peralihan itu membuka peluang untuk memperkukuh kerjasama dengan agensi lain dalam menyokong keluarga.

Meskipun terdapat mekanisme bagi memudahkan kerjasama antara agensi ketika ini, beliau menambah bahawa perbezaan dari segi sistem, proses kerja dan akses kepada maklumat boleh menyukarkan usaha penyelarasan bantuan.

“Daripada memberi tumpuan kepada khidmat yang boleh disediakan oleh agensi masing-masing, pekerja khidmat sosial akan lebih memanfaatkan kepakaran dan sumber bersama bagi menangani keperluan sesebuah keluarga yang saling berkait,” kata Cik Zahara kepada Berita Harian (BH).

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Beliau menambah: “Perbincangan ini mengukuhkan kesedaran tentang pentingnya melihat perubahan struktur ke arah membentuk pemikiran bersama, meningkatkan kepercayaan antara agensi, memikul tanggungjawab bersama dan bersedia untuk belajar daripada satu sama lain.”

Bagi menyokong peralihan tersebut, MSF berkata kementerian itu sedang meneliti bentuk bantuan yang boleh disediakan kepada agensi dalam setiap zon.

Ini termasuk kemungkinan menyediakan dana bagi menambah tenaga kerja, mendapatkan khidmat perundingan dan mengurus perubahan operasi.

MSF juga berhasrat mengekalkan pusat khidmat sedia ada sebelum menyesuaikannya secara berperingkat untuk menyediakan khidmat di bawah OFS.

Dengan itu, dalam respons kepada BH, MSF menyatakan bahawa setiap pekerja kekal bertanggungjawab ke atas keputusan dalam bidang kepakaran masing-masing, jika berlakunya perbezaan pandangan antara agensi.

Namun, penyelia kes akan memberikan panduan sekiranya berlaku perbezaan pandangan, manakala isu lebih rumit boleh dirujuk kepada ketua bidang kerja sosial, psikologi dan kaunseling di setiap zon.

Sekiranya perbezaan itu masih tidak dapat diselesaikan, perkara tersebut akan dirujuk kepada Pejabat Khidmat Sosial (SSO).

Di sebalik langkah penyepaduan itu, Cik Zahara menekankan pentingnya memastikan identiti dan kepakaran tersendiri setiap agensi terus dipelihara.

Pengalaman PPIS dalam menyantuni masyarakat Melayu/Islam, misalnya, telah memperdalam pemahamannya tentang pengaruh pegangan agama, nilai budaya dan hubungan kekeluargaan terhadap keputusan keluarga mendapatkan bantuan.

Kepakaran itu, tambah Cik Zahara, boleh dikongsi dengan agensi lain menerusi perbincangan kes bersama dan latihan merentas agensi.

Pada masa yang sama, PPIS juga boleh memanfaatkan kepakaran agensi lain bagi memenuhi keperluan keluarga yang semakin rumit.

“Nilai sesebuah agensi bukan sahaja terletak pada saiz, jumlah tenaga kerja atau keupayaan operasinya, malah pada kedalaman kepakaran, kebolehpercayaan dalam masyarakat dan mutu hubungan yang terjalin dengan keluarga,” kata Cik Zahara.

“Pada akhirnya, kami melihat OFS sebagai usaha menyatukan matlamat, bukan menyeragamkan identiti.

“Sedang agensi bekerjasama ke arah mencapai visi bersama untuk keluarga, kepelbagaian kepakaran, pengalaman dan hubungan masing-masing dengan masyarakat harus diiktiraf sebagai kekuatan bersama,” tambah beliau.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti