Topik diikuti
Pergi ke BHkuRangkaian baharu satukan penyedia khidmat sokong keluarga
Keluarga hadapi pelbagai isu tidak perlu berurus dengan khidmat bantuan secara berasingan
Rangkaian baharu satukan penyedia khidmat sokong keluarga
Keluarga yang berdepan pelbagai cabaran termasuk masalah kewangan dan kesihatan mental bakal menerima bantuan lebih menyeluruh menerusi satu rangkaian baharu yang menyatukan penyedia khidmat buat seisi keluarga.
Dengan adanya rangkaian tersebut, keluarga tidak lagi perlu mendapatkan bantuan daripada pelbagai penyedia khidmat secara berasingan kerana penyedia khidmat akan “melihat keperluan keluarga secara menyeluruh, dan bukan hanya berdasarkan program tertentu”.
Demikian dinyatakan kata Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial merangkap Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kun, semasa Sidang Keluarga Asia 2026 pada 17 November di Hotel Shangri-La, berdekatan Orchard Road.
Menjelaskan lanjut, Encik Ong berkata Singapura telah lama memperkenalkan program dan perkhidmatan bagi memenuhi keperluan keluarga yang lebih berisiko, dengan setiap program menangani masalah berbeza.
Namun, meskipun bantuan diberikan, ia lebih tertumpu kepada keperluan pelaksanaan program berbanding keperluan individu atau keluarga itu sendiri.
Memberi contoh, terdapat program yang membantu kanak-kanak mengatasi keresahan dan kembali ke sekolah selepas sekian lama tidak hadir.
Ada juga program yang membantu ibu yang berdepan dengan keganasan rumah tangga, sementara program lain membantu suami yang menganggur mencari pekerjaan.
Namun, Encik Ong menjelaskan bahawa masalah tersebut mungkin saling berkait dan perlu ditangani secara menyeluruh dengan mengambil kira keadaan sesebuah keluarga.
“Jika kita melihat masalah ini secara menyeluruh dengan mengutamakan keluarga, kita mungkin mendapati bahawa kesulitan kewangan telah menyebabkan si suami bertindak ganas, walaupun keadaan itu tidak boleh dijadikan alasan bagi perbuatannya.
“Keadaan itu pula mungkin menyebabkan anak berasa takut dan marah terhadap ibu bapanya.
“Oleh itu, masalah yang dihadapi anggota keluarga sebenarnya saling berkait.
“Untuk menanganinya, punca asas iaitu hubungan kekeluargaan yang terjejas perlu dipulihkan.
“Justeru, kami sedang mengubah pendekatan dengan menyatukan pelbagai pihak yang menyediakan bantuan dan menyelaraskan usaha mereka, supaya individu serta keluarga dapat menerima sokongan secara menyeluruh dan bersepadu,” kata Encik Ong.
Butiran lanjut mengenai rangka kerja tersebut akan diumumkan kelak.
Dalam ucapannya, Encik Ong turut menekankan perlunya Singapura mengubah cara masyarakat menggunakan teknologi, khususnya media sosial, yang boleh menjejas hubungan sesama manusia dan kesejahteraan mental golongan muda.
Mengulas lanjut, beliau mendedahkan, Singapura sedang berbincang dengan syarikat pengendali platform media sosial utama bagi mengehadkan ciri yang berpotensi memudaratkan pengguna muda.
Ini termasuk fungsi memainkan kandungan secara automatik dan paparan kandungan berdasarkan algoritma.
“Jika usaha ini berjaya, Singapura akan menjadi antara beberapa negara di dunia yang melaksanakan akses media sosial secara bertahap, mengikut peringkat perkembangan kanak-kanak.
“Kanak-kanak yang terlalu muda tidak akan diberikan akses, golongan belia pula hanya dapat menggunakan ciri tertentu, manakala pengguna yang lebih dewasa mendapat akses penuh,” ujar Encik Ong.
Sidang dwitahunan edisi kelima itu dianjurkan bersama Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) dari 17 hingga 18 November.
Bertema, ‘Memperkasa Keluarga, Anak-Anak Berkembang Maju’, sidang tersebut menghimpunkan lebih 500 penggubal dasar, penyelidik dan pengamal dari Singapura serta rantau ini untuk saling berkongsi pandangan tentang usaha memperkukuh keluarga dan meningkatkan kesejahteraan kanak-kanak.
Antara isu yang dibincangkan termasuk peluang dan cabaran penggunaan media digital terhadap kanak-kanak, pengaruh gaya keibubapaan terhadap kesejahteraan keluarga, serta program berasaskan bukti yang menyokong perkembangan kanak-kanak dan amalan keibubapaan positif.
Pada sidang tersebut, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, turut melancarkan Laporan Keadaan Keluarga Asean 2026 yang pertama.
Laporan itu merangkumi tinjauan melibatkan 12,942 isi rumah di 10 bandar Asean, termasuk Singapura, bagi meneliti daya tahan keluarga, hubungan kekeluargaan, kesejahteraan dan mutu kehidupan.