Agensi kesihatan awam terbaru Singapura akan menerajui usaha menyelaras tindak balas negara terhadap penyakit berjangkit, termasuk menguruskan tahap kesiapsiagaan secara mampan, kata Perdana Menteri Encik Lawrence Wong.
Berucap semasa majlis pelancaran rasmi Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) yang diadakan di Pusat Budaya Universiti Nasional Singapura (UCC) pada 12 November, Encik Wong berkata bahawa agensi itu melakukannya dengan menggabungkan fungsi perubatan, dasar dan operasi di bawah satu agensi, yang sebelum itu merentasi Kementerian Kesihatan (MOH), Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) dan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB).
Beliau menambah bahawa tugas CDA amat penting, namun ketika wabak melanda, CDA tidak boleh berfungsi bersendirian.
CDA, yang juga sebuah badan berkanun di bawah MOH, mesti menyokong usaha pelbagai agensi pemerintah serta seluruh masyarakat, termasuk perusahaan dan kumpulan masyarakat, bagi memastikan intervensi kesihatan awam dapat dilaksanakan dengan pantas dan secara bersepadu.
“Covid-19 menunjukkan kepada kita bahawa pandemik bukan sekadar isu kesihatan awam. Ia boleh memberi kesan besar terhadap ekonomi, masyarakat, dan kehidupan harian setiap rakyat Singapura.
“Seluruh sektor masyarakat terlibat dalam usaha memerangi Covid-19 – para karyawan kesihatan yang berada di barisan hadapan, pegawai awam yang melaksanakan kawalan sempadan dan langkah-langkah pengurusan selamat, perusahaan melaksanakan pelan kesinambungan perniagaan, menyesuaikan operasi dan memastikan tempat kerja kekal selamat, serta kumpulan masyarakat menggerakkan sukarelawan untuk menjaga warga emas serta golongan rentan,” ujar Encik Wong.
Rancangan untuk menubuhkan CDA telah diumumkan oleh Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial merangkap Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, semasa perbahasan Kertas Putih mengenai respons Singapura terhadap Covid-19 di sidang Parlimen pada Mac 2023.
Sejak mula beroperasi pada 1 April 2025, CDA, yang diketuai Profesor Vernon Lee, selaku Ketua Pegawai Eksekutif, telah memperkenalkan beberapa inisiatif bagi memperkukuh pertahanan kesihatan awam negara terhadap penyakit berjangkit.
Antara inisiatif yang diperkenalkan termasuk pelancaran Rangka Kerja Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Pandemik Singapura untuk meningkatkan kesediaan wabak Singapura pada Julai.
Selain itu, CDA telah mengemas kini Jadual Imunisasi Dewasa Kebangsaan pada September untuk mengukuhkan dasar imunisasi dengan memasukkan vaksin Shingrix dan PCV20 dalam jadual itu.
Encik Wong juga berkata CDA akan menerajui usaha untuk memperbaharui dan mengemas kini pelan pandemik Singapura.
Beliau menyifatkan kesiapsiagaan menghadapi pandemik seperti mengambil polisi insurans bagi melindungi diri daripada krisis pada masa hadapan, dan menegaskan bahawa langkah sedemikian sememangnya mempunyai kos.
“Ketika waktu senang, sering kali orang akan berkata, mengapa kita membelanjakan begitu banyak untuk insurans, ia terlalu mahal. Satu pembaziran wang.
“Tetapi apabila krisis melanda, semua akan bertanya, mengapa kita tidak mengambil insurans yang mencukupi,” kata Encik Wong.
Justeru, CDA perlu mencari keseimbangan antara tahap kesiapsiagaan dan kemampanan sumber.
“Ini memerlukan pendekatan yang dinamik, sentiasa peka terhadap risiko baru yang muncul, dan apabila kita melihat ancaman mula meningkat, kita mesti bersedia untuk memperkukuh simpanan serta pertahanan kita.
“Bagi mencapai matlamat ini, CDA akan bekerjasama rapat dengan rakan-rakan strategiknya untuk menilai semula stok simpanan, keupayaan tindak balas segera dan kemahiran sedia ada bagi memastikan semuanya kekal berkesan serta mampan,” tambah Encik Wong.
Selain daripada pandemik, CDA juga akan memainkan peranan penting dalam memperkukuh daya ketahanan negara terhadap penyakit endemik.
CDA akan menangani isu-isu penting seperti memperlahankan perkembangan kuman yang tahan terhadap ubat, meningkatkan pencegahan dan kawalan jangkitan, serta memajukan penyelidikan saintifik bagi melindungi kesihatan awam.
“
“Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) akan bekerjasama rapat dengan rakan-rakan strategiknya untuk menilai semula stok simpanan, keupayaan tindak balas segera dan kemahiran sedia ada bagi memastikan semuanya kekal berkesan serta mampan.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg