Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Warga S’pura, PR layak terima subsidi bagi vaksin kayap, pneumokokal mulai 1 Sept

Aug 29, 2025 | 8:56 PM
Kedua-dua vaksin, Shingrix dan PCV20, akan dimasukkan ke dalam Jadual Imunisasi Dewasa Kebangsaan (NAIS), yang membolehkan penggunaan subsidi dan MediSave.
Kedua-dua vaksin, Shingrix dan PCV20, akan dimasukkan ke dalam Jadual Imunisasi Dewasa Kebangsaan (NAIS), yang membolehkan penggunaan subsidi dan MediSave. - Foto Pixabay

Mulai 1 September, warga Singapura dan Penduduk Tetap (PR) yang layak boleh mendapatkan vaksin kayap dan pneumokokal di poliklinik dan klinik GP dengan harga subsidi.

Kedua-dua vaksin, Shingrix dan PCV20, akan dimasukkan ke dalam Jadual Imunisasi Dewasa Kebangsaan (NAIS), yang membolehkan penggunaan subsidi dan MediSave, menurut kenyataan bersama Kementerian Kesihatan (MOH) dan Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) pada 29 Ogos. 

Namun, MediSave hanya boleh digunakan untuk membayar vaksin ini bermula pertengahan 2026, lapor The Straits Times (ST).

Shingrix merupakan satu-satunya vaksin yang didaftar di bawah Penguasa Sains Kesihatan (HSA) bagi pencegahan penyakit kayap.

Ia memberi perlindungan melebihi 90 peratus terhadap penyakit itu, walaupun keberkesanannya mungkin lebih rendah dalam kalangan warga emas dan individu yang mempunyai sistem imun yang lemah.

Dianggarkan sekitar 30,000 orang dijangkiti penyakit itu setiap tahun, dan seseorang boleh mengalami kayap lebih daripada sekali.

Harga penuh bagi dua dos vaksin itu kini adalah sekitar $900.

Menjawab pertanyaan media, jurucakap Raffles Medical – yang mengendalikan klinik di bawah Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS) – berkata pihaknya merekodkan penurunan sekitar 10 hingga 20 peratus dalam jumlah vaksinasi kayap sejak beberapa bulan lalu.

PCV20 pula melindungi daripada bakteria biasa yang menyebabkan penyakit pneumokokal, termasuk jangkitan paru-paru (pneumonia), meningitis, serta jangkitan sinus dan telinga. 

Penyakit ini boleh menyebabkan komplikasi serius, malah kematian. Berbanding vaksin PCV13 yang tersedia di Singapura, PCV20 memberi perlindungan terhadap tujuh lagi strain pneumokokal tambahan.

Mengenai kadar subsidi, pihak berkuasa menyatakan bahawa vaksin kayap akan menelan kos antara $76 hingga $300 untuk warga Singapura yang layak bagi dua dos penuh, jika diambil di klinik GP di bawah CHAS. 

Jumlah yang perlu dibayar bergantung pada jenis kad CHAS yang dipegang dan sama ada individu itu tergolong dalam Generasi Perintis atau Merdeka.

Bagi PR yang layak, kos vaksin kayap adalah sekitar $450.

Bagi vaksin pneumokokal PCV20 pula, klinik CHAS akan mengenakan bayaran antara $17 hingga $68 kepada warga Singapura yang layak bagi satu dos vaksin. PR yang layak untuk subsidi akan dikenakan bayaran sekitar $102.

Warga Singapura yang mendaftar di bawah skim SGLebih Sihat tidak perlu membayar untuk vaksinasi ini.

Individu yang layak boleh membuat temu janji vaksinasi di klinik CHAS yang mengambil bahagian melalui laman web vaccine.gov.sg, atau membuat temu janji di poliklinik mulai 1 September.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg