Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) berusaha menangani cabaran penyakit berjangkit di Singapura melalui strategi menyeluruh berasaskan tiga tonggak utama iaitu, Bersiap Sedia, Mencegah dan Melindungi.
Pendekatan bersepadu itu membolehkan CDA menangani ancaman penyakit berjangkit masa kini dan masa hadapan, kata Ketua Pegawai Eksekutif CDA, Profesor Vernon Lee.
“Pengalaman kita dengan Covid-19 menunjukkan pelaksanaan keupayaan tambahan secara pantas dan fleksibel, langkah tindak balas seluruh masyarakat, serta kerjasama merentasi pelbagai sektor adalah amat penting.
“Ini mengingatkan kita bahawa kita mesti memperkukuh keupayaan untuk menangani ancaman penyakit berjangkit masa kini dan pada masa hadapan,” kata Profesor Lee.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis pelancaran rasmi CDA, di Pusat Budaya Universiti Nasional Singapura (UCC) pada 12 November.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong; Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial merangkap Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung; dan Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam.
Menurut Profesor Lee, antara matlamat strategik utama CDA adalah untuk mencegah penyakit berjangkit.
Justeru, kunci untuk mencegah berlakunya jangkitan dan mengurangkan penularan penyakit berjangkit adalah dengan imunisasi.
Program imunisasi kebangsaan untuk kanak-kanak dan dewasa telah dipertingkat pada September dengan memasukkan kededua vaksin Shingrix, yang mengurangkan risiko penyakit cacar air dewasa, dan vaksin PCV20, yang mencegah penyakit pneumokokus, ke dalam Jadual Imunisasi Dewasa Kebangsaan.
Di samping itu, CDA juga akan meningkatkan kesedaran tentang penyakit berjangkit serta cara menguruskannya dengan berkesan melalui pendidikan berterusan bagi karyawan kesihatan dan kempen sasaran untuk orang ramai.
“Walaupun mempunyai garis panduan adalah penting, kunci untuk memacu perubahan tingkah laku sebenar ialah pendidikan kesihatan yang baik,” kongsi Profesor Lee.
Beliau menekankan kepentingan kesiapsiagaan bagi membolehkan tindak balas pantas dan tegas terhadap sebarang ancaman.
Antara langkah yang diambil CDA untuk membangunkan keupayaan masa depan termasuk kajian cabaran manusia yang inovatif.
Kajian demikian membolehkan penyelidik memperoleh pemahaman saintifik mendalam yang tepat tentang agen berjangkit dalam masa lebih singkat, dan lebih terperinci daripada kajian tradisional berasaskan penduduk.
“Ini berpotensi untuk mempercepat pembangunan vaksin, terapeutik, dan diagnostik,” tambah Profesor Lee.
Sementara itu, pengesanan awal penyakit adalah penting untuk mengurangkan kesan dengan membolehkan tindakan segera diambil.
Oleh itu, CDA sedang membangunkan strategi pengawasan kebangsaan yang menyeluruh bagi memperkukuh keupayaan pengesanan awal, meningkatkan kerjasama, dan memanfaatkan teknologi baru seperti pengawasan genomik dan air buangan.
Namun, pandemik bukanlah satu-satunya kebimbangan bagi Singapura.
CDA juga bertindak balas terhadap pelbagai wabak penyakit endemik bagi mengurangkan kadar jangkitan dan kematian – termasuk penyakit pernafasan, penyakit bawaan makanan serta penyakit yang disebarkan oleh nyamuk, tambah Profesor Lee.
Lantas, CDA bekerjasama rapat dengan pelbagai pihak berkepentingan melibatkan seluruh pemerintah untuk merangka dasar dan melaksana langkah kesihatan awam serta sosial yang bersesuaian.
“Kita tidak boleh bekerja sendiri kerana penyakit berjangkit menjejas banyak sektor lain, dan memerlukan pendekatan yang diselaraskan, tepat pada masanya dan berasaskan bukti,” ujar Profesor Lee.
Sebagai sebahagian daripada pelan kesihatan baru CDA yang merangkumi sektor manusia, haiwan dan alam sekitar, ia akan bekerjasama dengan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Lembaga Taman Negara (NParks), Agensi Makanan Singapura (SFA) dan agensi air negara PUB.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg