Mencari pekerjaan yang bermakna dan sesuai bukan perkara mudah bagi golongan kurang daya intelek (PWID).
Selain mendapatkan pekerjaan yang memenuhi cita rasa ataupun minat, mereka juga memerlukan majikan yang memahami keunikan diri mereka serta sanggup membuat penyesuaian bagi memanfaatkan kekuatan yang dimiliki.
Tugas rumit memadankan pekerjaan yang sesuai buat PWID ini digalas ahli terapi pekerjaan, Encik Sofian Hussain.
Beliau bekerjasama rapat dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk mencari tempat kerja yang membolehkan golongan PWID berkembang maju.
Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, Encik Sofian, 45 tahun, ikhlas dan gembira membantu klien di Minds mendapatkan pekerjaan, di mana mereka rasa dihargai dan dapat menyumbang kepada masyarakat secara bermakna.
Beliau antara individu yang diberi pengiktirafan sempena Hari Karyawan Kesihatan Bersekutu (AHP) pada 14 Oktober.
Terdapat sekitar 8,000 anggota AHP berdaftar di Singapura, termasuk seramai 1,634 ahli terapi pekerjaan, menurut laporan tahunan Majlis Karyawan Kesihatan Bersekutu (AHPC) 2024.
“Saya memang gemar proses mengenal pasti isu dan bertungkus-lumus mencari jalan demi membantu orang.
“Bagi saya, proses ini ibarat aspek kreatif yang diterapkan dan unik kepada kerjaya ini,” kata bapa dua anak perempuan berusia 17 dan 20 tahun itu.
Encik Sofian, 45 tahun, telah menanam tekad bulat bagi membantu golongan kurang upaya dari segi intelek sejak menyertai Minds pada 2021, dengan menolong klien mengasah kemahiran asas seharian untuk menjadi lebih berdikari seperti pergi ke tandas dan memberus gigi sendiri.
“Pada mulanya, saya tidak pasti jika mahu teruskan peranan ini. Jadi, saya cuba pekerjaan lain buat sementara waktu.
“Saya bertugas di Persatuan Cacat Penglihatan Singapura (SAVH) dan Hospis Dover Park sebelum kembali ke Minds pada 2023
“Sebab pada akhirnya, saya sedar saya lebih gembira membantu klien di Minds, walaupun tugas di situ lebih berat,” kongsi Encik Sofian.
Beliau terlibat dalam program penempatan dan sokongan pekerjaan, Minds Hi-Job, di Pusat Latihan dan Perkembangan Minds di cawangan Eunos dan Tampines.
Beliau membimbing sekitar 10 klien sebulan dan bekerjasama dengan pihak berkepentingan lain, termasuk pekerja sosial, pakar psikologi dan anggota keluarga klien.
Kliennya sering ditempatkan di dalam industri makanan dan minuman (F&B), pembersihan dan perhotelan.
Encik Sofian menambah: “Saya rasa proses membantu klien sangat indah sebab kami berpeluang mengikuti dan menjejak kemajuan mereka.
“Kami memperkenalkan sesuatu kepada klien, lalu lihat mereka berusaha untuk menerima cadangan atau pengajaran.
“Saya selalu gembira apabila memerhatikan hasil usaha kami berbaloi dengan melihat kemajuan klien secara langkah demi langkah. Kadangkala, saya turut kagum apabila klien memperolehi kemajuan yang lebih memberangsangkan,” ujarnya.
Namun, tugas Encik Sofian tidak terlepas daripada dugaan.
Antara cabaran mendapatkan pekerjaan yang sesuai untuk klien adalah dengan mengimbangi kemahuan dan kemahiran klien dengan persekitaran kerja yang serasi.
“Ia sangat penting untuk memastikan majikan ada sistem sokongan dan persekitaran yang berkesan untuk klien. Kadangkala, tempat kerja yang diminati klien tiada sistem utuh seperti itu,” jelasnya.
“Misalnya, kami akan berunding dengan majikan untuk menghasilkan jadual kerja yang berbeza atau mencipta peranan baru yang sesuai dengan klien, supaya mereka boleh bekerja dengan sebaik-baiknya,” tambah Encik Sofian.
Mereka juga melatih majikan yang ingin menjadi lebih terangkum dengan mengajar strategi membimbing klien dengan lebih lancar.
Namun, Encik Sofian menambah masih ada segolongan majikan yang tidak mampu memberi sokongan berterusan atau membuat penyesuaian demikian.
Ia juga bukan mudah untuk semua pekerja biasakan diri dengan bertugas bersama klien PWID.
“Sebaliknya, ada majikan pula yang memberi terlalu banyak bimbingan sehingga klien tiada peluang berdikari. Justeru, kami akan menasihati mereka dalam situasi itu,” tambah Encik Sofian.
“Walaupun tak semua proses penempatan kerja mengikut rancangan, pengalaman itu tetap membuahkan hasil, bukan saja untuk klien malah bagi majikan dan pekerja lain.
“Klien kami dapat rasa pengalaman pekerjaan yang lebih terbuka. Majikan dan pekerja pula mampu menjadi lebih berdaya penghasilan tinggi dan juga tersentuh kerana dapat menyumbang kepada kemajuan golongan kurang upaya dari segi intelek, serta membuat mereka merasa lebih dihargai,” kata Encik Sofian lagi.
Beliau, lantaran itu, berharap lebih ramai anggota berkepentingan dan masyarakat umum boleh saling hormat menghormati tugas ahli terapi pekerjaan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg