Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua beradik asatizah dalami Al-Quran Braille demi didik insan kurang daya penglihatan

Nov 10, 2025 | 7:48 PM
adik beradik, Al-Quran, Braille
Pentadbir dan guru Al-Quran Persatuan Belia Bedok untuk Insan Kurang Upaya (BYSD), Ustazah Siti Nur Qurratu’ain Mohamad Noh, 26 tahun, telah mengajar Al-Quran Braille untuk insan kurang daya penglihatan BYSD sejak 2024. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Ustazah Siti Nur Qurratu’ain Mohamad Noh memejamkan kededua matanya lalu mula mengamati halaman Al-Quran di hadapannya dengan menggunakan hujung jari yang mengambil alih peranan penglihatannya.

Gerak jarinya perlahan, titik demi titik.

Tiada huruf bertinta, tiada tulisan khat, hanya deretan corak timbul yang tersusun rapi pada permukaan kertas putih polos.

Membaca Al-Quran dengan cara ini seolah-olah menggantikan cahaya mata dengan sentuhan pada hujung jari, dengan setiap ayat dihayati bukan dengan pandangan.

“Bismillah” daripada Surah Al-Fatihah merupakan bacaan pertama Ustazah Qurratu’ain, 26 tahun, daripada program Al-Quran Braille.

Beliau bertekad mempelajari kemahiran itu setelah menyedari hanya segelintir asatizah di Singapura yang bertauliah mengajar Al-Quran Braille bagi individu kurang daya penglihatan.

Ia merupakan satu kekurangan yang beliau terpanggil untuk penuhi.

Ustazah Qurratu’ain, merupakan salah seorang daripada dua ustazah di Persatuan Belia Bedok untuk Insan Kurang Upaya (BYSD) yang mengajar Al-Quran Braille. 

Bersama kakaknya, Ustazah Siti Nur Izzati Mohamad Noh, 31 tahun, mereka membimbing seramai 15 individu kurang daya penglihatan mempelajari bacaan Al-Quran Braille.

Pentadbir dan guru Al-Quran, Ustazah Siti Nur Qurratu’ain Mohamad Noh (kanan) bersama kakaknya, Ustazah Siti Nur Izzati Mohamad Noh, yang merupakan sukarelawan Persatuan Belia Bedok untuk Insan Kurang Upaya (BYSD). Mereka membimbing seramai 15 individu kurang daya penglihatan dari BYSD mempelajari Al-Quran Braille.
Pentadbir dan guru Al-Quran, Ustazah Siti Nur Qurratu’ain Mohamad Noh (kanan) bersama kakaknya, Ustazah Siti Nur Izzati Mohamad Noh, yang merupakan sukarelawan Persatuan Belia Bedok untuk Insan Kurang Upaya (BYSD). Mereka membimbing seramai 15 individu kurang daya penglihatan dari BYSD mempelajari Al-Quran Braille. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Mengimbau kembali pengalamannya, Ustazah Qurratu’ain, berkata dorongan mempelajari Al-Quran Braille datang tidak lama selepas beliau mula berkhidmat dengan BYSD pada Julai 2023.

“Rakan sekerja saya pernah bertanya sama ada kami mengenali sesiapa yang boleh mengajar Al-Quran Braille.

“Apabila kami tidak dapat menemui asatizah yang boleh melakukannya, saya mengambil keputusan memikul tanggungjawab itu sendiri dengan mendapatkan bimbingan daripada seorang pensyarah di sebuah universiti di Malaysia,” kongsi beliau dengan Berita Harian (BH).

Beliau mula mempelajarinya pada September 2023 dan mengambil masa setahun untuk menguasai kemahiran pembacaan dan pengajaran yang baru sepenuhnya.

“Untuk beberapa bulan pertama, kami menumpukan kepada menghafal dan memahami kod-kod Braille. Setiap huruf Arab, harakat dan tanda dalam Al-Quran mempunyai kod unik tersendiri. 

“Rasanya seperti mempelajari bahasa baru,” ujar beliau.

Sebagai sebahagian latihannya, Ustazah Qurratu’ain, belajar menutup mata dan membaca sepertimana pelajarnya bergantung sepenuhnya pada hujung jari untuk membaca titik-titik timbul itu.

“Sebagai seorang yang mempunyai penglihatan sempurna, pengalaman bergantung sepenuhnya pada sentuhan sangat menginsafkan. 

“Ia mengajar saya erti kesabaran dan memberi empati yang lebih mendalam terhadap pelajar kami, khususnya mereka yang kehilangan penglihatan pada usia dewasa,” katanya.

Sebelum menyertai BYSD, Ustazah Qurratu’ain tidak pernah mengajar golongan kurang upaya. 

Pengalaman pertama beliau mengajar golongan kurang daya penglihatan benar-benar membuka mata.

“Saya sedar betapa bergantungnya kita pada penglihatan dalam hampir semua perkara. 

“Melihat cara mereka menjalani kehidupan dengan penuh kesabaran dan ketabahan amat menyentuh hati saya,” kongsinya.

Antara pelajar yang meninggalkan kesan adalah seseorang yang memulakan pelajaran dari peringkat asas, tanpa mengenal sebarang huruf Arab.

“Beliau bermula dengan Iqra’. Dengan kesabaran dan ketekunan, beliau perlahan-lahan mula mengenal huruf dan akhirnya dapat membaca sendiri ayat-ayat Al-Quran,” ceritanya. 

Menurutnya, mengajar Al-Quran Braille amat berbeza.

“Bagi golongan ini, jari mereka menjadi mata. Jadi, asatizah perlu lebih terperinci dan menggambarkan setiap perkataan serta huruf dengan jelas,” ujar Ustazah Qurratu’ain.

Sesi pembacaan Al-Quran ini adalah sebahagian Program Madrasah mingguan, anjuran BYSD, yang turut merangkumi sesi pengajaran fardu ain.

Ia diadakan setiap Ahad di Masjid Istighfar di Pasir Ris Walk.

Sesi pembacaan Al-Quran diadakan dalam kumpulan kecil mengikut tahap kecekapan peserta.

Nisbah guru kepada peserta juga dijaga rapi – kadangkala seorang guru membimbing empat peserta, manakala bagi bacaan Al-Quran Braille, setiap peserta dibimbing secara individu.

Namun, program demikian mempunyai cabarannya juga, meliputi perihal kos bahan dan sumber Braille yang tinggi serta kekurangan tenaga pengajar dan sukarelawan untuk membantu para pelajar.

“Apabila bilangan pelajar... (dengan cabaran) penglihatan semakin meningkat, nisbah guru kepada pelajar menjadi semakin sukar untuk diuruskan. 

“Kami memerlukan lebih ramai tenaga bagi memastikan setiap pelajar mendapat perhatian yang mereka perlukan, kerana kebanyakan mereka memerlukan bimbingan secara satu lawan satu,” jelasnya.

Justeru, Ustazah Qurratu’ain berharap lebih ramai asatizah akan tampil mempelajari Al-Quran Braille, di samping mewujudkan lebih banyak kesedaran dan sokongan daripada pihak masjid, pertubuhan serta masyarakat bagi memperluas pendidikan Al-Quran yang lebih terangkum di Singapura.

“Kami mahu setiap Muslim kurang daya penglihatan diberi peluang untuk membaca dan memahami Al-Quran secara berdikari.

“Memandangkan Al-Quran diturunkan untuk semua, penting bagi kelas-kelas Al-Quran Braille ini lebih mudah diakses oleh mereka yang memerlukannya,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg