Syarikat yang ingin membangunkan huraian kecerdasan buatan (AI) bagi menjalankan transformasi untuk perniagaan mereka kini boleh memanfaatkan satu program baru dilancar yang menyediakan sehingga $600,000 dalam kredit awan dan sokongan latihan.
Demikian diumumkan Menteri Negara Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling, pada 26 Jun.
Kredit awan adalah satu bentuk mata wang digital yang digunakan untuk membayar perkhidmatan pengkomputeran awan, seakan kad prabayar bagi khidmat tertentu, dan lazimnya disediakan penyedia khidmat awan.
Dilancarkan oleh Amazon Web Services (AWS), sebuah syarikat Amazon.com, dan pejabat Industri Digital Singapura (DISG), Program AI Springboard itu akan menyokong sehingga 300 syarikat yang berpangkalan di Singapura.
Ini termasuk korporat besar, syarikat kecil dan sederhana (SME) dan syarikat pemula tempatan – untuk memperluas penggunaan AI merentas operasi mereka dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Syarikat boleh menggunakan kredit tersebut untuk memanfaatkan program dan khidmat yang menyokong perjalanan pembangunan AI mereka, dengan tumpuan dalam mewujudkan prasarana AI yang kukuh, membangunkan bakat dan kemahiran AI, melaksanakan rangka kerja tadbir urus, dan mewujudkan proses standard bagi pembangunan AI.
Mereka juga boleh memanfaatkan kepakaran teknikal rakan kongsi yang diperakui AWS seperti PwC, Temus dan AiRTS, kata Cik Low.
Program baru itu merupakan daya usaha kedua Inisiatif Pengkomputeran Perusahaan (ECI) yang diumumkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam Belanjawan 2025.
Sehingga $150 juta diperuntukkan di bawah ECI bagi membolehkan perusahaan yang layak bekerjasama dengan penyedia khidmat awan besar dan mengakses alat AI serta kuasa pengkomputeran.
“Rakan kongsi akan bekerjasama dengan syarikat yang mengambil bahagian dalam membangunkan pelan hala tuju AI, menggariskan cara melaksanakan kes kegunaan dan menyokong pembangunan produk berdaya maju minimum (MVP) serta pengurusan perubahan,” kata Cik Low dalam majlis pelancaran program itu yang diadakan di pejabat AWS Singapore di Central Boulevard.
“Melalui program itu, kami ingin menyokong syarikat yang mengambil bahagian dalam membangunkan huraian AI sedia untuk masa depan yang akan mengubah perniagaan mereka.
“Beberapa kohort Program AI Springboard itu akan mengikut serta pada tahun ini (2025), dan saya menggalak syarikat merebut peluang ini untuk bekerjasama dengan AWS dan DISG dalam perjalanan AI mereka.”
Di bawah program itu, syarikat akan disediakan sokongan asas sebanyak $350,000 dalam bentuk kredit awan dan sokongan latihan.
Di samping itu, kredit awan tambahan bernilai $250,000 akan disediakan melalui program sokongan pelengkap AWS bagi syarikat yang layak.
Ini termasuk Program Pencepatan Migrasi AWS yang membantu syarikat mengimbangi kos awal dalam memindahkan beban kerja ke awan, dan program AWS Lift yang menyediakan sokongan teknikal dan kewangan untuk mempercepat penggunaan awan.
Pada masa yang sama, pemerintah, melalui DISG, akan menyokong 70 peratus kos konsultasi, dihadkan pada $105,000 bagi setiap syarikat.
Pengurus Negara, AWS Singapore, Cik Priscilla Chong, berkata Singapura sentiasa berada di barisan hadapan dalam inovasi digital, dan ECI merupakan pemangkin yang tepat pada masanya untuk gelombang transformasi dipacu AI yang seterusnya.
“Dengan program AWS AI Springboard, kami menyatukan keupayaan awan dan AI kami, kepakaran amali, dan program pembangunan bakat untuk membantu perusahaan di Singapura menukar idea bercita-cita tinggi menjadi impak dunia nyata.
“Kami berbangga menyokong usaha nasional ini untuk memperluaskan inovasi dengan kelajuan, keyakinan dan tujuan,” kata beliau.
Majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran Hab Inovasi AWS, sebuah kemudahan seluas 8,000 kaki persegi yang mempamerkan bagaimana teknologi terkini, seperti AI generatif, pengkomputeran kuantum dan realiti maya, dapat mengubah perniagaan dan masyarakat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg