Kecerdasan buatan (AI) mungkin memerlukan rejim keselamatan serupa dengan sektor penerbangan awam pada masa akan datang, dengan penerapan pelbagai langkah perlindungan dan piawaian memberi orang ramai keyakinan untuk menggunakan teknologi tersebut, kata Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, pada 17 September.

“Kepercayaan merupakan satu keperluan penting agar sesuatu teknologi itu boleh digunakan secara berterusan. Langkah perlindungan bagi AI maju masih lagi dibentuk. Ia memerlukan lebih banyak penyelidikan dan ujian. Perkara ini mengambil masa,” kata Cik Teo menerusi satu hantaran di LinkedIn.

Kenyataan beliau di LinkedIn itu dibuat di tengah-tengah perdebatan semakin hangat tentang sama ada kadar pembangunan AI perlu diperlahankan bagi memberi ruang kepada langkah perlindungan untuk berkembang secara serentak.

Semakin ramai pembangun model AI perintis turut menyuarakan kebimbangan mengenai risiko kehilangan kawalan manusia terhadap teknologi berkenaan, yang boleh membawa kepada serangan siber berskala besar dan ancaman biopengganasan.

Menggunakan analogi penerbangan awam, Cik Teo berkata usaha yang amat besar diperlukan bagi memastikan penumpang tiba ke destinasi mereka dengan selamat.

Beberapa ribu piawaian dan peraturan merangkumi cara pesawat dikilangkan dan diselenggara, serta pengurusan ruang udara dan lapangan terbang ditetapkan bagi memastikan keselamatan orang ramai, jelasnya.

Syarikat penerbangan juga dikehendaki untuk melatih tenaga kerja mereka dengan baik serta melaksanakan langkah perlindungan secara konsisten.

Tanpa jaminan sedemikian, penumpang mahupun anak kapal tidak akan menaiki pesawat, dan penerbangan awam tidak akan berkembang seperti hari ini, kata Cik Teo.

“Pada masa akan datang, kita akan memerlukan aturan serupa untuk AI,” kata beliau, sambil menambah bahawa usaha praktikal dan sukar ini harus dimulakan dari sekarang.

Bagi Singapura, ini bermakna pembangunan langkah perlindungan perlu dilaksanakan seiring dengan penggunaannya, yang akan melibatkan pembentukan cara untuk menguji dan menjamin keselamatan sistem AI.

Ia juga bermakna keupayaan teknikal Singapura perlu diperkukuh bagi menilai model maju, serta memberi panduan praktikal kepada organisasi mengenai penggunaan yang bertanggungjawab.

Cik Teo antaranya memberi contoh Institut Keselamatan AI Singapura, sebuah organisasi nasional yang menguji dan menilai model AI bagi risiko keselamatan.

Ini selain rangka kerja tadbir urus Model AI, yang berfungsi sebagai panduan rujukan bagi membantu syarikat menggunakan AI secara selamat.

Cik Teo berkata Singapura juga akan bekerjasama di peringkat antarabangsa kerana keselamatan AI tidak boleh ditangani oleh mana-mana negara secara bersendirian.

Beliau memberi contoh forum tahunan Pertukaran Saintifik Antarabangsa untuk Keselamatan AI anjuran Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) bagi kerjasama keselamatan AI antarabangsa.

Forum tersebut membawa pelbagai perspektif dari seluruh dunia dan membantu mengenal pasti aspek utama yang perlu diteliti oleh penyelidik keselamatan AI, seperti yang digariskan dalam dokumen dipanggil Konsensus Singapura.

“Kita tidak akan mempunyai semua jawapan sejak dari awal. Namun, seiring dengan keupayaan AI yang semakin bertambah, langkah perlindungannya juga mesti berkembang seiring,” kata Cik Teo.

Beliau menambah bahawa Singapura akan terus menguji, mempelajari dan memperkukuh pendekatannya, kerana kepercayaan adalah teras kepada sebuah hab AI yang dinamik.

Negara ini juga akan terus bekerjasama dengan pihak industri, penyelidik dan rakan kongsi antarabangsa.

Gesaan agar pembangunan AI diperlahankan semakin hangat kebelakangan ini selepas penyelidik dan eksekutif di beberapa syarikat AI terkemuka dunia mengeluarkan amaran bahawa kemajuan keupayaan AI kini mengatasi usaha untuk memastikan teknologi itu kekal di bawah kawalan manusia.

Antara ketua perniagaan AI terkemuka yang menyokong gesaan berkenaan termasuk peneraju xAI, Encik Elon Musk, dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) OpenAI, Encik Sam Altman.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti