Salah satu harapan tentang kecerdasan buatan (AI) adalah ia akan membolehkan kita menangani cabaran terbesar dunia seperti perubahan iklim.
AI boleh membantu kita mengendali grid elektrik yang lebih pintar, mereka bentuk kenderaan elektrik yang lebih cekap, serta mengesan pencemaran plastik di lautan kita.
Bagaimanapun, pusat data yang mengendali model AI terkini menggunakan jumlah tenaga dan air yang mengejutkan.
Adakah AI lebih merupakan masalah daripada penyelesaian dari segi kecemasan iklim?
Cara teknologi bertentangan antara satu sama lain diserlahkan oleh pengalaman syarikat teknologi Microsoft, yang pada 2020 berjanji akan melakukan salah satu komitmen berkaitan alam sekitar yang paling kukuh dalam sejarah korporat.
Menjelang 2030, Microsoft berjanji ia akan menjadi karbon negatif, dan menjelang 2050, ia akan mengimbangi semua pelepasan karbon yang telah dihasilkannya sejak penubuhan syarikat itu pada 1975.
Karbon negatif berlaku apabila syarikat mengeluarkan atau memerangkap lebih banyak karbon dioksida dalam atmosfera daripada yang dikeluarkannya.
Tetapi Microsoft masih mempunyai perjalanan yang panjang.
Pada Mei, ia melaporkan bahawa pelepasan karbonnya telah meningkat 29 peratus sejak 2020 kerana ia terus melabur secara besar-besaran dalam prasarana data.
Baru-baru ini, syarikat itu mengumumkan ia melabur AS$3.2 bilion ($4.3 bilion) dalam tempoh dua tahun akan datang bagi mengembangkan prasarana pengkomputeran awannya di Sweden.
Secara keseluruhannya, Microsoft berhasrat membelanjakan lebih daripada AS$50 bilion pada 2024 untuk membangunkan pusat data.
Ini disifatkan oleh seorang penganalisis sebagai “pembinaan prasarana terbesar yang pernah dilihat oleh manusia”.
Perunding data Gartner meramalkan bahawa perbelanjaan seluruh dunia untuk pembangunan pusat data akan meningkat 10 peratus pada 2024 kepada AS$260 bilion.
Menurut saluran media teknologi, The Information, Microsoft dan syarikat permulaan AI, OpenAI, juga merancang melabur sebanyak AS$100 bilion untuk membina komputer super dan pusat data yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Prasarana data bersaiz besar yang diperlukan bagi menghasilkan model AI generatif yang memerlukan banyak tenaga sudah menyebabkan kerosakan alam sekitar.
Seperti yang dinyatakan oleh Microsoft dalam laporan kemampanan terbarunya, prasarana dan tenaga elektrik yang diperlukan untuk menggerakkan teknologi terkini mewujudkan “cabaran baru bagi memenuhi komitmen kemampanan merentas sektor teknologi”.
Walaupun Microsoft kekal yakin bahawa ia akan mencapai matlamat jangka panjangnya untuk menjadi karbon negatif, air positif dan sifar sisa, syarikat itu mengakui ia masih belum mengurangkan pelepasan karbon tidak langsung dan menambah lebih banyak air kepada alam sekitar daripada yang digunakan pada pusat datanya.
Penyelidik sedang berusaha keras untuk menjadikan model AI melakukan lebih banyak dengan tenaga yang lebih sedikit.
Ini jelas mempunyai daya tarikan kewangan dan alam sekitar yang besar.
Sebagai sebahagian daripada komitmen hijaunya, Microsoft juga berbelanja besar untuk tenaga boleh diperbaharui.
Pada Mei, syarikat itu komited untuk menyediakan 10.5 gigawatt tenaga boleh diperbaharui dalam talian di Amerika dan Eropah dengan kerjasama syarikat pengurusan pelaburan Brookfield Asset Management.
Kapasiti tambahan, yang cukup memberi kuasa kepada 1.8 juta rumah, dianggarkan akan menelan belanja AS$10 bilion.
Microsoft membuat beberapa pertaruhan pada reaktor modular nuklear kecil untuk menghasilkan tenaga tanpa karbon.
Syarikat itu juga telah bersetuju untuk membeli tenaga elektrik yang dijana oleh pelakuran nuklear (nuclear fusion) daripada Helion Energy menjelang 2028 (dengan andaian ia boleh dihasilkan pada masa itu).
Helion Energy ialah syarikat permula yang dibiayai secara mewah dan disokong oleh Ketua Eksekutif OpenAI, Encik Sam Altman.
OpenAI berhujah bahawa secara perbandingan, permintaan tenaga ekonomi digital secara global kekal kecil.
Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), pusat data menyumbang kurang daripada 1.5 peratus penggunaan elektrik di seluruh dunia.
Tetapi apa yang merunsingkan adalah betapa cepatnya penggunaan elektrik tersebut berkembang.
IEA meramalkan menjelang 2026, pusat data mungkin menggunakan 1,000 terawatt jam (TWh) bekalan elektrik, lebih daripada dua kali ganda paras pada 2022 dan kira-kira penggunaan yang sama seperti Jepun.
Memandangkan AI mempunyai kelemahan sangat ketara dari segi alam sekitar, adalah lebih penting untuk memanfaatkan kelebihannya.
Salah satu bidang yang paling menarik adalah ramalan cuaca, yang boleh membantu kita menyesuaikan diri dengan perubahan iklim.
Pada November, penyelidik di Google DeepMind telah melancarkan GraphCast, model AI yang lebih tepat (dan lebih cekap tenaga) dalam membuat ramalan cuaca bagi 10 hari berbanding kaedah konvensional.
Memandangkan lebih banyak negara mempertimbangkan tindak balas kejuruteraan geo terhadap perubahan iklim, seperti pembenihan awan dan penangkapan karbon, penyelidik AI juga memberi tumpuan kepada meramalkan kesan yang mungkin berlaku.
Kejuruteraan geo merujuk kepada satu set teknologi baru muncul yang boleh memanipulasi alam sekitar dan mengimbangi sebahagian daripada beberapa kesan perubahan iklim.
“Aspek keselamatan negara cuaca adalah topik yang besar sekarang. Orang ramai menganggap bahawa kejuruteraan geo akan berlaku, dan mereka ingin tahu apa kesannya,” kata ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat AI kepada saya.
Buat masa ini, kesan alam sekitar dihasilkan AI adalah nyata manakala faedahnya kekal lebih samar-samar.
Sudah tiba masanya untuk industri menunaikan janjinya.
Wacana ini ditulis oleh Editor Inovasi di Financial Times (FT), John Thornhill, yang menulis tentang kesan teknologi setiap minggu. Beliau juga merupakan pengasas dan pengarah berita, Sifted, saluran media yang disokong FT, serta pengasas FT Forums, yang menganjurkan mesyuarat bulanan untuk eksekutif kanan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg